Jumaat, 15 Oktober 2010

Dipindah ke Penjara Sungai Buloh

Dipindah ke Penjara Sungai Buloh


KATHAVARAYAN (depan), Matan (tengah) dan Thilaiyalagan (belakang) ketika dibawa 
ke Mahkamah Majistret Telok Datok, Banting kelmarin.


KUALA LUMPUR - Selepas 46 hari ditahan reman dalam lokap polis bagi membantu siasatan berhubung kes pembunuhan Datuk Sosilawati Lawiya, 47, dan tiga rakannya, peguam N. Pathmanabhan kini ditahan di Penjara Sungai Buloh, Selangor.
Peguam berusia 41 tahun itu dipindahkan ke Penjara Sungai Buloh selepas dia bersama tiga pekerjanya, R. Kathavarayan, 30, R. Matan, 20, dan T. Thilaiyalagan, 19, didakwa atas tuduhan membunuh jutawan kosmetik itu dan tiga lelaki lain di Mahkamah Majistret Telok Datok, Banting, Selangor kelmarin.
Keempat-empat tertuduh tersebut tiba di kompleks penjara itu kira-kira pukul 1 petang kelmarin.
Selain Sosilawati yang menjadi mangsa bunuh, pemandunya, Kamarudin Shansudin, 44, peguam, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dan pegawai bank CIMB, Noorhisham Mohammad, 38, turut menerima nasib yang sama dengan Sosilawati.
Pathmanabhan, graduan undang-undang dari Universiti Bond, Australia, ditahan pada 11 September lalu bersama tujuh yang lain ekoran laporan kehilangan Sosilawati dan tiga rakannya ketika mereka ke Banting bagi melakukan satu urusan perniagaan.
Sebelum didakwa kelmarin, peguam itu bersama tiga pekerja ladang ditahan di lokap Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur dan lokap Balai Polis Putrajaya.

Geram tetap bersarang

Oleh Ibrahim Isa 

2010/10/15



BATU PAHAT: “Anak orang kenapa dimatikan (dibunuh). Apa dia ingat dia Tuhan ke apa? Ada padi ada beras, ada budi ada balas, anak kita dibunuh, dia itu dibunuh (dihukum bunuh),” luah Yatmah Abdul Rahman, 80, ibu kepada jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya, yang dibunuh di Banting, Selangor, Ogos lalu.
Warga emas yang masih bersedih dengan kejadian berkenaan berkata, dia bersetuju dengan pandangan cucunya, Erni Dekritawati Yuliana Buhari, yang mahukan pembunuh berkenaan dihukum gantung sampai mati atas perbuatan mereka.
Bagaimanapun, warga emas itu yang ternyata masih tertekan dan sedih dengan kejadian itu enggan mengulas lanjut.

Sementara itu, adik Sosilawati, Rosnani, 45, berkata penduduk Kampung Sri Menanti, Sri Medan di sini, mengadakan solat kesyukuran selepas pihak berkuasa mendakwa empat lelaki yang dipercayai terbabit dalam pembunuhan itu di Mahkamah Majistret Teluk Datok, Banting, kelmarin.

Menurutnya, walaupun kes itu baru dihadapkan ke mahkamah, keluarganya lega dengan perkembangan berkenaan dan berharap pendakwaan berjalan lancar.

“Sebelum ini kami sentiasa mengadakan solat hajat dan hari ini, kami akan melakukan solat kesyukuran kerana kes pembunuhan ini memasuki babak baru iaitu proses mahkamah,” katanya ketika ditemui di rumah ibunya di Kampung Sri Menanti, Sri Medan di sini, semalam.

Katanya, perbuatan mereka bukan saja kejam terhadap kakaknya, pemandu, Kamaruddin Shansudin, 44, peguam, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, pegawai bank CIMB Noorhisham Mohammad, 38, malah hasil siasatan polis yang dilaporkan di akhbar, mungkin ramai orang lain menjadi mangsa mereka.

Ketua Kampung Sri Menanti, Omar Salleh berkata, sejak berita kehilangan Sosilawati penduduk kampung mengerjakan solat hajat setiap minggu bagi memudahkan pihak berkuasa menemuinya.

Apabila Sosilawati disahkan dibunuh, katanya, penduduk tetap mengerjakan solat hajat dengan tujuan memudahkan siasatan dan berharap mereka bertanggungjawab dibawa ke muka pengadilan.

“Sebenarnya, penduduk kampung mengerjakan solat hajat setiap minggu selepas kawasan ini dinaiki banjir besar pada hujung 2006 dan awal 2007,” katanya.

Khamis, 14 Oktober 2010

4 dituduh bunuh Sosilawati

4 dituduh bunuh Sosilawati
Oleh Rafidah Mat Ruzki, Norhashimah Mohd Radzali, Wan Faizal Ismayatim, Mohamed Farid Noh, Suhana Roslan, Nor Fazlina Abdul Rahim dan Nur Suraya Harnuni Mokhtar
bhnews@bharian.com.my
2010/10/13


  • Foto
  • Foto
    SURENDRAN, 38, yang turut ditahan reman sebelum ini dibebaskan oleh mahkamah, semalam.

  • Tuduhan membawa hukuman mati mandatori



  • Adik peguam dibebas



  • Sebutan semula kes bunuh 16 Disember



    • BANTING: Peguam, N Pathmanabhan dan tiga pekerja ladang didakwa di Mahkamah Majistret di sini, semalam, atas tuduhan membunuh jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain, Ogos lalu.

    • Pathmanabhan, 41, didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, bersama T Thilaiyalagan, 19; R Matan, 20 dan R Kathavarayan, 30, yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.

      Mengikut kertas pertuduhan, mereka dituduh bersama membunuh Sosilawati, 47; pemandunya, Kamaruddin Shansudin, 44; pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru Noorhisham Mohammad, 38 dan peguam peribadinya, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32.

      Kesalahan itu didakwa dilakukan di Lot 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, Banting antara jam 8.30 malam dan 9.45 malam pada 30 Ogos lalu. 
      Dalam pada itu, dua lagi suspek termasuk adik lelaki Pathmanabhan, juga seorang peguam berusia 38 tahun dibebaskan bersama seorang lelaki lain. Turut dibebaskan teman wanita salah seorang suspek, Jesyntha Clarene Isreal, 27. 

      Kedua-dua suspek lelaki dibebaskan jam 1 petang semalam di Ibu Pejabat Kontinjen Kuala Lumpur, masing-masing atas jaminan polis dan bon mahkamah, Jesyntha dibebaskan di Balai Polis Dang Wangi. 

      Sementara itu, pertuduhan terhadap Pathmanabhan dibacakan dalam Bahasa Melayu, manakala pertuduhan terhadap tiga yang lain dibacakan dalam bahasa Tamil dengan bantuan jurubahasa mahkamah.

      Tiada pengakuan direkodkan, sebaliknya keempat-empat mereka mengangguk menyatakan mereka faham selepas pertuduhan dibacakan.

      Terdahulu, tertuduh dibawa masuk ke pekarangan mahkamah kira-kira jam 8.30 pagi sebelum memasuki kamar Mahkamah Majistret setengah jam kemudian. Ahli keluarga tertuduh tidak kelihatan di kawasan mahkamah.

      Majistret Hurman Hussain menetapkan 16 Disember ini untuk sebutan semula kes itu bagi mendapatkan laporan kimia.

      Beliau menolak permohonan peguam bela yang mewakili tertuduh pertama, yang diketuai peguam Ravi Nekoo dan dibantu Amer Hamzah Arshad, Pushpa Ratnam dan Datuk Ng See Tiong, untuk bertemu semua tertuduh.

      Sebelum itu, Amer Hamzah membuat permohonan untuk bertemu tiga lagi tertuduh kes itu berikutan mereka tidak diwakili peguam.

      Hurman berkata, ketika membenarkan perintah reman terhadap tertuduh dan suspek lain kes itu, beliau pernah bertanya kepada seorang daripada mereka sama ada keluarga mereka mengetahui mereka kini ditahan polis.

      "Saya ada bertanya dengan seorang daripada mereka jika ahli keluarga tahu mereka ditahan dan lelaki itu memaklumkan saya, ahli keluarga mereka sedar mereka kini ditahan polis.

      "Saya fikir, polis sudah menjalankan tanggungjawab mereka. Jika mereka (merujuk kepada tertuduh) meminta kamu mewakili mereka, saya akan benarkan," katanya.

      Hurman kemudian meminta Timbalan Pendakwa Raya, Ishak Mohd Yusof memaklumkan kepada pegawai penyiasat kes itu untuk menghubungi keluarga semua tertuduh dan memaklumkan mereka sudah didakwa semalam.

      Ishak kemudian memohon mahkamah menetapkan satu lagi tarikh sebutan bagi membolehkan laporan kimia disediakan, tetapi dibantah oleh pihak pembelaan.

      Amer Hamzah berkata, laporan kimia selalunya mengambil masa lama iaitu berbulan-bulan disiapkan.

      Bagaimanapun, Hurman berkata, kebiasaannya di mahkamah itu, beliau membenarkan tempoh sehingga dua bulan untuk mendapatkan laporan daripada Jabatan Kimia walaupun ia kes dadah yang biasa.

      Beliau bagaimanapun membenarkan peguam bela tertuduh pertama bertemu anak guamnya selama 10 minit sebelum mereka dibawa ke pusat tahanan sementara.

      Pendakwaan diwakili Ishak dan dibantu Timbalan Pendakwa Raya, Saiful Edris Zainuddin dan Idham Abd Ghani.


      Prosiding pendakwaan tarik perhatian penduduk, media

      BANTING: Selepas sebulan kes pembunuhan Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga rakannya dibongkar polis, prosiding pendakwaan terhadap empat tertuduh termasuk peguam, N Patmanabhan, di Mahkamah Majistret Telok Datok di sini semalam, menarik perhatian penduduk setempat dan wakil media.

      Kira-kira 50 penduduk pelbagai kaum sekitar bandar ini memenuhi pekarangan mahkamah sejak jam 8 pagi bagi mengikuti perkembangan kes berprofil tinggi itu dengan lebih dekat selepas mendapat tahu pendakwaan terhadap empat lelaki terbabit akan dijalankan.

      Kes yang menarik perhatian umum itu menyaksikan lebih 50 wakil media cetak dan elektronik termasuk portal berita internet hadir membuat liputan dengan ada wartawan dilaporkan tiba di mahkamah seawal jam 7 pagi.

      Keempat-empat tertuduh tiba di mahkamah jam 8.30 pagi dengan Patmanabhan, 41, dibawa menaiki Proton Waja, manakala tiga lagi tertuduh, T Thilaiyalagan, 19; R Matan, 20, dan R Khatavarayan, 30, menaiki van.

      Dua kenderaan polis termasuk kereta peronda Mitsubishi Lancer Evo 10 turut mengiringi dua kenderaan membawa tertuduh dan sebaik tiba, mereka dikawal ketat dibawa ke kamar mahkamah.

      Bagaimanapun, tiada ahli keluarga tertuduh atau mangsa dilihat berada di perkarangan mahkamah.

      Difahamkan, lebih 20 anggota polis beruniform dan berpakaian biasa berada di kawasan mahkamah sepanjang prosiding dijalankan.

      KRONOLOGI

      PEMBUNUHAN SOSILAWATI DAN 3 INDIVIDU



  • 6 September 2010 
    – Sosilawati dilaporkan hilang bersama peguamnya, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32; pegawai bank CIMB, Noorhisham Mohammad, 38 dan pemandunya, Kamaruddin Shansuddin, 44, sejak 30 Ogos lalu.



  • 7 September 
    – Dua kereta BMW, milik Sosilawati dan Ahmad Kamil ditemui di dua tempat berasingan di Subang Jaya.



  • 8 September 
    – Sosilawati dilaporkan kali terakhir dilihat di kedai Fazz Enterprise Kerepek House, Banting jam 4 petang, 30 Ogos lalu. 
    – Noorhisham menelefon isterinya memaklumkan tidak akan pulang tiga hari pada malam 30 Ogos.
    – Warga India, S Usharani, 24, melaporkan kehilangan suaminya, Allal Kanthan Muthuraja.



  • 11 September
    – Polis menemui lokasi empat mangsa dibunuh di sebuah ladang di Teluk Gadong. Polis menahan ahli perniagaan bergelar Datuk dan adiknya. 



  • 12 September
    – Polis berkata lapan orang, termasuk peguam dua beradik ditahan.



  • 13 September
    – Pasukan penyelam Polis Marin menemui senjata berbentuk cangkuk di Sungai Panchau, Banting.



  • 14 September
    – Isteri ahli perniagaan dari Sungai Petani, Shafik Abdullah, 37, membuat laporan polis kali kedua mengenai kehilangan suaminya sejak 9 April lalu.



  • 17 September
    – Polis sahkan keempat-empat mangsa diikat, dipukul dan ditikam berkali-kali hingga mati sebelum mayat mereka dibakar.



  • 22 September
    – Polis mengesahkan Muthuraja turut dibunuh.



  • 4 Oktober
    – Polis mencari saksi wanita, Jesyntha Clarene Isreal, 27.



  • 7 Oktober
    – Jesyntha menyerah diri di IPD Dang Wangi.



  • Pathmanabhan, 3 pekerja didakwa

    Pathmanabhan, 3 pekerja didakwa


    PATHMANABHAN tiba di Mahkamah Majistret Telok Datok, Banting untuk mendengar pertuduhan membunuh Sosilawati dan tiga lelaki lain semalam.


    BANTING – Selepas genap sebulan ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes pembunuhan Datuk Sosilawati Lawiya, peguam N. Pathmanabhan serta tiga pekerjanya dibawa ke Mahkamah Majistret Telok Datok di sini semalam bagi menghadapi tuduhan membunuh jutawan kosmetik tersebut dan tiga rakannya pada bulan Ramadan lalu.
    Tiga lagi tertuduh yang didakwa bersama N. Pathmanabhan, 41, ialah pekerja ladang milik peguam berkenaan iaitu T. Thilaiyalagan, 19, R. Matan, 20, dan R. Kathavarayan, 30.
    Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada kesemua tertuduh yang kelihatan tenang semasa pertuduhan dibacakan dalam Bahasa Malaysia untuk Pathmanabhan dan bahasa Tamil untuk tiga yang lain.
    Kesemua tertuduh didakwa dengan empat tuduhan yang dibacakan berasingan iaitu membunuh Sosilawati, 47, pemandunya, Kamarudin Shansudin, 44, pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32.
    Kesalahan itu didakwa dilakukan di Lot 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, Banting antara pukul 8.30 malam dan pukul 9.45 malam 30 Ogos lalu iaitu pada hari ke-20 Ramadan.
    Mereka berhadapan dengan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
    Majistret Hurman Hussain menetapkan 16 Disember depan untuk sebutan semula kes setelah membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Ishak Mohd. Yusoff yang memerlukan tempoh dua bulan bagi mendapatkan laporan kimia.

    Tiga suspek bebas dengan ikat jamin

    KUALA LUMPUR 13 Okt. - Tiga daripada lima suspek kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya serta tiga yang lain yang tidak dihadapkan ke mahkamah hari ini, dibebaskan dengan jaminan polis dan mahkamah.
    Mereka termasuk seorang peguam yang merupakan adik kepada suspek utama dalam kes itu serta seorang wanita yang sebelum ini dikehendaki polis sebagai saksi, Jesyntha Clarene Isreal .
    Menurut peguam kepada suspek itu, Ravi Nekoo, anak guamnya dibebaskan pada pukul 1 petang manakala seorang lagi peguam, M. Manoharan pula mengesahkan Jesyntha Clarence dibebaskan pada pukul 5.30 petang.
    "Jesyntha telah bersetuju untuk menjadi saksi dalam perbicaraan akan datang," kata Manoharan ketika dihubungi Utusan Malaysia petang ini.
    Ibu Pejabat Polis Bukit Aman dalam satu kenyataan ringkas dalam laman web sosial Facebook memberitahu, seorang suspek wanita dibebaskan dengan jaminan mahkamah manakala dua lagi suspek lelaki dibebaskan dengan jaminan polis.
    Pembebasan tiga individu itu menjadikan mereka yang masih ditahan untuk membantu siasatan lanjut adalah dua suspek.
    Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Bakri Mohd. Zinin berkata, polis masih meneruskan siasatannya dan keputusan untuk mendakwa mereka atau sebaliknya hanya akan diputuskan apabila reman mereka tamat Jumaat ini.
    "Reman mereka sehingga Jumaat ini, kita akan tengok nanti," jelasnya yang tidak mengulas lanjut selepas menghadiri sidang akhbar oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar di Bukit Aman hari ini.
    Mengenai perkembangan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) mangsa-mangsa pembunuhan, ujar beliau, polis masih menunggu laporan lengkap daripada Jabatan Kimia.
    Jelas beliau, laporan DNA itu bagaimanapun hanya akan didedahkan pada perbicaraan kes kelak yang dijadual pada 16 Disember depan.
    Dalam pada itu, Bakri menegaskan, siasatan terhadap suspek-suspek kes pembunuhan Sosilawati dan tiga yang lain, yang dipercayai juga terbabit dalam tiga kes kehilangan individu termasuk ahli perniagaan India, Allal Kathan Muthuraja tetap diteruskan meskipun ada di antara mereka yang telah dituduh di mahkamah hari ini.
    Selain Allal Kathan, mereka yang dilaporkan hilang adalah ahli perniagaan dari Sungai Petani, Kedah, Mohd. Shafik Abdullah dan seorang rakannya.

    Didakwa bunuh Sosilawati


    Oleh SUWARNI MOKHTAR 

    KUALA LANGAT 13 Okt. - Peguam, N. Pathmanabhan hari ini didakwa di Mahkamah Majistret Telok Datok di sini dengan niat bersama-sama dengan tiga lelaki lain termasuk seorang remaja belasan tahun membunuh jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya.
    Tiga lelaki terbabit yang merupakan pekerja ladang milik peguam berusia 41 tahun itu ialah T. Thilaiyalagan, 19, R. Matan, 20, dan R. Kathavarayan, 30.
    Kesemua mereka juga didakwa membunuh pemandu Sosilawati, Kamarudin Shamsudin, 47; peguam, Ahmad Kamil Abd. Karim, 32; dan pegawai Bank CIMB cawangan Kampung Baru, Norhisham Mohammad, 38.
    Pertuduhan ke atas semua tertuduh terbabit dibuat pada hari ini, genap 45 hari selepas kehilangan pengasas kosmetik Nouvelles Visage itu dan tiga rakannya dilaporkan.
    Menurut laporan akhbar sebelum ini, anak sulung jutawan kosmetik itu, Erni Dekritawati Yuliana Buhari, 25, membuat laporan polis setelah ibunya dan tiga lelaki terbabit tidak pulang selepas pergi ke Banting atas urusan jual beli tanah.
    Pada 13 September lalu, pihak polis mengesahkan keempat-empat mangsa telah dipukul sehingga mati sebelum mayat mereka dibakar dan abunya dibuang ke sungai berdekatan Ladang Gadong, Banting.
    Mengikut pertuduhan, Pathmanabhan dan tiga lagi tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu antara pukul 8.30 hingga 9.45 malam, 30 Ogos lalu di Lot No. 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat di sini.
    Pertuduhan ke atas mereka dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.
    Kesemua tertuduh hanya menganggukkan kepala tanda faham selepas pertuduhan ke atas mereka dibacakan dalam bahasa Malaysia bagi Pathmanabhan dan bahasa Tamil bagi tiga lagi tertuduh.
    Pada prosiding hari ini, Pathmanabhan diwakili empat peguam bela iaitu Ravi Nekoo, Pushpa Ratnam, Datuk Ng See Teong dan Amer Hamzah Arshad manakala ketiga-tiga pekerja ladang itu tidak diwakili peguam bela.
    Pendakwaan pula diketuai oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ishak Mohd. Yusof dan dibantu oleh Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Saiful Edris Zainuddin dan Idham Abd. Ghani.
    Majistret Hurman Hussain menetapkan 16 Disember ini untuk sebutan semula kes itu bagi membolehkan pihak pendakwaan mendapatkan beberapa lagi laporan termasuk laporan forensik dan kimia.
    Terdahulu, selepas pertuduhan dibacakan kira-kira pukul 9.05 pagi, Amer Hamzah memohon agar salinan pertuduhan diserahkan kepada mereka dan meminta diberi peluang untuk bertemu dengan anak guamnya.
    Peguam itu turut menyuarakan hak tiga lagi tertuduh yang masih belum diwakili peguam bela agar dibantu supaya mereka mendapat pelindungan sewajarnya dari segi undang-undang.
    ''Saya tidak menjalankan aktiviti menyediakan perkhidmatan guaman kepada mana-mana tertuduh. Itu menjadi tanggungjawab keluarga tertuduh untuk melantik peguam bela. Keluarga mereka juga sudah mengetahui bahawa ahli keluarga mereka telah ditahan,'' ujar majistret terbabit.
    Pada ketika ini, Kathavarayan tiba-tiba bersuara dan menyatakan ''Saya mahu angkat (lantik) dia,'' sambil menunjukkan jarinya ke arah barisan pembelaan.
    Majistret tersebut bagaimanapun kemudiannya membenarkan permohonan pihak pembelaan untuk menemui Pathmanabhan dengan syarat pertemuan itu hanya berjalan selama 10 minit.
    Hurman turut membenarkan peguam-peguam bela Pathmanabhan menemui tertuduh-tertuduh yang lain.
    Sejurus tamat prosiding, Ravi, Amer Hamzah dan dua lagi peguam tersebut bergegas ke sebuah bilik yang terletak di bahagian sisi bangunan mahkamah untuk menemui anak guam mereka.
    Enggan menjelaskan secara terperinci mengenai pertemuan ringkas itu, Ravi sekali lagi menyatakan, barisan peguam yang hadir pada hari ini adalah untuk mewakili Pathmanabhan sahaja.
    Adik Pathmanabhan yang sebelum ini turut ditahan reman selama 32 hari akan dibebaskan hari ini yang juga merupakan tarikh terakhir reman, katanya.
    Kesemua individu yang dituduh hari ini, adik Pathmanabhan dan tiga lagi lelaki sebelum ini ditahan reman bukan sahaja bagi kes kematian jutawan kosmetik dan rakan-rakannya tetapi juga berkaitan beberapa lagi kes pembunuhan.
    Antaranya membabitkan ahli perniagaan dari India, Allal Kathan Muthuraja, 34; ahli perniagaan dari Sungai Petani Kedah, Mohd. Shafik Abdullah, 37, dan rakannya, S. Theravaraj, 28.
    Sementara itu, Amer Hamzah pula menyatakan, pihaknya hanya membantu ketiga-tiga pekerja ladang itu dalam mendapatkan bantuan guaman dan memberikan nasihat sewajarnya di samping memaklumkan kepada keluarga mereka mengenai perkembangan terbaru kes.

    Polis teruskan siasatan kes orang hilang

    KUALA LUMPUR: Polis meneruskan siasatan ke atas beberapa lagi kes orang hilang yang dikaitkan dengan suspek pembunuhan jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain, walaupun empat daripada suspek didakwa di Mahkamah Majistret Telok Datok, Banting, Selangor semalam.
    Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Bakri Zinin berkata, polis percaya suspek dapat membantu siasatan kes berkenaan.

    “Kita sambung siasatan kes orang hilang... kami percaya mereka terbabit dalam kes orang hilang. Penyiasatan kita sekarang berdasarkan kepada laporan orang hilang seperti sedia ada,” katanya kepada pemberita di Bukit Aman semalam.

    Peguam N. Patmanabhan, 41, bersama-sama pekerja ladang T Thilaiyalagan, 19, R. Matan, 20, dan R. Khatavarayan, 30, didakwa di Mahkamah Majistret Teluk Datok atas tuduhan membunuh Sosilawati, 47, pemandunya Kamaruddin Shansudin, 44, pegawai CIMB Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam peribadi Ahmad Kamil Abdul Karim, 32.

    Majistret Hurman Hussain menetapkan 16 Disember ini untuk sebutan semula kes berkenaan.

    Mohd Bakri berkata, polis perlu mengemaskini kes orang hilang serta yang berkaitan dengan keputusan DNA mereka termasuk kes Sosilawati dan tiga individu lain.

    Ketika ditanya bila keputusan DNA diperoleh, beliau berkata: “Itu saya tidak mahu komen. Kita tunggu Jabatan Kimia siapkan laporan. Berilah ruang dan peluang untuk siasat dengan lebih lanjut.” Selain kes pembunuhan Sosilawati dan tiga individu lain, suspek berkenaan turut dikaitkan dengan kehilangan ahli perniagaan batu permata dari Chennai, India, Allal Kanthan Muthuraja yang tiba di negara ini pada 18 Januari lalu.

    Laporan kehilangan Muthuraja dibuat isterinya S Usharani, 24, pada 8 September lalu.

    Mereka turut disiasat bagi kes kehilangan kontraktor dari Sungai Petani, Kedah iaitu Shafiq Abdullah, 37, dan seorang rakannya yang dilapor hilang April lalu.

    Tuntut hukuman setimpal

    KUANTAN: “Saya berharap kes pembunuhan ini dapat diadili secara teliti dan telus,” kata Ismail Ibrahim, 56, abang ipar kepada Kamarudin Samsudin, 44, pemandu peribadi jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya yang dibunuh dengan kejam sebelum dibakar.
    Menurutnya, keluarganya berpuas hati dengan tindakan pantas polis mengesan dan menahan suspek utama bersama beberapa pengikut sebelum menunjukkan lokasi sebenar pembuangan mayat mangsa.

    Ismail berkata, selagi suspek bersama pengikutnya tidak mengaku atas kesalahan dilakukan itu, keluarganya terutama ibu arwah, Zainab Ahmad, 73, tidak senang duduk kerana asyik memikirkan kejadian malang itu.

    “Mengenai ujian Deoxyribonucleic Acid (DNA) yang masih belum diperoleh, keluarga saya tabah menunggu keputusan itu.

    “Saya percaya dan yakin bukan keluarga kami saja mahu suspek bersama pengikutnya dijatuhi hukuman setimpal, malah jutaan rakyat yang mengikut perkembangan kes terbabit mahukan hukuman lebih berat,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Indera Mahkota.

    Ismail berkata, dua minggu lalu dua anggota polis ada datang ke rumahnya dengan membawa gambar jam tangan milik arwah untuk dicam sebelum dia mengesahkannya walaupun gambar berkenaan kelihatan sedikit kurang jelas.

    Dia berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung pendakwaan N Patmanabhan dan tiga orang lagi yang didakwa di Mahkamah Majistret Teluk Datok, Banting atas tuduhan membunuh jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, pagi semalam.

    Peguam berusia 41 tahun itu didakwa bersama-sama pekerja ladang, T Thilaiyalagan, 19, R Matan, 20, dan R Khatavarayan, 30.

    Keluarga berdoa keadilan ditegakkan

    BATU PAHAT: “Alhamdulillah, penantian keluarga terjawab apabila dimaklumkan empat individu yang dipercayai terbabit pembunuhan Kak Wati (Datuk Sosilawati Lawiya) dihadapkan ke mahkamah,” kata adik jutawan berkenaan, Rosnani Lawiya, 45, semalam.
    Rosnani berkata demikian ketika mengulas tindakan polis mendakwa empat individu termasuk seorang peguam di Mahkamah Majistret Teluk Datok di Banting, Selangor, berhubung kes pembunuhan Datuk Sosilawati Lawiya, 47, pemandunya, Kamaruddin Shamsudin, 44, peguam, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dan pegawai bank CIMB Noorhisham Mohammad, 38.

    Menurutnya, mereka sekeluarga percaya sepenuhnya siasatan dilakukan polis dan menyerahkan segala-galanya kepada pihak berkuasa untuk mendapatkan pembelaan.

    “Kami sekeluarga sentiasa berdoa supaya keadilan dapat ditegakkan dan walaupun kes ini mula dihadapkan ke mahkamah, kami akan tetap melakukan perkara sama.

    “Selepas lebih 40 hari keluarga diberitahu Kak Wati meninggal dunia, akhirnya mereka terbabit mula dihadapkan ke mahkamah dan saya yakin kebenaran akan terbukti,” katanya.

    Menurutnya, sejak berita kehilangan kakaknya itu bertukar kes pembunuhan, setiap hari mereka sekeluarga berharap ada perkembangan positif kerana tidak tahan tekanan.

    Namun, katanya, semuanya hampir terjawab apabila empat suspek dihadapkan ke mahkamah dan segala tekanan itu berkurangan.

    “Kami faham, kes ini baru di peringkat permulaan, tetapi ia sudah dibawa ke mahkamah (didakwa) dan kebenaran akan terbongkar.

    “Kami berharap ia akan mengungkap lebih banyak misteri dan teka-teki selama ini bagi menyelesaikan kes pembunuhan itu,” katanya.

    Tiga dibebas, 2 masih direman

    KUALA LUMPUR: Polis semalam membebaskan seorang wanita dan dua lelaki yang ditahan reman bagi membantu siasatan kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain.
    Menurut laman web Polis Diraja Malaysia dalam fFacebook, pembebasan wanita itu dibuat dengan bon mahkamah manakala dua lelaki berkenaan dengan jaminan polis selepas empat suspek kes itu didakwa di Mahkamah Majistret Telok Datok, Banting di Selangor, pagi semalam. 

    Difahamkan wanita itu, Jesyntha Clarene Isreal, 27, dan adik lelaki Patmanabhan serta seorang lagi lelaki, dibebaskan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, tengah hari semalam. 

    Dua suspek lain masih ditahan reman sehingga esok.



    Peguam, tiga pekerja didakwa

    BANTING: Teka teki berhubung suspek kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya serta tiga yang lain berakhir apabila seorang peguam, N Pathmanabhan serta tiga pekerja ladang dihadapkan ke muka pengadilan di Mahkamah Majistret Teluk Datok, di sini, pagi semalam.
    Pathmanabhan, 41, didakwa bersama-sama T Thilaiyalagan, 19; R Matan, 20 dan R Kathavarayan, 30, membunuh Sosilawati, 47.

    Selain itu, keempat-empat mereka didakwa membunuh pemandu wanita itu, Kamaruddin Shansudin, 44; peguam, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dan pegawai bank CIMB Noorhisham Mohammad, 38.

    Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di Lot 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, di sini, pada jam 8.30 malam dan 9.45 malam, 30 Ogos lalu.

    Bagi perbuatan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

    Pathamanabhan tiba di mahkamah pada jam 8.45 pagi dengan menaiki kereta Waja manakala tertuduh lain di bawa menaiki van dengan dikawal polis.

    Ketika pertuduhan dibacakan, keempat-empat mereka yang berdiri di dalam kandang tertuduh kelihatan tenang.

    Pertuduhan terhadap Pathmanabhan dibacakan dalam bahasa Melayu manakala pertuduhan terhadap tiga yang lain dibacakan dalam bahasa Tamil di hadapan Majistret Hurman Hussain Mereka menangguk tanda faham selepas pertuduhan dibacakan, bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan.

