Sabtu, 25 September 2010

Laporan bercanggah

BANTING: Laporan yang diterima polis dengan apa yang didakwa S Usharani, 24, dan kenyataan yang dibuat Ahli Parlimen Kapar, S Manikavasagam bercanggah sekali gus menyukarkan pihak berkuasa menyiasat kejadian pembunuhan, saudagar permata, dari Chennai, India, Allal Kathan Muthu Raja, 34.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Nordin Manan, berkata keterangan yang diterima daripada kedua-dua saksi itu bercanggah menyebabkan pegawai penyiasat terpaksa mengambil masa agak lama untuk merekod keterangan.

“Saya sahkan, pegawai penyiasat sudah menerima telefon bimbit mengandungi perbualan antara Usharani dengan dua suspek dan kami akan telitinya.

“Manakala Manikavasagam turut dipanggil untuk memberi keterangan berhubung pendedahannya pada sidang media yang diadakan di pejabatnya di Kapar, kelmarin,” katanya, semalam.


Sosilawati tidak dirogol

Oleh Mohd Jamil Anbia Md Denin, Abdullah Wahab dan Shanty Nur Shaffizan Shafee
am@hmetro.com.my
2010/09/25


KUALA LUMPUR: “Sosilawati tidak dirogol!” tegas Pengarah Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Bakri Zinin ketika menafikan laporan beberapa akhbar tempatan kelmarin yang mendakwa polis menyiasat kemungkinan Datuk Sosilawati Lawiya, 47, yang dibunuh dan dibakar bersama tiga rakannya bulan lalu, turut dirogol.

BAWA...kenderaan polis membawa suspek keluar dari ladang milik suspek utama di Ladang Gadong, Tanjung Sepat, semalam.
BAWA...kenderaan polis membawa suspek keluar dari ladang milik suspek utama di Ladang Gadong, Tanjung Sepat, semalam.
SIASAT...suspek utama sekali lagi dibawa ke pejabat guamannya, semalam.
SIASAT...suspek utama sekali lagi dibawa ke pejabat guamannya, semalam.
Dalam satu kenyataan dikeluarkan semalam, Mohd Bakri berkata, laporan mengatakan polis sedang menyiasat kemungkinan jutawan kosmetik itu dirogol tidak benar sama sekali.
“Pihak polis ingin menegaskan laporan media yang mengatakan kemungkinan Sosilawati dirogol tidak benar. Tujuan kelapan-lapan suspek dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) adalah untuk pemeriksaan bagi memastikan mereka berada dalam keadaan baik serta mengenal pasti jika ada sebarang kecederaan atau penyakit sebelum dibenarkan berjumpa peguam mereka.

“Selain daripada tujuan di atas, tiada sebarang pemeriksaan lain dipohon kepada pihak hospital oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) ke atas kelapan-lapan suspek berkenaan,” katanya.

Beberapa akhbar (bukan Harian Metro) melaporkan pada Rabu lalu, semua lapan suspek terbabit dibawa ke HKL untuk diambil sampel darah dan air mani untuk menjalani ujian Asid Deoksiribonukleik (DNA) bagi menyiasat maklumat terbaru kemungkinan Sosilawati dirogol.

Semua suspek dibawa ke tingkat satu, Bahagian Kecemasan dan Trauma HKL dengan kawalan ketat polis kira-kira jam 3 petang termasuk dua daripada mereka yang ditahan kerana disyaki memeras ugut isteri seorang saudagar batu permata, Allal Kathan Muthuraja, 34, dari Chennai, India, yang dilaporkan hilang selepas berjumpa suspek utama pembunuhan Sosilawati atas urusan perniagaan, 18 Januari lalu. Mengulas dakwaan suspek mereka tidak diberi peluang mempertahankan diri sebelum ditahan reman, selain dipukul serta dipaksa menandatangani beberapa dokumen, Bakri meminta suspek membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan menyeluruh dilakukan.

Sementara itu di Putrajaya, Bernama melaporkan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Shamsul Iskandar Mohd Akin, semalam hadir di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi memberi keterangan dan menyerahkan bukti berhubung dakwaannya yang mengaitkan polis dengan kes pembunuhan Sosilawati.

Beliau tiba di ibu pejabat SPRM kira-kira jam 3.20 petang dan selesai memberi keterangan sejam kemudian. Ketika ditemui pemberita, Shamsul Iskandar bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai bukti yang diserahkan kepada SPRM.

Sebaliknya, beliau mengulangi kenyataannya menafikan polis pernah menghubunginya supaya tampil memberi keterangan berhubung dakwaannya itu. “Saya tidak tahu apa-apa mengenai perkara itu. Saya hanya tahu melalui media dan sepatutnya saya dimaklumkan mengikut saluran undang-undang yang betul. “Saya hendak tahu apa kesalahan saya, apa perlu saya jelaskan, apa jenis kerjasama boleh saya berikan,” katanya. Samsul berkata, jika ingin memanggil beliau memberi keterangan, polis perlu menggunakan prosedur undang-undang seperti termaktub dalam Kanun Acara Jenayah. “Jangan didik masyarakat datang ke balai polis memberikan keterangan melalui SMS, Facebook dan telefon bimbit,” katanya.

Rabu lalu, polis memberi amaran waran tangkap akan dikeluarkan terhadap Shamsul Iskandar jika beliau terus mengelakkan diri daripada memberi keterangan berhubung dakwaannya itu. Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar berkata, Shamsul Iskandar sepatutnya hadir di balai polis jika benar mempunyai bukti kukuh mengenai dakwaannya itu.

Usharani serah telefon bimbit kepada polis sebagai bukti

2010/09/24

KUALA LUMPUR: Isteri ahli perniagaan India yang hilang di negara ini sejak 18 Januari lalu, S Usharani hari ini menyerahkan telefon mudah alihnya sebagai bahan bukti kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar, untuk siasatan lanjut.

Usharani, 24, mendakwa telefon mudah alih jenis Nokia itu mengandungi rakaman perbualan antaranya dengan peguam yang juga suspek utama kes pembunuhan Datuk Sosilawati Lawiya, 47, dan seorang individu yang mendakwa pegawai polis.


Katanya, tujuan beliau menyerahkan telefon mudah alih dan memorandum berhubung bukti itu bagi membolehkan siasatan terperinci dilakukan dalam tempoh terdekat.
“Saya sepatutnya mengadakan pertemuan dengan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar pagi ini untuk menyerahkan bahan bukti, tetapi dimaklumkan beliau terpaksa menghadiri satu urusan penting.

“Bagaimanapun, Ismail dalam satu surat yang dikeluarkan memaklumkan akan menemui saya pada tarikh lain,” katanya selepas penyerahan bahan bukti itu di Bukit Aman, hari ini.

Usharani, Manikavasagam beri keterangan berhubung kehilangan usahawan India

2010/09/24

BANTING: S Usharani, Isteri usahawan dari India, Allal Kanthan Muthuraja, hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat hari ini bersama ahli Parlimen Kapar, S Manikavasagam, untuk memberi keterangan berhubung kehilangan suaminya. 

Mereka tiba di IPD berkenaan kira-kira jam 6 petang dan selesai memberi keterangan pada 9 malam tadi.


Manikavasangan berkata, beliau dipanggil merakamkan kenyataan berhubung pembabitannya membawa Usaharani dan membantu wanita itu berurusan dengan polis.
Beliau berkata, Usharani turut dipanggil berhubung perkara yang sama, dan polis turut mengambil keterangan berhubung rakaman dalam telefon bimbit milik wanita itu. 

"Tadi, jam 12 tengahari, saya menyerahkan telefon bimbit (milik Usharani) ke Bukit Aman. 

"Turut diserahkan ialah memorandum yang mengandungi salinan laporan polis yang dibuat tentang kehilangan suami beliau, salinan pasport dan salinan surat beranak anaknya," katanya ketika ditemui di IPD berkenaan. 

Manikavasagam berkata, Usharani akan menyambung keterangannya di ibu pejabat polis itu pada 1 tengah hari esok. 
Sementara itu, Usharani yang tiba di negara ini sejak 22 Sept lalu, berkata, beliau mungkin pulang ke India pada 26 September ini, bagaimanapun, ia mungkin ditangguhkan jika ada perkembangan baru dalam siasatan kes itu. 

Beliau juga percaya saudara terdekat suaminya akan datang ke negara ini dalam tempoh terdekat bagi membantu mengesahkan DNA suaminya. 

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Nordin Manan, berkata pihaknya memperoleh telefon bimbit yang menjadi bahan bukti siasatan kes itu. 

Semalam, Usharani mendedahkan ada menyimpan dua rakaman percakapan dalam bahasa Tamil di telefon bimbitnya yang boleh dijadikan bahan bukti, membabitkan beliau dengan peguam yang menjadi suspek utama pembunuhan kejam jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain. 

Usharani yang menetap di Ramapuram, Chennai, India mendakwa suaminya, Muthuraja tiba di Malaysia pada 18 Januari lalu untuk bertemu dua sahabat karibnya, iaitu dua beradik yang dipercayai terlibat dalam kes pembunuhan Sosilawati. - Bernama

Pasukan forensik polis dan suspek dibawa ke ladang milik suspek

BANTING: Pasukan forensik polis hari ini melawat lagi ladang ternakan milik salah seorang suspek utama kes pembunuhan jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain.
Ladang yang terletak di Ladang Gadong Tanjung Sepat, Banting, Selangor adalah tempat dipercayai Sosilawati, 47, pemandunya Kamarudin Shansuddin, 44, peguam peribadinya Ahmad Kamil Abd Karim, 32 ,dan pegawai Bank CIMB cawangan Kampung Baru, Kuala Lumpur Noorhisham Mohammad,38, dibunuh dan dibakar selepas dilaporkan hilang pada 30 Ogos lalu.

Pada 13 September lalu, polis mengesahkan keempat-empat mereka dipukul sampai mati sebelum mayat mereka dibakar dan abunya dibuang ke dalam sungai berdekatan Ladang Gadong.

Tinjauan mendapati sebuah van dan kenderaan pacuan empat roda dari unit forensik, sebuah Mitsubishi Pajero berwarna biru dan sebuah van yang dipercayai membawa suspek tiba di Ladang Gadong petang tadi dengan diiringi oleh kereta peronda polis.

Enam kereta dengan dua daripadanya mempunyai logo Jabatan Forensik kelihatan memasuki Ladang Gadong, lokasi penyiasatan kes pembunuhan empat individu itu.

Sementara itu, suspek utama kes pembunuhan berkenaan dilihat dibawa ke hadapan sebuah firma guaman di Jalan Kemboja, Off Jalan Sultan Alam Shah Banting.

Bagaimanapun, dia tidak masuk ke firma guaman tetapi hanya menunjukkan petak meletak kenderaan di hadapan firma berkenaan dan anggota forensik mengambil gambar di kawasan itu.

Kemudian dia dilihat menaiki sebuah daripada enam buah kereta yang beredar dari kawasan firma itu.

Sepanjang unit forensik dan suspek berada di ladang ternakan milik salah seorang suspek itu, polis mengawal ketat tempat berkenaan dan berada kira-kira 600 meter dari kawasan ladang berkenaan.

Pihak media tidak dibenarkan melepasi tempat polis berkawal di hadapan sebuah kuil Hindu di Ladang Gadong itu.

Pasukan forensik dan anggota polis yang berada di ladang ternakan itu kemudiannya beredar ke arah Banting.

Polis nafi kenyataan sebuah akhbar mengatakan Sosilawati dirogol

KUALA LUMPUR: Polis hari ini menafikan laporan media yang mengatakan polis sedang menyiasat kemungkinan mangsa pembunuhan kejam Datuk Sosilawati Lawiya dirogol.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Seri Mohd Bakri Mohd Zinin dalam satu kenyataan di sini menafikan laporan itu, yang disiarkan di muka depan sebuah harian berbahasa Melayu semalam bertajuk '8 suspek jalani ujian sperma: Polis menyiasat kemungkinan Sosilawati dirogol'.

Mohd Bakri berkata, tujuan kelapan-lapan suspek dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk pemeriksaan adalah bagi memastikan kesemua suspek dalam keadaan baik serta (untuk) mengenal pasti jika ada sebarang kecederaan mahupun penyakit yang dialami semua suspek sebelum dibenarkan berjumpa dengan peguam mereka," katanya dalam kenyataan itu.

Bakri berkata selain itu, tiada sebarang pemeriksaan lain dipohon oleh PDRM kepada pihak hospital ke atas kesemua suspek berkenaan.

Laporan akhbar itu mendakwa kesemua suspek termasuk dua beradik peguam diambil sampel darah dan air mani bagi ujian Asid Deoksiribonukleik (DNA) di HKL dua hari lalu.

Difahamkan juga sampel air mani diambil bagi menyiasat maklumat baru kemungkinan salah seorang mangsa turut dirogol.

Dua lagi aduan kehilangan anggota keluarga dilaporkan di Banting

KUALA LUMPUR: Anggota Parlimen Kapar, S. Manikavasagam mendakwa menerima dua aduan berhubung kehilangan anggota keluarga di Banting, Selangor yang dipercayai ada kaitan dengan peguam yang merupakan suspek utama kes pembunuhan kejam Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain semalam. 
Manikavasagam berkata aduan berkenaan dibuat oleh keluarga mereka semalam dengan mendakwa mangsa hilang kira-kira lapan hingga sembilan bulan lalu selepas berurusan dengan suspek utama dalam urusan berkaitan penjualan tanah.

"Laporan polis juga sudah dibuat oleh mereka," katanya kepada pemberita di luar Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini hari ini.

Manikavasagam mendakwa satu daripada laporan itu dibuat di balai polis Rawang, Selangor bagaimanapun Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah menafikan menerima laporan seumpama itu.

Anggota Parlimen yang tidak pasti di mana satu laporan dibuat juga enggan mendedahkan identiti mangsa dan berjanji akan mendedahkannya esok.

Beliau hadir bersama S.Usharani, isteri kepada usahawan dari India, Allal Kanthan Muthuraja yang dilaporkan hilang bagi menyerahkan bukti penting iaitu sebuah telefon bimbit yang merakam perbualan telefon antara Usharani dengan seorang peguam yang dipercayai terbabit dalam kes pembunuhan jutawan kosmetik itu, kepada Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar. Turut dirakam ialah perbualan telefon antara Usharani dengan seorang lelaki yang mendakwa beliau adalah pegawai polis dari Bukit Aman bernama Asisten Komisioner Suresh. Mereka bagaimanapun tidak dapat menyerahkan bukti berkenaan berikutan Ismail tidak ada di pejabatnya dan hanya dapat berjumpa dan menyerahkan bukti berkenaan pada minggu depan.

Bagaimanapun, Usharani hanya dapat menyerahkan memorandum yang mengandungi salinan laporan polis yang dibuat berhubung kehilangan suami beliau, salinan pasport, salinan surat beranak anak-anaknya dan salinan surat beliau kepada Pesuruhjaya India kepada unit perhubungan awam Bukit Aman hari ini. Manikasavagam berkata ia bagi membantu polis menyiasat kehilangan suami Usharani.

Semalam Usharani mendedahkan menyimpan dua rakaman percakapan dalam bahasa Tamil melalui telefon bimbitnya yang boleh dijadikan bahan bukti.

Rakaman perbualan pertama pada 28 Januari membabitkan beliau dengan peguam yang juga suspek utama pembunuhan Sosilawati.

Dalam perbualan itu, lelaki berkenaan menafikan bersama suaminya dan menyatakan beliau sedang berada di luar negara manakala rakaman kedua pula ialah perbualannya dengan seorang lelaki yang mengaku pegawai polis berpangkat Asisten Superintendan dari Bukit Aman yang meminta wang 10 lakhs (RM1 juta) bagi membebaskan suaminya yang ditahan polis kerana kesalahan dadah. Usharani yang menetap di Ramapuram, Chennai, India mendakwa suaminya, Muthuraja tiba di Malaysia pada 18 Januari lalu untuk bertemu dua sahabat karibnya, iaitu dua beradik yang juga peguam yang dipercayai terbabit dalam kes pembunuhan Sosilawati. Selepas lapan bulan tidak mendapat berita mengenai suaminya, Usharani datang ke Malaysia dan membuat laporan polis pada 8 September lalu di Banting. - Bernama

Jumaat, 24 September 2010

Tak terniat ambil kesempatan

Oleh Abdullah Wahab, Hamizah Badiran, Shanty Nur Shaffizan Shafee dan Shamsul Munir Safini

2010/09/24
Tak terniat ambil kesempatan



KUALA LUMPUR: “Tak pernah terlintas langsung di hati saya untuk mengambil kesempatan terhadap harta isteri dan keluarganya seperti tohmahan yang dilemparkan. Bagi saya, tiada lebih penting selain keharmonian keluarga dan anak-anak tiri saya,” kata suami Datuk Sosilawati Lawiya.
Ahli perniagaan berusia 48 tahun itu yang masih enggan identitinya didedahkan berkata, dia kurang menonjolkan diri di sebalik kematian tragis isterinya kerana tidak mahu orang tersalah anggap dan menuduh dia ingin mengambil harta jutawan wanita itu.

“Maklumlah perkahwinan saya dengannya masih baru, jadi orang mudah berprasangka terhadap saya. Insya-Allah, wang yang saya ada cukup untuk saya,” katanya dalam temuramah dengan RTM dan Harian Metro di sini, semalam.

Lelaki itu berkata, dia bernikah dengan jutawan kosmetik berkenaan pada November tahun lalu dan jarang mencampuri urusan perniagaan isterinya yang dipanggil dengan panggilan Wati.

“Saya sudah mengenali Wati 10 tahun lalu atas urusan perniagaan sebelum berkahwin dengannya, malah perkahwinan kami atas dasar cinta dan bukan seperti digembar-gemburkan masyarakat iaitu kerana harta atau sebagainya,” katanya.

Menurutnya, kali terakhir dia berjumpa isterinya pada 26 Ogos lalu ketika menghantar Wati menghadiri perbicaraan mahkamah pada hari berkenaan dan sepanjang Ramadan lalu hanya dua kali mereka berbuka puasa bersama.



Katanya, dia tidak dapat melupakan permintaan terakhir arwah supaya mengimamkan solat Maghrib ketika pertemuan terakhir mereka.

“Itu permintaan terakhirnya kepada saya sebelum dia dilaporkan hilang pada 30 Ogos lalu dan seterusnya disahkan mati akibat dibunuh secara kejam hampir dua minggu kemudian,” katanya yang berasal dari Indonesia, tetapi sudah mendapat status penduduk tetap negara ini. 



Ketika ditanya mengenai perniagaannya, beliau yang berstatus duda beranak tiga sebelum berkahwin dengan Sosilawati berkata, dia terbabit perniagaan import dan eksport, tetapi enggan mengulas lanjut mengenai perniagaannya.

Beliau amat berharap orang ramai tidak membuat tuduhan yang bukan-bukan ke atasnya dan menghormati privasinya serta pendiriannya untuk tidak mahu identitinya didedahkan.

“Sebelum ini, saya bukan mengelak daripada media, tapi saya risau soalan yang diajukan kepada saya akan mengganggu siasatan polis. Namun, saya kecewa apabila ada yang membuat tohmahan mengaitkan saya dengan kematian Wati.

“Untuk makluman, saya memberikan kerjasama sepenuhnya kepada polis dan siasatan polis setakat ini membuktikan saya tidak terbabit kes ini,” katanya.

Lelaki itu berkata, dia juga berpuas hati dengan siasatan polis dan memuji kemampuan polis melakukan siasatan dalam masa singkat sebelum menahan suspek.

Sosilawati dibunuh kejam bersama tiga lagi individu lain iaitu Kamaruddin Shamsuddin, 44; peguam, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dan perunding kewangan, Noorhisham Mohamed, 38, ketika pergi ke Banting bagi tujuan pembelian tanah di Batu Feringgi, Pulau Pinang.

Mereka dipercayai diikat, dipukul dan ditikam hingga mati sebelum mayat mereka dibakar dan abunya dibuang ke dalam sungai berdekatan Ladang Gadong, Tanjung Sepat, Banting.

Berikutan itu, polis menahan lapan suspek termasuk dua peguam adik-beradik berusia 41 dan 38 tahun kerana disyaki terbabit pembunuhan itu.

Perbualan terakhir di rakam

Pembunuhan kejam Sosilawati: Perbualan terakhir
Oleh Khairul Azran Hussin

2010/09/24

Isteri peniaga India dedah rakaman dua minit dengan suspek utama kes bunuh Sosilawati

KAPAR: Isteri ahli perniagaan India yang hilang di negara ini, S Usharani, 24, semalam mendedahkan rakaman perbualan telefon antaranya dengan seorang peguam yang disyaki terbabit dalam pembunuhan Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga rakannya.

Usharani memperdengarkan perbualan kira-kira dua minit yang dirakam menggunakan telefon bimbitnya dengan peguam itu yang juga suspek utama kes pembunuhan berkenaan pada sidang media di sini, semalam.


Rakaman perbualan telefon bimbit jenis Nokia dalam bahasa Tamil dan diterjemahkan oleh peguam Y Murugan itu berkisar mengenai pertanyaan Usharani kepada suspek keadaan suaminya, Muthuraja Allal Kanthan, 34.
Turut diperdengarkan ialah rakaman perbualan telefon antara Usharani dengan seorang lelaki yang mendakwa pegawai polis dari Bukit Aman bernama Asisten Superintendan (ASP) Suresh. 

Katanya, rakaman panggilan telefon itu dibuat pada 28 Januari dan 23 Februari lalu.

Pada 28 Januari itu saya menghubungi peguam (suspek) dan dia memberitahu berada di luar negara dan menafikan suami saya ada bersamanya. Dia juga memberitahu akan menghubungi saya selepas kembali ke Banting.

Pada 23 Februari pula saya menerima satu panggilan telefon daripada seorang lelaki yang mendakwa dirinya pegawai polis berpangkat ASP bernama Suresh dari Bukit Aman. Lelaki itu mendakwa suami saya ditahan polis kerana kesalahan dadah dan meminta RM1 juta untuk membebaskannya, katanya. 
Selain dua panggilan itu, Usharani yang tiba dari Chennai, India, kelmarin berkata, beliau turut menerima satu lagi panggilan telefon daripada seorang lelaki yang memperkenalkan dirinya Inspektor Muru dari Bukit Aman, juga meminta wang daripadanya untuk membebaskan suaminya. 

Usharani berkata, beliau menyerahkan kedua-dua rakaman itu kepada Ketua Polis Negara (Tan Sri Ismail Omar) di Bukit Aman, hari ini. 

Ketika ditanya polis mengklasifikasikan kes kehilangan suaminya sebagai bunuh, beliau berkata: Saya tak percaya suami saya sudah mati, walaupun polis katakan demikian.

Berita Harian sebelum ini melaporkan Usharani yang menetap di Ramapuram, Chennai mendakwa Muthuraja tiba di Malaysia pada 18 Januari lalu untuk bertemu rakan karibnya, iaitu dua beradik yang juga peguam yang disyaki terbabit dalam kes pembunuhan Sosilawati.

Bagaimanapun, sejak 19 Januari lalu, beliau gagal menghubungi suaminya. 

Selepas lapan bulan tidak mendapat berita mengenai suaminya, Usharani datang ke Malaysia pada 8 September lalu dan membuat laporan polis di Banting. Dalam laporannya, beliau memaklumkan suaminya pernah menyebut dia dibawa ke sebuah ladang milik peguam berkenaan.

Kelmarin, polis mengesahkan Muthuraja turut dibunuh dan siasatan kini dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Muthuraja yang menjalankan perniagaan hartanah, restoran, kewangan dan barang kemas dipercayai ada hubungan perniagaan dengan suspek dan adiknya sejak 10 tahun lalu.

Operasi menyelam cari telefon bimbit

BANTING: Operasi mencari bahan bukti berhubung pembunuhan kejam Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain diteruskan pasukan Forensik dengan bantuan Pasukan Gerakan Marin (PGM) di lokasi baru iaitu di tali air, dekat Uptown Banting, di sini, semalam.
Difahamkan, tujuan polis berada di lokasi itu bagi mengesan telefon bimbit seorang daripada mangsa bagi membantu mengukuhkan siasatan terhadap kejadian itu.

Operasi bermula kira-kira jam 10 pagi dan berakhir jam 12.15 tengah hari, diteruskan berikutan penemuan sebentuk gelang emas di dalam tali air di Sungai Lang, di sini, Selasa lalu. Polis yang mengiringi suspek turut meninjau kawasan sekitar tali air itu sebelum Unit Penyelam PGM menyelam di kawasan berkenaan yang terletak kira-kira 500 meter daripada lokasi pasukan sama menemui gelang tangan dipercayai milik mangsa. Bagaimanapun, selepas beberapa jam menyelam tiada bahan bukti ditemui sebelum mereka bersurai berikutan hujan lebat. Kumpulan media yang membuat liputan hanya dibenarkan berada 100 meter daripada lokasi pencarian. Bagaimanapun, kira-kira jam 12.20 tengah hari, dua kenderaan Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) memasuki kawasan tempat Sosilawati dipercayai dibunuh di Ladang Gadong, dekat Tanjung Sepat. Tujuan kenderaan itu memasuki kawasan terbabit dipercayai mencari punca air bersih yang disalurkan ke dalam ladang ternakan itu. Pengarah Eksekutif Bahagian Hal Ehwal Korporat Syabas, Abdul Halem Mat Som, ketika dihubungi berkata, ia pemeriksaan rutin.

Katanya, pemilik ladang itu pelanggan Syabas dan meter bekalan air terletak di luar premis berkenaan.

Suspek minta tebusan RM1j



KLANG: Isteri saudagar permata dari Chennai, India, mendiang Allal Kathan Muthu Raja, 34, akan menyerahkan bukti perbualan telefon antaranya dengan suspek kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya, 47, selain seorang lelaki yang mendakwa pegawai polis kepada Bukit Aman, hari ini.
Rakaman perbualan telefon antara S Usharani, 24, dengan suspek dan lelaki misteri yang mendakwa dirinya polis berpangkat Asisten Superintendan yang meminta RM1 juta bagi pembebasan suaminya dibuat pada 28 Januari dan 23 Februari lalu.
Usharani ketika ditemui di pejabat Ahli Parlimen Kapar, S Manikawasagan mendakwa, perbualannya dengan suspek berlaku kira-kira dua minit sebelum panggilan terputus.

“Saya akan serahkan esok kepada Ketua Polis Negara di Bukit Aman. Sehingga ini, saya tidak percaya suami saya sudah mati, walaupun polis sudah sahkan,” katanya.
Pada sidang media itu, dia memperdengarkan perbualan kira-kira dua minit antaranya dengan suspek utama serta perbualan dengan seorang lelaki yang mendakwa polis yang meminta wang untuk penyelesaian kerana suaminya ditahan di balai polis atas kesalahan dadah.
Usharani mendakwa, selepas kehilangan suaminya pada Januari lalu, dia cuba menghubungi peguam dan ahli keluarganya tapi gagal, selain nombor telefon dimatikan.
“Selepas bercakap dengannya, dia mendakwa tidak pernah berjumpa dengan suami saya dan tak tahu dia di mana.
“Saya keliru dengan apa yang diberitahunya kerana pada kira-kira jam 10 malam, 18 Januari lalu, sejurus suami tiba di KLIA (Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur) dia mengatakan dijemput lelaki itu dan adiknya serta menuju ke Banting.

“Tapi pada keesokannya, saya cuba menghubunginya tetapi gagal sebelum membuat pengaduan di Suruhanjaya Tinggi India di Malaysia,” katanya menambah turut meminta bantuan daripada Interpol berhubung kehilangan suaminya.
Beliau bersama beberapa peguam sekali lagi ke Banting meninjau kawasan itu sebelum pulang ke India, Ahad ini.
Kelmarin, Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar berkata, kehilangan Allal Kathan Muthu Raja disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan bukan sebagai kes orang hilang.
Menurutnya, polis percaya lelaki itu menjadi mangsa pembunuhan yang kemungkinan dilakukan suspek utama kes pembunuhan Sosilawati dan tiga rakannya.

“Berdasarkan pengakuan isteri mangsa, saya mengesahkan mangsa dibunuh. Ia hasil daripada petunjuk dan keterangan dikumpul,” katanya.
Allal Kathan Muthu Raja mempunyai perniagaan hartanah, restoran, kewangan dan barang kemas dipercayai menjalinkan hubungan perniagaan dengan suspek serta adiknya sejak 10 tahun lalu dan suspek beberapa kali menemui mangsa di India.

Ambil keterangan lebih lanjut

BANTING: Isteri ahli perniagaan India yang dikatakan turut menjadi mangsa ‘hilang dan bunuh’ suspek utama kes pembunuhan Datuk Sosilawati Lawiya, 47, dan tiga yang lain hadir sekali lagi ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPPD) Kuala Langat untuk diambil keterangan berhubung kes kehilangan suaminya, di sini, semalam.
S Usharani, 24, tiba di IPPD kira-kira pada jam 2.15 petang.

Harian Metro difahamkan, Usharani diminta hadir sekali lagi ke situ bagi diambil keterangannya dengan lebih lanjut berhubung kehilangan suaminya, Alal Kathan Muthuraja,34, yang dilaporkan hilang sejak Januari lalu.

Sementara itu, Ketua Polis Kuala Langat, Superitendan Nordin Manan, ketika dihubungi mengesahkan kehadiran Usharani ke situ untuk diambil keterangan lanjut bagi membantu siasatan.

Beliau berkata, di dalam soal jawab berkenaan, pihak polis mengambil keterangan dan merakamkan percakapannya.

“Saya harap S Manikawasagam (Ahli Parlimen Kapar) serah bukti yang diserahkan Usharani kepada polis secepat mungkin untuk siasatan lanjut,” katanya.

Usharani ketika ditemui selepas direkod keterangan berpuas hati dengan sesi soal siasat itu.

“Saya harap polis Malaysia dapat menyiasat kes saya ini dengan cepat,” katanya

Khamis, 23 September 2010

Sedia khidmat guaman pemerhati

AMPANG: Biro Aduan Komuniti Pemuda Umno bersedia memberikan khidmat guaman pemerhati kepada keluarga Perunding Kewangan Peribadi CIMB cawangan Kampung Baru, Noorhisham Mohamad, 38, yang dibunuh secara kejam bersama Datuk Sosilawati Lawiya, 47, dipercayai pada 30 Ogos lalu.
Pengerusinya, Datuk Muhammad Khairun Aseh, berkata peguam pemerhati itu akan disediakan kepada keluarga mangsa apabila kes berkenaan didakwa di mahkamah kelak.

Menurutnya, Umno Bahagian dan Pemuda Pandan menyatakan hasrat meminta Pemuda Umno Malaysia dan Biro Aduan Komuniti Pemuda Umno menyediakan khidmat peguam pemerhati apabila pendakwaan dijalankan tak lama lagi.

“Pihak biro bersedia menunaikan hasrat itu menerusi panel guaman kami. Saya juga sudah menghubungi bapa mentua mangsa, Ishak Radin Pangat dan beliau terharu serta positif dengan bantuan disalurkan demi menegakkan keadilan menantunya dalam kes ini.

“Secara amnya beliau bersetuju, namun mahukan penerangan lanjut secara teknikal. Saya beritahu mereka apabila (mereka) pulang ke KL (Kuala Lumpur) nanti, saya akan beri penerangan lanjut kerana prosedurnya (mendapatkan peguam pemerhati) sangat mudah,” katanya ketika melawat rumah keluarga Noorhisham di Taman Seraya, Ampang, di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Pemuda Umno Bahagian Pandan, Hishamuddin Muhamad yang juga Pengerusi Pemuda BN Parlimen Pandan.

Pada lawatan itu Muhd Khairun menyerahkan surat bantuan guaman untuk melantik peguam kepada Timbalan Ketua Umno Cawangan Taman Seraya, Bahagian Pandan, Ismail Hasyim yang mewakil keluarga mangsa.

Isteri Noorhisham, Suzana Radin Pangat, 38, dan tiga anak Allahyarham yang berusia lima hingga 15 tahun pulang ke kampung di Johor sejak Ahad lalu untuk menenangkan fikiran.

Reman lima suspek kes bunuh Sosilawati disambung

23/09/2010 1:15pm

KUALA LUMPUR 23 Sept. - Tempoh tahanan reman lima suspek yang disyaki terlibat dalam kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain disambung untuk seminggu lagi mulai hari ini.
Majistret Ahmad Shakin Ismail membenarkan lanjutan tahanan reman ke atas kelima-lima lelaki yang berumur antara 20-an hingga 30-an yang berakhir hari ini itu bagi membolehkan polis menjalankan siasatan terperinci mengenai kes itu.
Perintah dikeluarkan Ahmad Shakin itu dibuat di Pusat Tahanan Sementara Bukit Jalil di sini, iaitu tempat kesemua suspek terbabit ditahan.
Ini merupakan kali ketiga tempoh tahanan reman mereka dilanjutkan.
Sementara itu, tempoh tahanan reman tiga lagi termasuk dua peguam adik-beradik yang dipercayai suspek utama pembunuhan akan berakhir pada Sabtu ini. - Bernama

Sampel air mani lapan suspek diambil

KUALA LUMPUR: Polis membawa lapan suspek utama kes pembunuhan Datuk Sosilawati Lawiya bersama tiga rakannya ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) bagi tujuan pengambilan sampel darah dan air mani.
Dengan kawalan ketat polis, kelapan-lapan suspek lelaki terbabit dibawa masuk ke tingkat satu, Bahagian Kecemasan dan Trauma HKL, kira-kira jam 3 petang semalam.

Dua daripada mereka termasuk suspek lelaki yang ditahan selepas memeras ugut isteri seorang saudagar batu permata, Allal Kathan Muthuraja, 34, dari Chennai, India, yang dilaporkan hilang selepas tiba di negara ini dan berjumpa suspek utama pembunuhan Sosilawati atas urusan perniagaan, 18 Januari lalu.

Difahamkan, pengambilan sampel darah dan air mani lapan suspek terbabit dilakukan selepas Pejabat Peguam Negara mengembalikan kertas siasatan polis berhubung kes berkenaan bagi dikemas kini.

Kehadiran semua suspek yang menarik perhatian ratusan kakitangan dan pesakit hospital itu, kemudian keluar dan meninggalkan hospital pada jam 5 petang sambil diiringi beberapa unit kereta peronda polis yang mengawal ketat konvoi berkenaan.

Semua mereka kini ditahan di Pusat Tahanan Sementara Polis Bukit Jalil dan tempoh reman lima daripada mereka akan tamat hari ini manakala tiga lagi pada Sabtu ini.

Bukan lagi kes orang hilang

KUALA LUMPUR: Polis kini menyiasat kes kehilangan Allal Kathan Muthuraja, 34, jutawan dari Chennai, India selepas tiba di negara ini atas urusan perniagaan, 18 Januari lalu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK) dan bukan lagi sebagai kes orang hilang.
Ketua Polis Selangor Datuk Khalid Abu Bakar berkata, ini kerana polis percaya lelaki itu turut menjadi mangsa pembunuhan yang kemungkinan dilakukan suspek utama kes pembunuhan Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga rakannya.

“Berdasarkan pengakuan isteri mangsa (S Usharani, 24), saya mengesahkan mangsa dibunuh. Ia juga hasil daripada petunjuk dan keterangan yang dikumpul,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, semalam.

Sementara itu Harian Metro difahamkan kes hilang ketiga-tiga lelaki yang dilaporkan berurusan dengan suspek utama itu juga kini juga disiasat mengikut Seksyen 302 apabila dipercayai sudah dibunuh berdasarkan pengakuan suspek utama kes itu .

Allal antara tiga lelaki yang dilaporkan hilang selepas kali terakhir dipercayai berurusan dengan suspek utama kes pembunuhan Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga rakannya. Dua lagi lelaki yang dilaporkan hilang ialah, Shafik Abdullah, 37, kontraktor dari Sungai Petani, Kedah dan rakannya berusia 30-an dari Perak.

Allal pula mempunyai perniagaan hartanah, restoran, kewangan dan barang kemas dilaporkan hilang selepas dijemput suspek utama dan adik lelakinya, juga seorang peguam dan salah seorang suspek ditahan, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang seterusnya dibawa ke Banting.

Berdasarkan laporan dibuat isterinya di IPD Banting, 8 September lalu, Allal berkunjung ke Malaysia atas jemputan dua beradik peguam itu untuk mencari peluang pelaburan.

Minta jalani ujian DNA

BANTING: Keluarga jutawan yang juga ahli perniagaan India yang dikatakan turut menjadi mangsa ‘hilang dan bunuh’ suspek utama kes pembunuhan Datuk Sosilawati Lawiya, 47, dan tiga yang lain akan dipanggil untuk menjalani ujian DNA secepatnya minggu depan.
Perkara ini dinyatakan isteri ahli perniagaan berkenaan, S Usharani, 24, yang hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat, di sini, kira-kira jam 10.30 pagi, semalam bagi mendapat maklumat lanjut berhubung kehilangan suaminya sejak Januari lalu.

Menurut Usharani, pihak polis meminta dia berhubung dengan keluarga suaminya supaya beberapa ahli keluarga suaminya seperti bapa, ibu atau adik mangsa dapat memberi kerjasama menjalani ujian terbabit.

“Polis memaklumkan kepada saya supaya meminta keluarga mentua dapat datang ke Malaysia untuk menjalani ujian DNA.

“Ini berikutan, terdapat penemuan beberapa spesimen termasuk serpihan tulang yang boleh membantu siasatan berhubung kehilangan suami,” katanya ketika ditemui di hadapan pintu masuk ladang ternakan lokasi utama kes pembunuhan jutawan kosmetik terbabit.

Bagaimanapun, Usharani tidak dibenarkan memasuki kawasan ladang terbabit yang masih dikawal polis bagi usaha mengesan bukti baru kes pembunuhan kejam berkenaan.

Wanita warganegara India itu dilihat hadir ke lokasi kejadian kes pembunuhan itu bersama Ahli Parlimen Kapar, S Manikavasagam.

Menurutnya, dia berada di negara ini bagi tempoh lebih kurang seminggu dan bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan berhubung kes kehilangan suaminya yang juga saudagar permata dari Chennai, India, Allal Kathan Muthuraja, 34.

Usharani kemudiannya dilihat turut melawat Sungai Panchau dan Sungai Kanchong yang terletak berhampiran ladang ternakan berkenaan di mana beberapa bukti turut ditemui.

Dia meninggalkan Banting untuk ke satu lokasi yang dirahsiakan.

Sementara itu, Ketua Polis IPD Kuala Langat, Superintendan Nordin Manan, mengesahkan kehadiran wanita berkenaan dan pihaknya memberi penerangan ringkas mengenai kes suaminya.

'Jam suami'

SUNGAI PETANI: “Saya pasti jam tangan itu milik suami saya. Dia ada banyak jam berjenama tetapi hanya satu bertali kulit jenama Puma,” kata Samsonnahar Mohamed Dali, 35, isteri kontraktor, Mohd Shafiq Abdullah, 37, dipercayai turut menjadi mangsa peguam yang kini menjadi suspek utama kes pembunuhan kejam jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain.
Menurut Samsonnahar, dia dipanggil polis mengenal pasti jam tangan berkenaan ketika ke Banting, Isnin lalu bagi membantu siasatan.

“Saya tak pasti macam mana polis menemui jam itu tetapi yang saya ingat ia ditemui di ladang (lokasi dipercayai Sosilawati serta tiga yang lain dibunuh),” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Bunga Raya, di sini, semalam.

Semalam, Harian Metro menyiarkan Mohd Shafiq dilaporkan keluar rumahnya di Taman Bunga Raya, di sini pada 5 April lalu, kira-kira jam 5 pagi menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Honda Stream berwarna emas miliknya menuju ke Kuala Lumpur dipercayai berurusan dengan peguam terbabit.

Itu kali terakhir Samsonnahar bertemu suaminya dan dua hari kemudian antara jam 10.30 hingga 11 malam, suaminya ada menelefonnya memberitahu akan pulang pada 9 April.

Bagaimanapun, sehingga kini suaminya tidak pulang ke rumah atau menghubunginya menyebabkan dia membuat laporan di Balai Polis Sungai Petani pada 13 April lalu.

Kes berkenaan dirujuk di Balai Polis Petaling, Kuala Lumpur pada April lalu.

Samsonnahar berkata, suaminya berasal dari Perak tinggal di sebuah rumah sewa di Kuchai Lama, Kuala Lumpur kerana bekerja di sana dan hanya pulang ke rumah mereka di Sungai Petani pada setiap hujung minggu. Menurutnya, dia dimaklumkan Balai Polis Banting, baru-baru ini yang mengesahkan 95 peratus kemungkinan suaminya seorang daripada mangsa peguam terbabit.

Rabu, 22 September 2010

Polis sahkan ahli perniagaan India yang hilang dibunuh

22/09/2010 8:04pm

KUALA LUMPUR 22 Sept. – Polis hari ini mengesahkan ahli perniagaan warga India, Allal Kathan Muthuraja yang dilapor hilang sejak awal tahun ini telah dibunuh.
Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar berkata, polis kini menyiasat kes kehilangan lelaki berusia 34 tahun yang tiba di Malaysia pada 18 Januari lepas itu sebagai kes bunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
"Saya sahkan mangsa dibunuh hasil daripada petunjuk dan keterangan-keterangan yang telah dikumpul.
“Berdasarkan dari itu kita telah “upgrade” kertas siasatan daripada orang hilang kepada kes bunuh,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai perkembangan kes kehilangan ahli perniagaan hartanah, restoran dan barang kemas dari Chennai, India itu.
Kehilangan ahli perniagaan itu dikaitkan dengan suspek kes pembunuhan jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain apabila dia dilapor hilang selepas dijemput oleh kedua-dua peguam, yang juga merupakan suspek utama kes pembunuhan Sosilawati, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur sebaik tiba di Malaysia 18 Januari lepas.
Isteri ahli perniagaan itu, S. Usharani, 24, membuat laporan polis berhubung kehilangan suaminya di Balai Polis Banting pada 8 September lepas.
Hari ini, Usharani menemui polis di Banting berhubung kes kehilangan suaminya itu. – Bernama

Jam tangan jadi petunjuk suami mungkin senasib Sosilawati

SUNGAI PETANI: Seutas jam tangan yang disahkan milik seorang kontraktor dilapor hilang April lalu, Mohd Shafiq Abdullah, 37,menjadi petunjuk kemungkinan lelaki itu senasib dengan jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya.
Isteri kontraktor itu, Samson Nahar Mohamed Dali, 35, berkata dia dipanggil polis untuk mengenalpasti jam tangan berkenaan ketika ke Banting minggu lalu membantu siasatan.

"Saya tak pasti macam mana polis jumpa jam itu tapi yang saya ingat jumpa di ladang, saya cam jam itu sebab suami ada banyak jam berjenama tapi satu itu saja yang bertali kulit jenama Puma," katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Taman Bunga Raya, di sini hari ini.

Samson Nahar berkata beliau dipanggil polis kerana dalam kenyataannya mengenai kehilangan suami di balai polis Petaling, Kuala Lumpur April lalu, beliau memberitahu sudah menghubungi suspek utama kes pembunuhan Sosilawati untuk mencari Mohd Shafiq. Beliau berkata laporan polis mengenai kehilangan suaminya dibuat pada 13 April lalu di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda di sini dan kes itu kemudian dipindahkan ke balai polis Petaling kerana suaminya hilang di Kuala Lumpur.

Sosilawati, 47, bersama pemandu peribadinya Kamaruddin Shamsuddin, 44, pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru, Kuala Lumpur, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam peribadi Ahmad Kamil Abd Karim, 32, dilaporkan hilang sejak 30 Ogos lalu selepas dikatakan ke Banting untuk urusan pembelian tanah.

Keempat-empat mangsa kemudian disahkan polis dipukul sampai mati sebelum mayat mereka dibakar dan abunya dibuang ke dalam sungai berdekatan Ladang Gadong, Tanjung Sepat.

Samson Nahar berkata Mohd Shafiq yang berasal dari Perak tinggal di sebuah rumah sewa di Kuchai Lama, Kuala Lumpur kerana bekerja di sana dan hanya pulang ke rumah mereka di Sungai Petani setiap hujung minggu. Beliau berkata selepas menyedari ada sesuatu yang buruk berlaku terhadap Mohd Shafiq, beliau menghubungi semua rakan-rakan serta pihak-pihak yang pernah berurusan dengan suaminya termasuk suspek.

"Semua orang jawab tak tahu, tapi dia (suspek) seorang saja yang bagi jawapan ada jumpa suami dan beritahu suami saya ke luar negara dan akan balik lima enam hari lagi.

"Tapi bila saya tanya pergi mana, dia kata rahsia dan dari situ saya rasa pelik dan terus pergi ke rumah sewa suami di Kuchai Lama untuk mencari pasport suami saya," katanya.

Samson Nahar berkata beliau menemui pasport suaminya di rumah sewa itu dan ketika itu beliau menyedari bahawa kehilangan suaminya ada kaitan dengan suspek.

Kali terakhir Samson Nahar berhubung dengan suaminya melalui telefon ialah pada 7 April lalu dan gagal menghubunginya sehari selepas itu.
Beliau berkata polis juga sudah mengambil sampel untuk ujian DNA daripada ibu Mohd Shafiq yang kini menetap di Dengkil, Selangor. "Polis juga ada meminta barang peribadi suami, saya ada serahkan kasut suami minggu lepas kerana itu saja yang ada untuk membantu siasatan dan saya dimaklumkan keputusan DNA akan siap dalam dua minggu," katanya.

Mengimbas kenangan bersama suami sejak 14 tahun lalu, Samson Nahar berkata Mohd Shafiq seorang yang sangat bertanggungjawab dan tidak pernah lupa untuk memaklumkan destinasinya sekiranya mahu ke mana-mana.

Beliau berkata walaupun ingin ke sesuatu tempat dalam tempoh yang singkat, suaminya akan tetap memberitahu dan pulang bertemu dengan keluarganya terlebih dulu.

"Dia memang selalu ke luar daerah dan ada juga pergi ke luar negara, tapi setiap kali sebelum pergi mana-mana dia mesti balik sini dulu sehari atau dua hari untuk bersama saya dan anak-anak," katanya.
Samson Nahar berkata selepas dimaklumkan 95 peratus kemungkinan suaminya adalah antara mangsa jenayah kejam itu pada malam Hari Raya lalu, keluarganya mengadakan solat ghaib serta majlis tahlil untuk suaminya.

"Namun saya masih menaruh harapan suami selamat selagi belum ada pengesahan dan sekiranya disahkan dia sudah meninggal, kami kena terima dan saya harap dapat mengebumikan tulangnya di sini (Sungai Petani)," katanya. Samson Nahar berkata beliau dan anak-anak akan berpindah ke rumah yang baru dibeli suaminya di kawasan perumahan berhampiran tempat tinggalnya sekarang dalam tempoh terdekat.

"Tapi saya tak tau macam mana nak teruskan hidup lepas ini sebab hilang tempat bergantung, saya pula tiada kerja tetap," kata surirumah yang mengajar kelas tambahan kepada pelajar sekolah secara sambilan di rumah. - Bernama

Kesemua suspek kes Sosilawati jalani ujian DNA di HKL

KUALA LUMPUR: Lapan suspek yang dipercayai terbabit dalam kes pembunuhan kejam jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain hari ini dibawa ke Hospital Kuala Lumpur dipercayai bagi menjalani ujian Asid Deoksiribonukleik (DNA).
Kesemua mereka tiba di perkarangan Jabatan Kecemasan dan Trauma hospital itu kira-kira jam 3 petang menaiki sebuah trak polis yang diiringi dua kereta peronda polis.

Mereka yang dibawa dari Pusat Tahanan Bukit Jalil itu kemudian memasuki sebuah bilik dipercayai bagi mendapatkan sampel DNA berhubung kes terbabit.

Tujuh daripada mereka dilihat memakai pakaian lokap berwarna oren manakala seorang lagi memakai pakaian lokap berwarna ungu.

Kesemua mereka kemudian dilihat keluar dari perkarangan terbabit kira-kira jam 5 petang dan dikawal ketat anggota polis yang mengiringi mereka sebelum meninggalkan hospital itu.

Media cetak dan elektronik yang berkumpul di perkarangan hospital terbabit turut ditemani ratusan orang awam termasuk doktor, jururawat dan pesakit yang tidak melepaskan peluang melihat kehadiran suspek.

Sosilawati, 47, bersama pemandu peribadinya Kamaruddin Shamsuddin, 44, pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru, Kuala Lumpur, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam peribadi Ahmad Kamil Abd Karim, 32, dilaporkan hilang sejak 30 Ogos lalu selepas dikatakan ke Banting untuk urusan pembelian tanah.

Keempat-empat mangsa kemudian disahkan polis dipukul sampai mati sebelum mayat mereka dibakar dan abunya dibuang ke dalam sungai berdekatan Ladang Gadong, Tanjung Sepat.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohd Bakri Zinin menerusi laman web sosial Facebook Polis Diraja Malaysia (PDRM) berkata polis sudah menerima kembali kertas siasatan kes terbabit yang dipulangkan Pejabat Peguam Negara semalam.

"Proses terbabit adalah prosedur biasa bagi membantu siasatan," katanya. - Bernama

Gelang emas berlumpur

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin, Saipul Adli Mohamad, Abdullah Wahab, Zaitie Satibi, Shanty Nur Shaffizan Shafee, Shamsul Munir Safini dan Omar Osman

2010/09/22 



BANTING: Satu gelang emas dipercayai milik jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya, menjadi bukti terbaru yang ditemui dalam tali air berdekatan kunci air Sungai Lang di sini, petang semalam.
CARI...penyelam PDRM mencari bahan bukti di sungai berhampiran Pasar Besar Banting, semalam.
CARI...penyelam PDRM mencari bahan bukti di sungai berhampiran Pasar Besar Banting, semalam.
sebelum  -  selepas
KAWAL...anggota polis membawa suspek utama ke pejabatnya di Jalan Sultan Ahmad Shah di sini, semalam.


KAWAL...anggota polis membawa suspek utama ke pejabatnya di Jalan Sultan Ahmad Shah di sini, semalam.
Gelang emas bersalut lumpur itu ditemui kira-kira jam 4 petang hasil pencarian tiga anggota polis daripada Unit Menyelam, Pasukan Gerakan Marin (PGM).

Sepasukan polis turut membawa suspek utama yang juga seorang peguam ke lokasi terbabit difahamkan untuk mencari telefon bimbit milik mangsa. Bagaimanapun, selepas hampir dua jam menyelam, telefon itu gagal ditemui sebaliknya penyelam menemui satu gelang emas.

Usaha mengesan bukti baru itu dihentikan kira-kira jam 5.30 petang berikutan hujan lebat.

Sebelum itu, pada kira-kira jam 2.25 petang, suspek yang memakai baju lokap berwarna ungu dengan tangan bergari diiringi anggota polis terlebih dulu memasuki pejabat guaman miliknya yang terletak berhadapan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat di Jalan Sultan Ahmad Shah, di sini.

Ini kali kedua polis memasuki premis terbabit selepas kali pertama pada Selasa lalu. Turut memasuki premis terbabit ialah dua wanita berusia 20-an dipercayai pekerja suspek. Ketika meninggalkan premis itu, seorang anggota polis dilihat membawa beberapa dokumen.
Sosilawati bersama tiga lagi rakannya dilaporkan hilang pada 30 Ogos lalu sebelum ditemui dibunuh di Ladang Gadong, di sini.

Sebelum ini, polis menjalankan operasi mencari bahan bukti di Sungai Panchau dan menemui serpihan tulang manusia dipercayai milik keempat-empat mangsa.
Selain itu, beberapa senjata seperti pisau, batang besi dan dua jam tangan dipercayai milik mangsa ditemui di Sungai Kanchung Laut, di sini. Polis turut menemui enam zink di dasar Sungai Gelanggang Buaya di Kampung Kelanang, di sini.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Bakri Zinin gagal dihubungi bagi mengesahkan penemuan bukti baru itu.

Sukar lupus bukti bunuh

KUALA LUMPUR: Pelbagai kaedah digunakan penjenayah melupuskan bukti pembunuhan kejam termasuk menggunakan asid untuk mencairkan mangsa atau menanam mayat mangsa di dalam konkrit batu, namun semua itu bukan halangan polis mendapatkan bukti secukupnya bagi mendakwa suspek di mahkamah.
Penganalisis jenayah, Kamal Effendi Hashim berkata, sebelum ini ada antara penjenayah tempatan pernah menggunakan pelbagai kaedah kejam antaranya mencurahkan cecair asid menghapuskan tisu badan mangsa, meletupkan mangsa dengan bom, selain menanam mangsa dalam konkrit batu, namun usaha itu gagal membebaskan mereka dari bukti Asid Deoksiribonukleik (DNA). 

Menurutnya, biar apa sekalipun kaedah kejam digunakan, bukti fizikal DNA tetap diperoleh walaupun jasad tubuh mangsa tidak lagi berada di lokasi kejadian.

Keahlian dilucut tahun lalu

KUALA LUMPUR: Lesen amalan guaman dua peguam yang menjadi suspek kes bunuh Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain sudah digantung dan dilucutkan keahlian bermula 5 November tahun lalu.
Presiden Majlis Peguam, Ragunath Kesavan berkata, pembatalan itu dibuat selepas Majlis Peguam membuat siasatan berhubung salah laku kedua-dua mereka yang juga adik-beradik, tetapi mereka mengemukakan rayuan di Mahkamah Tinggi di sini untuk membuat penangguhan ke atas pembatalan itu.

“Berikutan kebenaran permohonan pembatalan itu mereka masih meneruskan amalan sebagai peguam,” katanya pada sidang akhbar di sini, semalam.

Beliau berkata, setiap peguam yang didapati terbabit dalam penyelewengan akaun anak guam, rasuah dan lain-lain kesalahan berat dibatalkan lesen amalan mereka serta-merta setelah siasatan.

“Sejak lima tahun lalu, 30 peguam dibatalkan keahliannya. Bagaimanapun, jumlah itu terlalu kecil kerana membabitkan 0.02 peratus peguam yang menjadi ahli. Namun, sebagai pertubuhan profesional, kami tetap mengambil berat setiap salah laku ahli kami,” katanya.

Pada masa sama, Ragunath turut merakamkan ucapan takziah kepada semua keluarga mangsa termasuk keluarga Ahmad Kamil Abdul Karim yang juga ahli Majlis Peguam Malaysia dan berharap semua suspek dihadapkan ke mahkamah secepat mungkin.

“Kami merayu pihak media dan pihak lain supaya tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kes ini kerana ia hanya menjejaskan siasatan polis atau perbicaraan di mahkamah nanti.

“Bagaimanapun, orang ramai diingatkan tidak terlalu cepat menjatuhkan hukuman kerana semua suspek berhak mendapat pembelaan sewajarnya dan walau sekeji manapun perbuatan mereka biarlah mahkamah menentukan mereka bersalah atau sebaliknya,” katanya.

Ragunath turut menasihati orang ramai menyelidik terlebih dulu kelayakan peguam menerusi laman web atau menghubungi mereka sebelum berurusan dengan mana-mana peguam selain bersedia menerima sebarang laporan sekiranya terdapat salah laku dibuat ahlinya.

Mengenai bidang kuasa Majlis Peguam, Ragunath berkata: “Bidang tugas kami terhad sebagaimana badan profesional lain dan kami hanya berkuasa untuk selia amalan guaman. Kami tidak boleh kawal akaun bank peribadi mereka. Jika mereka terbabit dalam perniagaan persendirian, kami tiada kuasa untuk menyelia.”

Kontraktor tak pulang-pulang

SUNGAI PETANI: “Hati saya terdetik mengatakan suami akan pulang pada Aidilfitri lalu menyebabkan saya membeli sepasang baju Melayu biru untuknya,” kata Samsonnahar Mohd Dali, 35, isteri kepada kontraktor, Shafik Abdullah, 37, dipercayai turut menjadi mangsa peguam yang kini suspek utama kes pembunuhan kejam jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya serta tiga individu lain.

Menurut Samsonnahar, walaupun pada hakikatnya dia sedar suaminya mungkin tidak pulang, gerak hati itu menyebabkan dia tetap menaruh harapan berlaku keajaiban dan menunggu kemunculan suaminya pada pagi 1 Syawal lalu.

“Bagaimanapun, impian itu hanya tinggal angan-angan kosong,” katanya ketika ditemui, semalam.

Katanya, suaminya keluar dari rumah mereka di Taman Bunga Raya, di sini, pada 5 April lalu, kira-kira jam 5 pagi menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) Honda Stream warna emas menuju ke Kuala Lumpur dipercayai berurusan dengan peguam terbabit.

“Sehingga kini, suami tidak pulang ke rumah dan apabila menghubungi telefon bimbitnya, ia diputuskan. Kali terakhir saya bertemu suami pada hari itu manakala pada 7 April antara jam 10.30 malam dan 11 malam, suami menelefon saya memberitahu dia akan pulang pada 9 April.

“Dia juga berharap dapat pulang ke Sungai Petani secepat mungkin kerana mahu memasuki rumah baru yang dibeli di Taman Cemara, kira-kira satu kilometer dari rumah sekarang, tetapi dia sedikit pun tidak mengadu dan bercerita mengenai masalah dihadapinya,” katanya.

Samsonnahar yang mempunyai tiga anak berusia lima hingga 13 tahun berkata, dua hari selepas itu, dia ada menelefon peguam terbabit dan dimaklumkan suaminya ke luar negara dan akan pulang selepas lima atau enam hari lagi.

“Saya terkejut dengan jawapan peguam terbabit sebelum membuat laporan di Balai Polis Sungai Petani.

“Akibat tidak berpuas hati dengan penjelasan peguam itu, saya ke rumah sewa suami di Meadow Park 2, Jalan Kuchai Lama terkejut apabila menemui pasport antarabangsanya dalam beg, tetapi keretanya tiada di situ,” katanya.

Menurutnya, kereta milik suaminya ditemui tersorok di tempat letak kereta di Pelabuhan Klang selepas sistem penggeranya berbunyi akibat perbuatan khianat.

Katanya, suaminya dipercayai mengenali peguam terbabit sejak setahun lalu selepas diperkenalkan seorang rakan dan sejak itu, suaminya sering berhubung dengan lelaki berkenaan.
Samsonnahar berkata, dia terkejut apabila Balai Polis Banting, baru-baru ini, memaklumkan bahawa 95 peratus siasatan polis mengesahkan suaminya seorang daripada mangsa peguam terbabit yang kini ditahan polis.

“Saya masih berharap menerima berita gembira. Apapun, saya bersedia menerima sebarang kemungkinan yang menimpa suami dan reda dengan kejadian menimpanya.

“Sejak kehilangan suami, saya banyak melakukan solat tahajud dan hajat. Alhamdulillah selepas lima bulan kehilangannya, saya dapat menerima kenyataan walaupun tidak tahu di mana kubur dan jasadnya,” katanya.

Sementara itu, di Kuala Lumpur, sumber polis mengesahkan ada menerima laporan mengenai kehilangan Shafik Abdullah dan seorang lagi rakannya sejak April lalu.
Sumber itu berkata, polis mengklasifikasikan kes kehilangan mereka sebagai kes orang hilang dan siasatan lanjut sedang dijalankan sama kehilangan mereka ada kaitan dengan suspek utama kes Sosilawati.