BANTING: Keluarga jutawan yang juga ahli perniagaan India yang dikatakan turut menjadi mangsa ‘hilang dan bunuh’ suspek utama kes pembunuhan Datuk Sosilawati Lawiya, 47, dan tiga yang lain akan dipanggil untuk menjalani ujian DNA secepatnya minggu depan.
Perkara ini dinyatakan isteri ahli perniagaan berkenaan, S Usharani, 24, yang hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat, di sini, kira-kira jam 10.30 pagi, semalam bagi mendapat maklumat lanjut berhubung kehilangan suaminya sejak Januari lalu.Menurut Usharani, pihak polis meminta dia berhubung dengan keluarga suaminya supaya beberapa ahli keluarga suaminya seperti bapa, ibu atau adik mangsa dapat memberi kerjasama menjalani ujian terbabit.
“Polis memaklumkan kepada saya supaya meminta keluarga mentua dapat datang ke Malaysia untuk menjalani ujian DNA.
“Ini berikutan, terdapat penemuan beberapa spesimen termasuk serpihan tulang yang boleh membantu siasatan berhubung kehilangan suami,” katanya ketika ditemui di hadapan pintu masuk ladang ternakan lokasi utama kes pembunuhan jutawan kosmetik terbabit.
Bagaimanapun, Usharani tidak dibenarkan memasuki kawasan ladang terbabit yang masih dikawal polis bagi usaha mengesan bukti baru kes pembunuhan kejam berkenaan.
Wanita warganegara India itu dilihat hadir ke lokasi kejadian kes pembunuhan itu bersama Ahli Parlimen Kapar, S Manikavasagam.
Menurutnya, dia berada di negara ini bagi tempoh lebih kurang seminggu dan bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan berhubung kes kehilangan suaminya yang juga saudagar permata dari Chennai, India, Allal Kathan Muthuraja, 34.
Usharani kemudiannya dilihat turut melawat Sungai Panchau dan Sungai Kanchong yang terletak berhampiran ladang ternakan berkenaan di mana beberapa bukti turut ditemui.
Dia meninggalkan Banting untuk ke satu lokasi yang dirahsiakan.
Sementara itu, Ketua Polis IPD Kuala Langat, Superintendan Nordin Manan, mengesahkan kehadiran wanita berkenaan dan pihaknya memberi penerangan ringkas mengenai kes suaminya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan