Ahad, 19 September 2010

Hati Kering

Hati Kering
Posted on Thursday, September 16 @ 19:35:54 PDT 
Oleh Mazidul Akmal Sidek (Ex 999 TV3)


Melayu, India, Cina mahupun etnik dari Sabah dan Sarawak berkebarangkalian menjadi penjenayah.

Penjenayah dibenci kerana kegiatan mereka membawa musibah kepada masyarakat. Penjenayah antaranya menyamun, merompak, merogol, meliwat dan membunuh.

Dalam kes samun dan rompak, mangsa kehilangan harta. Namun harta boleh dicari selagi manusia bernyawa. Manakala perempuan dan lelaki menjadi mangsa rogol dan liwat akan menempuh kehidupan penuh tekanan dan stigma namun mereka mampu menghela nafas.

Dalam kes bunuh, mangsa kehilangan nyawa. 

Kejadian bunuh bukan asing di negara kita mahupun di negara dunia lain. Warganegara sendiri saling berbunuhan, begitu juga di kalangan warga asing bermastautin di Malaysia. 

Cuma kaedah pembunuhan dan darjah kezaliman berbeza.

Sebilangan mangsa bunuh ditikam senjata tajam, dihentak senjata tumpul, ditembak senjata api, diracun, dilemaskan dan dicekik.

Semua kejadian terbabit pernah direkod berlaku di negara kita dan perbuatan penjenayah terbabit dilabel zalim. 

Kes pembunuhan Datuk Sosilawati dan 3 mangsa lain, dianggap terlalu kejam dan tidak berkemanusian. Mengapa?

Sebelum ini sebilangan mangsa jenayah turut dibakar. Saya pernah membuat liputan awal pagi, kes lelaki dibakar di Puchong, Selangor beberapa tahun lalu. Ketika tiba di lokasi, mayat mangsa terlentang di dalam longkang masih berasap dan bau daging terbakar menusuk hidung. Namun, perincian kes tidak mampu saya ingati malah identiti mangsa sudah lupus dari ingatan.

Bagaimanapun saya yakin tragedi pembunuhan Datuk Sosilawati akan kekal terpahat di dalam minda sepanjang hayat. Bukan kerana mangsa berstatus 'Datuk' tetapi kerana terbukti kes itu membabitkan penjenayah berhati kering bertindak TERLALU kejam.

Kesemua mangsa dibelasah, diikat, ditikam, dibakar dan abu mayat dibuang ke sungai. Jumlah mangsa, 4 bukan 1. Setiap mereka melalui pengalaman getir dan menyeksakan sebelum menghembuskan nafas terakhir.

Untuk rekod, sebilangan penjenayah berbangsa India sebelum ini, lazimnya 'memenuhkan' kepala mereka dengan alkohol atau 'tani' di dalam bahasa Tamil sebelum melakukan jenayah. Jika kepala 'kosong', keberanian dan keyakinan mereka mudah digugut.

Saya difahamkan, penjenayah berusia 19 tahun diberkas polis antara suspek mengaku terbabit membunuh mangsa. Dia dikatakan tidak berada di bawah pengaruh dadah atau alkohol, maksudnya ketika menikam mangsa dia berada dalam keadaaan waras.

Akhbar melaporkan penjenayah ditahan menerima upah RM2,500 untuk membunuh tetapi sumber saya memaklumkan upah terbabit lebih rendah, RM2,000 sahaja.

Berita berikut saya petik dari akhbar Harian Metro bertarikh 29 April 2010.

“Siasatan mendapati telefon bimbit itu hanya dijual dengan harga antara RM250 hingga RM700 berbanding harga asal iaitu mencecah RM2,000 bagi seunit,” katanya.

Maksudnya, upah membunuh sama dengan harga telefon bimbit asli sahaja.

8 suspek diberkas berhubung kes pembunuhan sama, 2 daripada mereka wanita warga tempatan dan asing. Identiti mereka masih dirahsiakan. Desas-desus 'kuat' mengatakan, wanita tempatan itu, teman wanita suspek, remaja berusia 19 tahun manakala warga Filipina, teman wanita peguam berstatus 'Datuk' dibeli dengan harga RM180,000 daripada ahli perniagaan belum dikenal pasti.

Lazimnya, sebilangan besar remaja berusia 19 tahun berada di menara gading, memburu diploma dan ijazah. Jika benar remaja terbabit pembunuh, pastinya dia mendapat pendidikan di 'universiti' jalanan. Universiti tanpa kuliah tetapi mempunyai 'pensyarah'. Setiap arahan pensyarah, wajib dipatuhi jika ingin menjadi 'graduan' di universiti terbabit. Saya harap pembabitan remaja terbabit di kancah jenayah, kes terpencil.

Tanjung Malim juga mempunyai 'graduan' dan 'pensyarah' di 'universiti' jalanan. Sila baca di sini.

Antara pekerja, 'graduan' kedai terbabit, saya anggarkan masih remaja, lihat gambar di bawah.

Pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Cawangan Tapah, Perak memaklumkan saya melalui pesanan ringkas, kedai menjual bahan cakera optik cetak rompak dan lucah terbabit dilaporkan diserbu 29 kali sejak Oktober 2003 dan nilai barangan disita hampir RM700,000. Berikutan paparan 999 pada 2 September, pihak polis dilaporkan menyerbu premis sama 5 hari kemudian, hasilnya 196 kotak mercun dirampas. Untuk makluman, Balai Polis Tanjung Malim terletak kurang 2 kilometer dari premis terbabit.

Jelasnya, pada 11 September lalu ketika tinjauan saya jalankan, kedai sama masih beroperasi dan memasarkan mercun secara terbuka.

Untuk rekod, 'pensyarah' dan 'graduan' berbangsa India. Bukan bersifat perkauman, cuma mendedahkan fakta sebenar.

Peguam, 41 tahun suspek utama kes pembunuhan Sosilawati dan mangsa lain disyaki terbabit dalam pelbagai lagi kes jenayah lain sebelum ini namun berjaya 'mengelak' dari tindakan perundangan dipercayai berikutan dia dikatakan mempunyai connections dengan ramai individu berpengaruh. 

Manakala kedai di Tanjung Malim, diserbu dan pengusaha dihadapkan ke mahkamah namun masih menjalankan kegiatan sama.

Beza di antara kedua kes? Skala, besar dan kecil tetapi siapa lebih hebat? 

Siapa pula connections mereka? 

Tanjung Malim, home town saya dan saya telah mengistiharkan 'perang' terhadap pengusaha kumpulan 'kebal' mencemar nama baik pekan itu.

Apapun, saya sama sekali tidak berhasrat untuk dibelasah, diikat, ditikam dan dibakar. Sungai Bernam, sempadan Perak dan Selangor terlalu hampir dengan kedai terbabit ...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan