Jumaat, 24 September 2010

Tak terniat ambil kesempatan

Oleh Abdullah Wahab, Hamizah Badiran, Shanty Nur Shaffizan Shafee dan Shamsul Munir Safini

2010/09/24
Tak terniat ambil kesempatan



KUALA LUMPUR: “Tak pernah terlintas langsung di hati saya untuk mengambil kesempatan terhadap harta isteri dan keluarganya seperti tohmahan yang dilemparkan. Bagi saya, tiada lebih penting selain keharmonian keluarga dan anak-anak tiri saya,” kata suami Datuk Sosilawati Lawiya.
Ahli perniagaan berusia 48 tahun itu yang masih enggan identitinya didedahkan berkata, dia kurang menonjolkan diri di sebalik kematian tragis isterinya kerana tidak mahu orang tersalah anggap dan menuduh dia ingin mengambil harta jutawan wanita itu.

“Maklumlah perkahwinan saya dengannya masih baru, jadi orang mudah berprasangka terhadap saya. Insya-Allah, wang yang saya ada cukup untuk saya,” katanya dalam temuramah dengan RTM dan Harian Metro di sini, semalam.

Lelaki itu berkata, dia bernikah dengan jutawan kosmetik berkenaan pada November tahun lalu dan jarang mencampuri urusan perniagaan isterinya yang dipanggil dengan panggilan Wati.

“Saya sudah mengenali Wati 10 tahun lalu atas urusan perniagaan sebelum berkahwin dengannya, malah perkahwinan kami atas dasar cinta dan bukan seperti digembar-gemburkan masyarakat iaitu kerana harta atau sebagainya,” katanya.

Menurutnya, kali terakhir dia berjumpa isterinya pada 26 Ogos lalu ketika menghantar Wati menghadiri perbicaraan mahkamah pada hari berkenaan dan sepanjang Ramadan lalu hanya dua kali mereka berbuka puasa bersama.



Katanya, dia tidak dapat melupakan permintaan terakhir arwah supaya mengimamkan solat Maghrib ketika pertemuan terakhir mereka.

“Itu permintaan terakhirnya kepada saya sebelum dia dilaporkan hilang pada 30 Ogos lalu dan seterusnya disahkan mati akibat dibunuh secara kejam hampir dua minggu kemudian,” katanya yang berasal dari Indonesia, tetapi sudah mendapat status penduduk tetap negara ini. 



Ketika ditanya mengenai perniagaannya, beliau yang berstatus duda beranak tiga sebelum berkahwin dengan Sosilawati berkata, dia terbabit perniagaan import dan eksport, tetapi enggan mengulas lanjut mengenai perniagaannya.

Beliau amat berharap orang ramai tidak membuat tuduhan yang bukan-bukan ke atasnya dan menghormati privasinya serta pendiriannya untuk tidak mahu identitinya didedahkan.

“Sebelum ini, saya bukan mengelak daripada media, tapi saya risau soalan yang diajukan kepada saya akan mengganggu siasatan polis. Namun, saya kecewa apabila ada yang membuat tohmahan mengaitkan saya dengan kematian Wati.

“Untuk makluman, saya memberikan kerjasama sepenuhnya kepada polis dan siasatan polis setakat ini membuktikan saya tidak terbabit kes ini,” katanya.

Lelaki itu berkata, dia juga berpuas hati dengan siasatan polis dan memuji kemampuan polis melakukan siasatan dalam masa singkat sebelum menahan suspek.

Sosilawati dibunuh kejam bersama tiga lagi individu lain iaitu Kamaruddin Shamsuddin, 44; peguam, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dan perunding kewangan, Noorhisham Mohamed, 38, ketika pergi ke Banting bagi tujuan pembelian tanah di Batu Feringgi, Pulau Pinang.

Mereka dipercayai diikat, dipukul dan ditikam hingga mati sebelum mayat mereka dibakar dan abunya dibuang ke dalam sungai berdekatan Ladang Gadong, Tanjung Sepat, Banting.

Berikutan itu, polis menahan lapan suspek termasuk dua peguam adik-beradik berusia 41 dan 38 tahun kerana disyaki terbabit pembunuhan itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan