Ahad, 19 September 2010

Sikap Bak Iblis

Sikap Bak Iblis
Posted on Thursday, September 16 @ 19:44:52 PDT 
Oleh Mazidul Akmal Sidik


Bukan mudah tugas dalam bidang kewartawanan apabila melaksanakan liputan berhubung kes pembunuhan kejam menggemparkan negara.


Saya lihat ramai rakan setugas daripada syarikat media cetak dan elektronik berbeza berulang-alik setiap hari dari tempat kerja ke lokasi kejadian



"Ini nasi goreng pagi tadi, baharu sempat makan," kata rakan media.


Jam tangan saya menunjukkan pukul 6 petang ketika dia menyuapkan makan ke mulut.


Seperti diketahui majoriti pembaca, sejak 11 September lalu pihak polis tidak membenarkan kakitangan media menghampiri lokasi kejadian biarpun pada awalnya sebilangan wartawan dan jurukamera cuba menyusup masuk ke kawasan ladang, lokasi pembunuhan Datuk Sosilawati Lawiya dan 3 mangsa lain. 3 daripada mereka ditahan polis, disoal siasat dan dibebaskan 30 minit kemudian.


Kredibiliti jurukamera akan dipersoalkan jika gagal merakamkan gambar berkaitan kejadian kini menjadi isu 'hangat' peringkat nasional. Keupayaan wartawan juga dipertikaikan jika gagal menulis fakta terkini berhubung kes terbabit. Namun, tugas itu bukan semudah disangka. Berita sekadar dengar cakap, hearsay jika disiarkan bakal memakan diri. Pasti pihak berkuasa 'melompat' dan berang dengan tindakan itu biarpun berita terbabit barangkali ada kebenarannya. 


Saya yakin majoriti wartawan bertugas membuat liputan kes pembunuhan kejam terbabit mengetahui banyak maklumat berbentuk off record dari pelbagai pihak termasuk pegawai dan anggota polis. Namun, maklumat terbabit wajib disahkan pegawai atasan Pasukan Polis Diraja Malaysia terlebih dahulu sebelum disiarkan. 


Sewaktu berada di kawasan dianggarkan 600 meter dari lokasi kejadian, pelbagai isu kedengaran ditimbulkan orang ramai.


Mengapa hanya setelah kes pembunuhan Datuk Sosilawati dan 3 mangsa lain terbongkar, baharulah laporan kehilangan sebilangan mangsa sebelum ini akan disemak semula? Bagaimana jika mangsa terkini bukan individu berprofil tinggi? Adakah laporan kes kehilangan orang mempunyai hubung kait dengan suspek utama, peguam berstatus 'Datuk' akan senyap begitu sahaja? Apakah status kertas siasatan dibuka pegawai penyiasat kes sebelum ini? 

Mekanik, P. Balasandam, 54 mula membuka mulut, baca di sini dan barangkali soalan sama bermain di mindanya.


Saya bukan individu berhak menjawab semua soalan terbabit. Namun saya percaya soalan sama akan terus meniti di bibir anggota masyarakat jika tidak dijawab secara logik.


"Polis akan membuka semula kertas siasatan kes terdahulu"


Kenyataan itu bukan berbentuk jawaban, hanya sekadar tindakan susulan pihak berkuasa.


Pagi ini, Ketua Polis Negara, KPN Tan Sri Ismail Omar dilaporkan akan berkunjung ke Ibu Pejabat Polis Daerah, IPD Kuala Langat. Tujuan sebenar lawatan itu tidak jelas setakat ini. Saya telah meminta wartawan 999 untuk berada di lokasi sama pada jam 9 pagi hari ini. Jika mengadakan sidang media, mungkin KPN bakal menjawab persoalan di atas.


Ahli perniagaan berusia 42 tahun saya temubual malam semalam di Dengkil mendakwa suspek utama kes pembunuhan gagal menjelaskan bayaran tertunggak hasil 2 transaksi pembelian dan penjualan tanah seluas seluas 30 dan 15 ekar di Batu Feringgi dan Butterworth, Pulau Pinang di antara tahun 2008 dan 2009.


Untuk transaksi pertama, tanah dibeli berharga 25 juta ringgit dan dijual 29 juta ringgit. Maksudnya, beliau, Datuk Sosilawati dan 2 individu kenamaan lain setakat ini masih tidak menerima bahagian keuntungan mereka diuruskan suspek. Saya difahamkan keuntungan diraih kononnya akan dijelaskan dalam tempoh 6 bulan. Kini lebih 2 tahun masa berlalu dan lebih malang seorang daripada rakan kongsi terkorban, pembayaran masih tertunggak.


Untuk rekod, kesemua 'mangsa' berstatus 'Datuk'.


Saya mengetahui tindakan ahli perniagaan terbabit membuat laporan di IPD Kuala Langat 2 hari lalu. Namun membuat keputusan berkongsi berita eksklusif terbabit bersama wartawan Harian Metro dan Berita Harian. Liputan mereka akan disiarkan pada hari Jumaat manakala rakaman temubual sama akan disiarkan di dalam program 999, malam ini. Itu memorandum of understanding kami persetujui.


Dalam temubual lebih sejam, ahli perniagaan sama mendakwa mengenali suspek utama dan Datuk Sosilawati sebagai rakan perniagaan sejak 3 tahun lalu.


"Datuk (suspek utama) sebelum ini kalau pergi ke mana pun bersama polis," katanya.

Wow!


Pada masa sama saya dimaklumkan, suspek sama berusia 41 tahun itu juga acapkali diiringi beberapa pengawal peribadi mengikut keperluan.


Akhbar melaporkan, suspek memiliki aset dianggarkan bernilai 200 juta ringgit di simpan di dalam beberapa akaun bank.


Kenalan dan wang menjadikan suspek individu berpengaruh di kalangan masyarakat khususnya di Banting, itu hemat saya.


"Datuk bila bercakap lembut, fasih berbahasa Melayu dan kalau makan nasi lemak dan minum teh tarik di gerai biasa pun, dia tak kisah tetapi dengan pekerja dia, saya dengar, dia memang garang," ujar ahli perniagaan terbabit. 


Kesimpulannya, penampilan luaran beradap manusia tidak semestinya menjamin kemurnian dan keikhlasan hati.


Saya percaya pembaca juga pernah mengenali manusia berperwatakan baik pada luaran tetapi hakikatnya bersikap bak iblis.

Cuba ingatkan kembali.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan