Khamis, 21 Oktober 2010

Anak Sosilawati serah borang

2010/10/21

 ERNI Dekritawati (kanan) bersama  Rosnah  selepas menyerahkan borang keahlian Puteri Umno.
ERNI Dekritawati (kanan) bersama Rosnah selepas menyerahkan borang keahlian Puteri Umno.
ANAK sulung jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya yang mati dibunuh, Erni Dekritawati Yuliana Buhari menyerahkan borang keahlian kepada Ketua Puteri UMNO, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin, semalam. 

Erni Dekritawati atau lebih dikenali sebagai Rita, 25, tiba pada jam 5.30 petang ketika perwakilan mendengar perbahasan usul ucapan dasar ketua pergerakan itu.


Beliau meluangkan masa kira-kira setengah jam mendengar perbahasan daripada wakil Perlis, Amzira Abdullah yang juga Ketua Penerangan Perlis mengenai isu pendidikan.


Pengerusi Tetap Puteri UMNO, Azlieza Azizan kemudian mengumumkan Rita dilantik sebagai ahli jawatankuasa Biro Usahawan dan Pemantapan Ekonomi sayap berkenaan. 

Rita berkata, keputusan menyertai Puteri bagi membantu ahli mendalami bidang keusahawan kerana yakin pergerakan mampu menjadi landasan kepada generasi muda untuk maju. 

"Saya rasa boleh bantu mereka dari segi itu. Pengalaman serta ilmu yang ibu tinggalkan, saya boleh kongsi untuk membantu Puteri. 

"Keputusan menyertai Puteri dibuat selepas saya memikirkan kebaikan berbuat demikian dan saya rasa pilihan ini dapat membantu mereka yang susah," katanya. 
Ditanya sama ada penyertaannya dalam Puteri kerana mahu melupakan kesedihan akibat kejadian yang menimpa keluarganya, Rita berkata beliau tidak berniat langsung untuk melupakan ibunya. 

"Ini cara saya menghargai jasa ibunya yang banyak menolong ibu tunggal dan wanita kurang upaya, Ini platform untuk saya menolong orang," katanya. 

Anak Sulung Sosilawati Sertai Puteri Umno


KUALA LUMPUR: Anak sulung kepada jutawan kosmetik, Allahyarham Datuk Sosilawati Lawiya pada Rabu dilantik menjadi Ahli Biro Keusahawanan Pergerakan Puteri Umno.

Erni Dekritawati Yuliana Buhari, 25, sebelum itu menyerahkan borang menjadi ahli Puteri Umno kepada Ketua Sayap itu, Datuk Rosnah Abdul Rashid Sherlin pada pukul 5.30 petang tadi.

Beliau yang muncul semasa perbahasan sedang berlangsung sebelum itu sempat bersalaman dengan semua ahli Exco yang berada di pentas.

Rosnah turut dilihat memberikan kata-kata semangat kepada beliau.

Kehadirannya pada perhimpunan itu menarik perhatian semua perwakilan dan petugas media yang hadir.

Erni ketika ditemui media berkata, beliau mengambil keputusan untuk menyertai Puteri Umno bagi meneruskan hasrat arwah ibunya yang ingin membantu orang ramai.

Katanya, itu adalah satu cara untuk dirinya membantu usahawan wanita yang inginberjinak-jinak dalam dunia perniagaan.

"Semua ilmu dan pengalaman yang diajar oleh ibu akan saya gunakan sebaiknya untuk membantu orang ramai.

"Saya hanya meneruskan sifat ibu yang banyak membantu ibu tunggal dan golongan upaya," katanya.



Erni memberitahu dirinya telah berfikir secara mendalam sebelum membuat keputusan menyertai Puteri Umno.


Media sebelum ini melaporkan mengenai kehilangan Sosilawati bersama mangsa yang lain pada 30 Ogos lalu selepas dikatakan pergi ke Banting untuk bertemu seorang peguam berhubung urusan pembelian tanah.

Misteri kehilangan keempat-empat individu terbabit terungkai pada 12 Sept apabila pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohd Bakri Zinin dalam satu sidang akhbar, mengesahkan kesemua mereka dibunuh dengan kejam sebelum dibakar, manakala abunya dicampakkan ke sebatang sungai berhampiran.

Isteri bawa bukti baru

KUALA LUMPUR; Isteri kepada saudagar batu permata warga India, Allal Kathan Muturaja, 34, mendakwa mempunyai beberapa bukti baru yang mampu membantu proses penyiasatan berhubung kehilangan suaminya itu.
S Usharani, 24, yang juga seorang warga India sekali lagi tampil dengan mendakwa mempunyai beberapa bukti baru termasuk beberapa gambar individu dalam komputer riba suaminya yang dipercayai ada hubung kait dengan kes kehilangan suaminya itu.

Dia tiba di perkarangan Kedutaan India di Jalan Duta, di sini kira-kira jam 10.45 pagi sambil ditemani Ahli Parlimen Kapar, S Manikavasagam, dengan menaiki kenderaan pelbagai guna jenis Toyota Estima.


Selasa, 19 Oktober 2010

Pathmanabhan bukan peguam lagi

Pathmanabhan bukan peguam lagi




KUALA LUMPUR - Tertuduh pertama dalam kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya kini tidak dibenarkan bertindak sebagai peguam cara dan peguam bela.
Ia berikutan keputusan Mahkamah Tinggi di sini yang menolak dengan kos permohonan N. Pathmanabhan (gambar) dan juga adiknya, N. Surendran supaya mahkamah mengetepikan perintah Lembaga Tatatertib Peguam-peguam yang membatalkan nama mereka sebagai peguam berdaftar.
Hakim Datuk Mohd. Zawawi Salleh yang membuat keputusan itu di dalam kamar juga menolak permohonan kedua-dua beradik itu supaya perintah Lembaga Tatatertib tersebut digantung, sementara menunggu perbicaraan dan keputusan terhadap permohonan tersebut.
Peguam T. Rajasekaran yang mewakili responden M. Rajeanteran memberitahu pemberita, dengan keputusan tersebut Pathmanabhan dan adiknya yang pernah ditahan berhubung kes pembunuhan Sosilawati tidak lagi boleh bertindak dalam mana-mana urusan sebagai peguam termasuk dalam pembelian hartanah.
Rajeanteran merupakan anak guam dua beradik itu dalam pembelian satu hartanah pada 1999 dan beliau yang menyedari ditipu membuat aduan polis pada 2003.
Pihak lembaga mula menyiasat aduan Rajeanteran pada 8 Februari 2007 hingga 5 November 2009.
Pada 24 November tahun lalu, dua beradik itu memfailkan notis usul pemula memohon agar perintah Lembaga Tatatertib bertarikh 5 November 2009 diketepikan dan perintah lembaga itu digantung sementara menunggu perbicaraan dan keputusan notis usul pemula.
Di dalam notis itu, Pathmanabhan dan Surendran menyatakan perintah Lembaga Tatatertib itu tidak sah di sisi undang-undang dan terbatal kerana pihak lembaga tidak mematuhi Seksyen 103, D(1) Akta Profesyen Undang-undang 1976 apabila ia tidak menyatakan sama ada pihak lembaga menerima atau menolak keputusan atau pengesyoran Jawatankuasa Tatatertib.

Profesion peguam suspek kes bunuh, adik terbatal

Oleh Norhashimah Mohd Radzali
norhashimah@bharian.com.my
2010/10/19


Hakim kekal keputusan lembaga tatatertib terhadap tertuduh 

KUALA LUMPUR: Tertuduh pertama dalam kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya, N Pathmanabhan dan adiknya, Suren-dran tidak boleh mengamalkan profesion sebagai peguam cara dan peguam bela selepas rayuan mereka ditolak Mahkamah Tinggi semalam.

Berikutan itu, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohd Zawawi Salleh mengekalkan keputusan Lembaga Tatatertib Peguam membatalkan nama mereka daripada daftar peguam bela dan peguam cara Mahkamah Tinggi Malaya pada 5 November 2009.

Mahkamah turut menolak permohonan penangguhan terhadap pelaksanaan keputusan Lembaga Tatatertib itu yang diperoleh mereka pada 24 Disember 2009. 

Mohd Zawawi membuat keputusan itu dalam kamar memerintahkan Pathmanabhan dan Surendran membayar kos RM5,000 kepada pengadu, M Rajeanteran dan Majlis Peguam Malaysia. 

Peguam T Rajasekaran, yang mewakili Rajeanteran, berkata penangguhan pelaksanaan hukuman itu sebelum ini, membolehkan Pathmanabhan dan Surendran hadir di mahkamah tetapi tidak boleh menandatangani cek, berurusan dalam urusan jual beli tanah bagi mewakili firma guaman mereka, Pathma Nall Nalli & Partners. 

Bagaimanapun katanya, keputusan yang diperoleh semalam itu, menyebabkan keahlian mereka sebagai peguam cara dan pengamal undang-undang dibatalkan. 
Pada 23 November 2009, Pathmanabhan dan Surendran memfailkan notis usul pemula untuk mengetepikan perintah Lembaga Tatatertib itu dan penggantungan terhadap perintah berkenaan sementara menunggu perbicaraan dan keputusan terhadap notis itu. 

Mereka menamakan Rajeanteran sebagai responden, mendakwa perintah Lembaga Tatatertib itu tidak sah di sisi undang-undang dan terbatal kerana tidak mematuhi Seksyen 103 D(1) Akta Profesyen Undang-Undang 1976. 

Lembaga Tatatertib Peguam-peguam dalam afidavit balasannya, berkata kes itu wujud daripada aduan Rajeanteran pada 26 Ogos 2003, apabila Pathmanabhan dan Surendran memperkenalkan diri sebagai peguam cara yang beroperasi di sebuah firma guaman lain yang mempunyai alamat sama dengan firma mereka di Banting. 

Pada 5 November 2009, Lembaga Tatatertib selepas menimbangkan laporan daripada Tribunal Penyiasatan pada 18 September 2009, mendapati Pathmanabhan dan Surendran bertindak tidak jujur dan membatalkan nama mereka dari daftar peguam bela dan peguam cara Mahkamah Tinggi Malaya. 

Rayuan suspek bunuh Sosilawati ditolak

KUALA LUMPUR: N Pathmanabhan iaitu tertuduh utama dalam kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain, gagal dalam rayuannya terhadap keputusan Lembaga Tatatertib Peguam-Peguam yang membatalkan namanya sebagai peguam berdaftar.
Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohd Zawawi Salleh, yang membuat keputusan itu dalam kamarnya di sini ,semalam, menolak permohonan Pathmanabhan dan adiknya, N Surendran dan turut menolak penangguhan terhadap pelaksanaan keputusan lembaga itu yang dibuat pada 24 Disember 2009.

Pada 23 November 2009, Pathmanabhan dan Surendran memfailkan notis usul pemula untuk mengetepikan perintah Lembaga Tatatertib itu dan penggantungan terhadap perintah berkenaan sementara menunggu perbicaraan dan keputusan terhadap notis itu.

Mereka yang menamakan pengadu, M Rajeanteran sebagai responden, turut memohon kos permohonan dan sampingan dibayar responden serta relif lain yang dianggap sesuai oleh mahkamah.

Minta kaji pertuduhan

KUALA LUMPUR: Presiden Pertubuhan Sukarelawan Pembangunan Sosial Pencegahan Jenayah dan Anti Dadah Kuala Lumpur (Pencegah), Jeevan S Ramamurthy memohon Hakim Besar Malaya, Tan Sri Ariffin Zakaria menggunakan budi bicaranya mengkaji semula kertas pertuduhan ke atas kedua-dua tertuduh kes pembunuhan Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga lagi rakannya supaya mengikut Sekyen 302 Kanun Keseksaan.
Jumaat lalu, kedua-dua mereka K Sarawanan, 19, dan U Suresh, 26, dijatuhkan hukuman penjara tujuh tahun mengikut Seksyen 201 Kanun Keseksaan kerana melupuskan bahan bukti.

Jeevan berkata, hukuman yang dijatuhkan kepada mereka tidak memadai dengan kesalahan yang dilakukan kedua-dua tertuduh.

“Kami ingin memaklumkan kepada Ariffin dan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Ghani Patail bahawa kami tidak setuju dengan hukuman yang dikenakan ke atas mereka berdua.

“Walaupun mereka tidak terbabit dengan pembunuhan itu secara langsung tetapi mereka bersubahat membantu melakukan perbuatan itu seperti yang dihuraikan Seksyen 107 Kanun Keseksaan dan Seksyen 108 Akta yang sama,” katanya di sini semalam.

Menurutnya, kedua-dua mereka juga gagal memberi maklumat berkenaan pembunuhan itu kepada polis dalam tempoh yang lama sebelum kedua-dua mereka ditangkap dan disiasat.

Sementara itu, Timbalan Majlis Gabungan NGO Melayu Islam, Rahimuddin Md Harun turut mendesak hukuman ke atas kedua-dua tertuduh dikaji semula.

“Saya amat terkejut dengan hukuman yang dikenakan kepada tertuduh, sepatutnya kedua-dua yang mengaku bersalah menghapuskan bukti menerima hukuman lebih berat,” katanya.

Ahad, 17 Oktober 2010

Pengakuan tidak cukup kuat

Oleh MOHD AZAM SHAH YAACOB
mohdazam@hmetro.com.my
2010/10/17



KUALA LUMPUR: “Ini hanya permulaan saja,” kata Pakar Kriminologi, Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia, Prof Madya Dr P Sundramoorthy, ketika mengulas hukuman tujuh tahun penjara membabitkan dua suspek kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga rakannya, selepas mengaku bersalah memusnahkan bahan bukti kes terbabit.
Sundramoorthy berkata, pengakuan kedua-dua tertuduh itu memang boleh digunakan dalam perbicaraan kes terbabit, namun ia belum cukup kuat membantu kes pendakwaan.
“Pengakuan itu hanya menjurus kepada pembabitan kedua-dua suspek yang bertindak memusnahkan bahan bukti saja, dan bukan bukti terhadap siapa yang terbabit dalam pembunuhan itu.

“Jadi, jangan kita terlalu teruja dengan perkembangan itu kerana secara dasarnya, fokus kes itu adalah bagi mengenal pasti siapa yang merancang, yang memberi arahan serta yang membunuh semua mangsa, bukan orang yang hanya mengikut arahan saja,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Dalam kes terbabit, menurutnya, terdapat dua situasi serta masa berbeza di mana satu membabitkan waktu pembunuhan dan satu lagi selepas pembunuhan dilakukan.

“Waktu pembunuhan merujuk pada pembabitan orang yang membunuh mangsa dan waktu selepas pembunuhan mungkin juga tidak berkaitan dengan orang yang membunuh itu,” katanya.

Katanya, pihak pendakwaan perlu bekerja lebih erat dengan polis supaya sebarang bukti atau petunjuk dapat membantu mereka memenangi kes pembunuhan jutawan kosmetik dan tiga rakannya itu.

“Siasatan terhadap kaitan antara kes ini dengan pihak lain, terutama yang masih bebas, sangat perlu. Ini memang perlu diberi perhatian serta siasatan lebih terperinci kerana tidak mustahil ada pihak lain yang mempunyai motif sama dengan niat untuk membunuh mangsa, turut mengambil kesempatan terhadap rancangan pembunuhan itu,” katanya.

Kelmarin, Mahkamah Majistret Teluk Datok, Banting, menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun terhadap dua lelaki, K. Sarawanan, 19, dan U. Suresh, 26, atas tuduhan melupuskan bahan bukti.

Sarawanan dituduh membakar mayat Sosilawati, 47, pegawai bank CIMB Cawangan Kampung Baru, Noorhisham Mohammad, 38, peguam, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dan pemandu Sosilawati, Kamaruddin Shamsuddin pada 30 Ogos lalu di Lot No 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat Banting antara 9.45 malam dan 12.00 tengah malam.

Sementara Suresh didakwa menghilangkan bahan bukti itu dengan membuang abu mayat Sosilawati, Noorhisham, Ahmad Kamil dan Kamaruddin di Sungai Panchau, Jalan Morib Banting pada 31 Ogos lalu antara 8 pagi hingga 10 pagi.

Rabu lalu, empat suspek utama membabitkan peguam, N. Patmanabhan, 41, pekerja ladang T. Thilaiyalagan, 19, R. Matan, 20, dan R. Khatavarayan, 30, didakwa di Mahkamah Majistret yang sama mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama atas tuduhan membunuh Sosilawati, Noorhisham, Ahmad Kamil dan Kamaruddin.

2 pekerja Pathma dipenjara 7 tahun

2 pekerja Pathma dipenjara 7 tahun

K. SARAWANAN (depan) dan U.Suresh dikawal oleh anggota polis di Mahkamah Majistret, Telok Datok, Banting, Kuala Langat, semalam.


KUALA LANGAT 15 Okt. - Pada hari rakyat Malaysia meraikan Hari Kemerdekaan Ke-53, mayat jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga rakannya disusun di atas longgokan kayu dan dibakar sebelum abu mayat mereka dimasukkan ke dalam sebuah tong biru serta dibuang ke dalam Sungai Panchau di sini.
Perkara itu dilakukan semata-mata ingin melindungi majikan mereka yang juga seorang peguam, N. Pathmanabhan, 41, dan tiga lagi pekerja ladang, T. Thilaiyalagan, 19; R. Matan, 20; dan R. Kathavarayan, 30, daripada dikenakan tindakan undang-undang.
Bagaimanapun, pada Rabu lalu, kesemua lelaki tersebut didakwa di Mahkamah Majistret Telok Datok di sini atas tuduhan membunuh pengasas kosmetik Nouvelles Visage itu, pemandu Sosilawati, Kamarudin Shamsudin, 47; peguam, Ahmad Kamil Abd. Karim, 32; dan pegawai Bank CIMB cawangan Kampung Baru, Norhisham Mohammad, 38.
Jika disabitkan kesalahan, kesemua tertuduh itu boleh dikenakan hukuman mati mandatori.
Hari ini, fakta ngeri kes pembunuhan kesemua mangsa itu diakui sendiri oleh dua lagi pekerja ladang milik peguam itu yang 'ditugaskan' untuk menyusun mayat-mayat mangsa atas longgokan kayu, membawa minyak petrol dan diesel untuk membakar mayat serta membuang abu mayat ke dalam sungai.
Fakta kes itu dibacakan oleh jurubahasa sejurus selepas tertuduh- tertuduh, K. Sarawanan, 19, dan U. Suresh, 26, mengaku bersalah atas empat pertuduhan setiap seorang pada prosiding di mahkamah majistret yang sama hari ini.
Majistret Hurman Hussain kemudian menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun bagi setiap pertuduhan ke atas kedua-dua tertuduh berkuat kuasa dari tarikh tangkapan iaitu pada 9 September lalu.
Hukuman pemenjaraan itu bagaimanapun diperintahkan berjalan secara serentak.
Kedua-dua tertuduh juga memohon maaf kepada kesemua keluarga mangsa atas penglibatan mereka dalam pembunuhan ngeri itu.
Terdahulu, sebelum kedua-dua tertuduh dijatuhkan hukuman, mereka dibawa ke luar mahkamah bagi mengecam sebuah kenderaan pacuan empat roda, Isuzu D-Max bernombor pendaftaran WSF 8070 yang digunakan untuk mengangkut tong yang berisi abu mayat mangsa-mangsa sebelum dibuang ke dalam sungai.
Mengikut pertuduhan, Sarawanan yang sebelum ini pernah bekerja sebagai seorang mekanik motosikal didakwa atas empat pertuduhan membakar mayat semua mangsa antara pukul 9.45 malam dan 12 tengah malam, 30 Ogos lalu di ladang Lot 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat dekat sini.
Suresh yang turut didakwa atas empat pertuduhan dituduh telah melupuskan bukti pembunuhan kejam itu dengan sengaja membuang abu mayat kesemua mangsa ke dalam Sungai Panchau, Jalan Morib di sini kira-kira pukul 8 dan 10 pagi, 31 Ogos lalu.
Pertuduhan ke atas mereka dibuat mengikut Seksyen 201 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum tujuh tahun dan boleh dikenakan denda.
Pada prosiding hari ini, pihak pendakwaan diketuai oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ishak Mohd. Yusof dan dibantu oleh dua Timbalan Pendakwa Raya, Saiful Edris Zainuddin dan Idham Abd. Ghani.
Kedua-dua tertuduh pula diwakili peguam-peguam bela, M. Puravelan, Roslie Sulle dan Muhammad Naquib Abdul Razak.
Selepas mahkamah menjatuhkan hukuman, Ishak memohon agar Suresh dan Sarawanan yang bakal menjadi saksi utama dalam perbicaraan kes pembunuhan kejam itu ditempatkan di penjara yang berbeza daripada empat tertuduh sebelum ini bagi menjamin keselamatan mereka.

Bicara bunuh bermula

Bicara bunuh bermula

JUTAWAN kosmetik. Kematian Sosilawati perlu dibela dan diberi keadilan.


KES pembunuhan kejam Datuk Sosilawati Lawiya memasuki babak baru minggu ini. Selepas genap sebulan ditahan bagi membantu siasatan, suspek, peguam N. Pathmanabhan serta tiga pekerjanya dibawa ke Mahkamah Majistret Telok Datok, Banting, Selangor bagi menghadapi tuduhan membunuh jutawan kosmetik itu dan tiga rakannya pada bulan Ramadan lalu.
Tiga lagi tertuduh yang didakwa bersama N. Pathmanabhan, 41, ialah pekerja ladang milik peguam berkenaan iaitu T. Thilaiyalagan, 19, R. Matan, 20, dan R. Kathavarayan, 30.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada kesemua tertuduh yang kelihatan tenang semasa pertuduhan dibacakan dalam bahasa Malaysia untuk Pathmanabhan dan bahasa Tamil untuk tiga yang lain.
Kesemua tertuduh didakwa dengan empat tuduhan yang dibacakan berasingan iaitu membunuh Sosilawati, 47, pemandunya, Kamarudin Shansudin, 44, pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Lot 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, Banting antara pukul 8.30 malam dan pukul 9.45 malam 30 Ogos lalu iaitu pada hari ke-20 Ramadan.
Mereka berhadapan dengan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Majistret Hurman Hussain menetapkan 16 Disember depan untuk sebutan semula kes.
Kisah Sosilawati bermula apabila beliau dilaporkan hilang selepas keluar dari pejabatnya di Kampung Baru, Kuala Lumpur pada 30 Ogos lalu.
Kes ini menjadi sensasi kerana Sosilawati dilaporkan mengeluarkan wang sebanyak RM4 juta kononnya untuk urusan jual beli tanah di Pulau Pinang yang diuruskan oleh peguam yang berpejabat di Banting itu.

SURESH (kiri) dan Sarawanan dipenjara tujuh tahun selepas mengaku bersalah melupuskan bahan bukti pembunuhan Sosilawati Jumaat lalu.


Suspek
Misteri kehilangan pemilik lebih 300 cawangan NV di seluruh negara dan beberapa negara jiran ini mula menunjukkan petanda dengan penemuan kereta mewah milik Sosilawati dan Ahmad Kamil masing-masing di Subang Jaya pada 9 September.
Berdasarkan laporan polis, kenderaan mewah jenis BMW X5 milik Sosilawati dengan nombor pendaftaran WTL 11 dijumpai di Flat Angsana USJ1 Subang Jaya. Kereta BMW M5 milik Ahmad Kamil turut dijumpai di depan Hotel Dorsett, kira-kira lima kilometer dari situ.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Mohd. Bakri Mohd. Zinin pada 12 September lalu mengesahkan kesemua mereka telah dibunuh.
Susulan itu, Pathmanabhan dan tujuh lagi suspek ditahan di antara 9 September dan 12 September.
Siasatan kes pembunuhan itu turut dikaitkan dengan beberapa kes orang hilang dan jenayah komersial di daerah Kuala Langat, termasuk pembunuhan ahli perniagaan dari Chennai, India, Allal Kantan Muthu Raja yang tiba di sini pada 18 Januari lalu.
Selepas pembunuhan Sosilawati berjaya dibongkar, pelbagai cerita mengenainya dilaporkan akhbar termasuk wanita itu dirogol dan disembelih - khabar angin yang dinafikan pihak polis.
Bakri berkata, berdasarkan pengakuan empat daripada enam pekerja itu, mereka menyatakan mangsa-mangsa telah diikat, dipukul, ditikam dan dibakar sebelum abu kesemua mayat itu di buang ke dalam Sungai Panchau.

LADANG Gadong di Tanjung Sepat, Banting menjadi tempat Sosilawati dan rakan-rakannya dibunuh.


Sehingga ke hari suspek didakwa di mahkamah, polis percaya mereka memiliki bukti-bukti kukuh untuk mensabitkan penjenayah terbabit.
Ini termasuk penemuan beberapa serpihan tulang manusia dipercayai milik empat mangsa itu di Sungai Panchau.
Selain tulang, pasukan penyelam polis turut menemui beberapa senjata seperti pisau berbentuk kerambit, batang besi sepanjang 30 sentimeter dan sebatang kayu dengan kesan terbakar di Sungai Kanchong Laut.
Pengakuan
Barangan peribadi mangsa iaitu dua utas jam tangan turut ditemui di sungai itu.
Di dalam Sungai Gelanggang Buaya, Kampung Kelanang pula polis menjumpai enam keping zink yang dipercayai dijadikan pelapik untuk membakar mayat Sosilawati.
Sungai itu terletak kira-kira 20 kilometer dari Ladang Gadong yang menjadi lokasi pembunuhan kejam keempat-empat mangsa. Kepingan zink itu dipercayai dibuang di lokasi yang jauh dari tempat pembunuhan dipercayai bagi menghapuskan bukti.
Persoalannya, adakah semua bukti yang dikumpul memadai untuk mensabitkan jenayah yang dilakukan oleh semua suspek terbabit? Bagaimana jika nanti semua suspek itu dibebaskan berikutan terdapat keraguan pada bukti yang dikemukakan?
Menurut Bekas Ketua Makmal Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM), Amidon Anan, sains forensik moden kini mampu mengaitkan seseorang suspek kepada mangsa atau kejadian jenayah melalui hubungan persekitaran tempat jenayah itu dilakukan.
Bukan sekadar cap jari, malahan kesan gigitan atau bulu haiwan, sisa tumbuhan, serangga, cecair dan bahan kimia, dadah, mineral, fabrik mahupun kesan cuaca ke atas mangsa, suspek ataupun bahan bukti lain boleh menentukan suspek disabit kesalahan atau dibebaskan.
"Jadi, anggota forensik yang memberi keterangan di mahkamah biasanya terdiri daripada mereka mahir menjawab pelbagai persoalan sains forensik yang mungkin timbul berkaitan bahan bukti atau perkara berkaitan kes tersebut," katanya.

ZINK yang dijadikan pelapik untuk membakar mangsa turut dijadikan bahan bukti.


Bagaimanapun, pengakuan bersalah oleh dua lelaki di Mahkamah Majistret Telok Datok Jumaat lalu mungkin memberi kelegaan kepada pasukan pendakwaan.
Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun kerana melupuskan bahan bukti dengan membakar dan membuang abu mayat Sosilawati dan tiga yang lain.
Sarawanan, seorang bekas mekanik, dituduh membakar mayat mangsa di Lot 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, Banting pada 30 Ogos lepas antara pukul 9.45 malam dan 12 tengah malam.
Suresh yang tiada pekerjaan tetap pula didakwa menghilangkan bahan bukti itu dengan membuang abu mayat keempat-empat mangsa itu ke dalam Sungai Panchau, Jalan Morib, Banting pada 31 Ogos lalu di antara pukul 8 pagi hingga 10 pagi.
Mereka didakwa melakukan perbuatan itu bagi mengelakkan peguam N. Pathmanabhan dan tiga pekerja ladangnya, T. Thilaiyalagan, R. Matan dan R. Khatavarayan daripada diambil tindakan undang-undang.
Sebenarnya, pendakwaan Pathmanaban dan tiga pekerja Rabu lalu hanyalah permulaan kepada proses mencari keadilan bagi Sosilawati dan rakan-rakannya yang dibunuh kejam. Terpulanglah kepada pihak berkuasa untuk membuktikannya.

Dua penjenayah dijel tujuh tahun

Dua penjenayah dijel tujuh tahun 

BANTING – Dua lelaki dijatuhkan hukuma:n penjara tujuh tahun tiap seorang selepas mengaku bersalah bagi empat pertuduhan menghilangkan bukti berkaitan pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain. 

Pengakuan bersalah K Sarawanan, 19, dan U Suresh, 26, itu direkodkan di hadapan Majistret Hurman Hussain sebaik pertuduhan dibacakan ke pada mereka dalam bahasa Tamil. 

Hukuman penjara mengikut Seksyen 201 Kanun Keseksaan itu berjalan serentak pada tarikh mereka ditangkap 9 September lalu. 

Sarawanan didakwa melakukan kesalahan itu dengan cara membakar mayat Sosilawati, 47; Pegawai CIMB Cawangan Kampung Baru, Noorhisham Mohamad, 38; peguam peribadi Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dan pemandu, Kamaruddin Shamsuddin, 44, manakala Suresh didakwa membuang abu mayat mangsa di Sungai Panchau, Jalan Morib antara jam 8 pagi dan 10 pagi pada 31 Ogos lalu. 

Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu dengan niat untuk mengelakkan empat individu termasuk seorang peguam berhadapan dengan tindakan undang-undang bagi pertuduhan membunuh mangsa. 

Empat individu itu ialah N Pathmanabhan, 41; T Thilaiyalagan, 19; R Matan, 20, dan R Kathavarayan, 30. Semua mereka didakwa di mahkamah sama Rabu lalu. 

Berdasarkan fakta kes, Sarawanan mengambil petrol dan diesel, mengangkat dan meletakkan mayat mangsa di atas longgokan kayu yang disusun sebelum dicurahkan minyak serta dibakar. 

Suresh yang berada di ladang milik Pathmanabhan pula, pada keesokan harinya melihat Thilaiyalagan dan Matan memasukkan abu mayat dalam sebuah tong biru dan membawanya ke Sungai Panchau dengan kereta jenis Isuzu D-Max. 

Dia juga diarah membersihkan tempat pembakaran dan membuang sisa kayu di tempat pembuangan sampah Sungai Arak, Kampung Kelanang dan kepingan zink ke dalam sungai di situ.: 

Sementara itu, peguam Roslie Sulle yang mewakili Sarawanan memohon mahkamah menjatuhkan hukuman yang rendah memandangkan tertuduh, anak bongsu daripada empat beradik adalah penanggung tunggal keluarga. 

Suresh pula menerusi peguam Muhammad Naguib Abdul Malik merayu hukumannya diringankan kerana anak sulung daripada dua beradik itu membantu ibu yang bekerja sebagai tukang cuci. 

Timbalan Pendakwa Raya, Ishak Mohd Yusoff bagaimanapun memohon mahkamah tidak memberi diskaun, sebaliknya menjatuhkan hukuman maksimum terhadap tertuduh. 

“Hukuman maksimum untuk situasi kes paling teruk dan boleh dikategori begitu kerana cuba melupuskan bukti jenayah bunuh,” katanya. 

Seorang lagi Timbalan Pendakwa Raya, Shaiful Edris Zainudin meminta mahkamah mempertimbangkan fakta kejadian berlaku membabitkan ramai mangsa termasuk seorang dikenali. 

Hurman bagaimanapun berkata, hukuman tidak boleh dijatuhkan berdasarkan status mangsa. 

“Ia adalah satu jenayah dan hukuman tidak kira sama ada mangsa seorang ketua eksekutif atau pengemis. Hukuman adalah kerana sifat kesalahan yang dilakukan,” katanya. 

Tertuduh yang kelihatan tenang sepanjang prosiding, secara peribadi memohon maaf di atas perbuatan mereka. 

Balasan lupus bukti

Balasan lupus bukti


SURESH (belakang) dan Sarawanan (depan) dibawa masuk ke Mahkamah Majistret Telok Datok, Banting semalam.


BANTING - Mahkamah Majistret Telok Datok di sini semalam sunyi seketika apabila dua lelaki yang dihukum penjara tujuh tahun kerana mengaku melupuskan bahan bukti dengan membakar dan membuang abu mayat jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain menyatakan permohonan maaf mereka.
"Saya memohon maaf kepada keluarga mangsa dan masyarakat atas perbuatan saya... saya telah insaf."
Demikian kata K. Sarawanan, 19, dan U. Suresh, 26, dalam bahasa Tamil sebelum diterjemahkan ke Bahasa Malaysia oleh jurubahasa mahkamah sejurus hukuman diputuskan oleh Majistret Hurman Hussain terhadap kedua-dua tertuduh itu.
Dua sahabat itu yang berdiri di kandang pesalah menundukkan kepala seolah-olah kesal dengan perbuatan mereka.
Terdahulu, Hurman menjatuhkan hukuman tersebut terhadap kedua-dua tertuduh selepas mereka mengaku bersalah atas empat tuduhan melupuskan bahan bukti termasuk abu mayat mangsa dan bahan yang digunakan untuk membakar mayat.
Keempat-empat tuduhan dibacakan dalam bahasa Tamil dan diterjemahkan jurubahasa sebelum mereka kemudian menganggukkan kepala dan mengaku salah.
Sarawanan dan Suresh masing-masing dikenakan hukuman penjara maksimum tujuh tahun bagi setiap tuduhan yang diarahkan berjalan serentak bermula dari tarikh mereka ditangkap pada awal bulan September lalu.
Hukuman maksimum itu selaras dengan peruntukan di bawah Seksyen 201 Kanun Keseksaan iaitu jika sabit kesalahan dikenakan hukuman maksimum penjara tujuh tahun dan denda.