    Timbalan Pendakwa Raya Ishak Mohd Yusoff memohon kepada mahkamah untuk menetapkan tarikh sebutan semula bagi mengemukakan dokumen serta memerlukan masa kerana masih menunggu laporan kimia.

    Selain Ishak, pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Saiful Edris Zainudin dan Idham Abdul Ghani.

    Mahkamah menetapkan 16 Disember ini untuk sebutan semula.

    Biar ke tali gantung



    Oleh Shahrul Nizam Mohamad, Mohd Jamilul Anbia Md Denin, Ibrahim Isa dan Suraya Roslan

    2010/10/14



    KUALA LUMPUR: “Seperti mana azab dilalui ibu saya yang dibunuh kejam, saya mahu semua penjenayah yang bertanggungjawab (melakukan pembunuhan) dibalas dengan hukuman mati di tali gantung,” kata Erni Dekritawati Yuliana Buhari, 25, anak jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya, selepas empat lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret Banting, Selangor, semalam, atas tuduhan membunuh ibunya dan tiga individu lain.


    pix_middle
    Ketika dihubungi semalam, dia yang mesra dengan panggilan Rita mengaku masih bersedih dengan kehilangan ibunya dan hatinya masih berat untuk percaya dengan apa yang berlaku.

    “Ada kalanya saya takut untuk membaca akhbar atau mendengar cerita bagaimana kejamnya ibu dan tiga mangsa lain diperlakukan penjenayah. Mereka tidak berperikemanusiaan dan berhati syaitan.

    “Saya cuma berharap polis dapat membuktikan jenayah terancang dilakukan semua suspek bagi membolehkan hukuman berat dan setimpal dijatuhkan kepada mereka,” kata anak sulung daripada enam beradik itu.

    Rita berkata, sekuat mana sekali pun hatinya cuba menahan air mata daripada menitis, hakikatnya hanya Tuhan yang tahu penderitaan dan kesedihan dialami.

    “Kehilangan ibu merentap kebahagiaan kami adik-beradik yang amat manja dan menjadikan ibu sebagai tempat menumpang kasih sejak kecil. 



    “Sukar dijelaskan apa yang kami rasa selepas kehilangan ibu, namun apa cara sekali pun cita-cita dan impian ibu perlu diteruskan. Hanya doa tidak henti dipohon supaya roh ibu ditempatkan di kalangan hamba yang dilindungi Allah,” katanya.

    Ditanya berhubung aktiviti harian selain cabaran perlu dihadapi bagi meneruskan perniagaan kosmetik Nouvelles Visages (NV), Rita memberitahu masih banyak yang perlu dipelajarinya. 




    “Banyak perkara yang perlu diselesaikan terutama membabitkan perjalanan dan kewangan syarikat. Bagaimanapun, saya bernasib baik kerana masih ada pekerja lama yang setia di belakang untuk membantu dan membimbing terutama berkaitan urusan perniagaan syarikat,” katanya.

    Menurutnya, kesibukannya untuk menyesuaikan diri dengan situasi terbabit menyebabkan dia belum berpeluang berjumpa stokis produk NV yang terus menyokong produk diasaskan ibunya itu.

    “Mengikut perancangan, saya akan berjumpa semua stokis pada Januari depan selepas semua urusan berkaitan pengurusan syarikat diselesaikan.

    “Tindakan membekukan sementara aset kewangan milik ibu sedikit sebanyak turut menyukarkan kami untuk menyelesaikan beberapa masalah membabitkan pinjaman dan urusan perniagaan lain,” kata Rita.

    Selain Sosilawati, tiga lagi mangsa pembunuhan kejam itu ialah pemandu peribadinya, Kamaruddin Shansuddin, 44; perunding kewangan CIMB cawangan Kampung Baru, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguamnya, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32.

    Mereka dipercayai dibunuh dan dibakar di sebuah ladang di Banting, sebelum abu mereka dibuang ke dalam Sungai Panchau, pada 30 Ogos lalu.

    Sementara itu, Radin Pangat Ishak, 66, bapa mentua Noorhisham berharap apa yang dilakukan semua tertuduh ke atas menantunya bakal diadili seadil-adilnya di mahkamah dan dia yakin sistem perundangan negara ini tidak akan melepaskan orang yang bersalah begitu saja.

    “Kami tunggu dan lihat apa keputusannya. Saya serahkan semuanya kepada pihak perundangan negara. Jika mereka didapati bersalah, saya berharap mereka dijatuhkan hukuman yang berat sesuai dengan kesalahan dilakukan,” katanya ketika ditemui, semalam.

    Radin Pangat berkata, dia dan keluarga tidak berputus asa dan tetap melakukan solat hajat dan doa selamat memohon supaya keputusan asid deoksiribonukleik (DNA) dikeluarkan bukan milik menantunya itu.

    “Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Melihatkan penderitaan anak dan cucu yang kehilangan tempat bergantung, sayu hati saya. Disebabkan itu kami sekeluarga memohon supaya Noorhisham hidup. Bagaimanapun, jika sah keputusan DNA itu berpadanan dengan menantu saya, kami sekeluarga reda,” katanya.

    Katanya, mereka sekeluarga terutama isteri Noorhisham, Suzana, 38, dan tiga anaknya masih berharap keajaiban berlaku selagi ujian DNA tidak disahkan sepadan dengan pegawai bank berkenaan.


    Rabu, 13 Oktober 2010

    4 suspek dihadap ke mahkamah hari ini

    KUALA LUMPUR 12 Okt. - Dua peguam adik-beradik dan dua suspek lain yang sebelum ini ditahan berhubung kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain akan dihadapkan ke Mahkamah Majistret di Banting, pagi esok.
    Peguam bagi dua beradik berkenaan, Ravi Nekoo ketika dihubungi mengesahkan perkara tersebut dan turut memaklumkan akan membuat permohonan agar kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Shah Alam.
    "Mahkamah akan baca pertuduhan dan kemungkinan pihak pendakwa raya akan membuat permohonan bagi memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi Shah Alam untuk perbicaraan," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.
    Ravi juga memaklumkan tidak mengetahui kedua-dua anak guamnya akan didakwa di bawah seksyen mana.
    "Esok kita semua akan tahu keputusan mahkamah berhubung pendakwaan tersebut," katanya.
    Sementara itu, Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan semakan yang difailkan oleh dua beradik yang kini berada dalam tahanan reman berhubung kes pembunuhan beberapa individu termasuk Sosilawati.
    Ravi dalam satu kenyataan yang dihantar kepada pihak media memberitahu, semakan yang baru difailkan semalam ditolak oleh Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah tanpa mendengar hujahan daripada pihak-pihak terlibat.
    ''Permohonan itu ditolak oleh mahkamah tanpa mendengar hujah daripada mana-mana pihak. Pihak kami dimaklumkan mengenai perkara tersebut melalui faks yang dihantar oleh Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Haslina Basaruddin kira-kira pukul 11.50 pagi hari ini,'' katanya.
    Beliau memberitahu, pihaknya akan memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan dalam masa terdekat berhubung keputusan tersebut.
    ''Kami berpendapat mahkamah seharusnya mendengar permohonan ini kerana ia membabitkan hak orang yang ditahan seperti yang diperuntukkan di bawah Seksyen 325(2) Kanun Tatacara Jenayah.
    ''Walaupun Seksyen 326 Kanun Tatacara Jenayah menyatakan bahawa hak untuk didengar bukanlah satu perkara yang automatik tetapi bagi individu yang ditahan, peruntukan ini tidak boleh diguna pakai,'' ujarnya.
    Secara keseluruhan, kedua-dua suspek yang juga peguam telah direman dan dilanjutkan perintah tersebut sebanyak tiga kali sejak ditahan 11 September lalu bagi tiga kes berbeza iaitu Sosilawati dan tiga rakannya (14 hari), ahli perniagaan dari India, Allal Kanthan Muthuraja, 34, (12 hari) dan Mohd. Shafik serta Theravaraj (enam hari).
    Perintah reman itu juga dibuat secara berterusan antara satu sama lain sejak dua beradik itu mula ditahan pada Hari Raya Aidilfitri kedua yang lalu di premis beralamat No. 109, Jalan Cempaka, Taman Seri Teluk Datuk, Banting, Selangor.
    Selain dua beradik itu, turut ditahan reman ialah dua orang wanita dan beberapa orang lagi dipercayai pekerja ladang salah seorang suspek serta terbaru, seorang gadis, Jesyntha Clarene Isreal yang menyerah diri selepas mengetahui dirinya sedang dicari oleh pihak polis.

    Permohonan semakan tiga suspek kes bunuh Sosilawati ditolak

    KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam menolak permohonan semakan yang dikemukakan dua peguam adik-beradik dan seorang lagi suspek mengenai perintah lanjutan tahanan reman mereka oleh polis terhadap kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya, dan tiga rakannya yang liain. 

    Ravi Nekoo yang adalah peguam suspek dalam satu kenyataan berkata Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah menolak permohonan itu tanpa mendengar hujahan pihak mereka. 

    Beliau yang menerima surat menerusi mesin faks daripada Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi Haslina Basaruddin jam 11.50 pagi, terkejut dengan cara keputusan itu dibuat. 

    Menurut Ravi, pihaknya akan memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan. 

    Walaupun mengikut Seksyen 326, hak untuk kemukakan rayuan bukan sesuatu yang automatik, dalam hal berkaitan orang yang ditahan berprasangka, seksyen itu tidak terpakai. 

    Pada 8 Oktober lalu, mahkamah membenarkan tahanan mereka dilanjutkan tujuh hari lagi, yang akan berakhir 14 Oktober nanti. 

    Terdahulu, ketiga-tiga suspek memfailkan permohonan di pejabat Pendaftar Jenayah Mahkamah Tinggi supaya disemak semula perintah yang dikeluarkan oleh Pendaftar Mahkamah Majistret dan meminta Mahkamah Tinggi meneliti beberapa isu termasuk kegagalan majistret berkenaan menimbangkan permohonan bagi perintah tahanan reman secara individu. 

    Pada 30 Ogos lalu, anak Sosilawati, Erni Dekritawati Yuliana 25, membuat laporan polis kerana mendapati ibunya bersama pemandu peribadinya, Kamaruddin Shansuddin, 44, peguam peribadi, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dan pegawai CIMB cawangan Kampung Baru, Noorhisham Mohammad, 38, tidak pulang selepas mereka dikatakan ke Banting atas urusan pembelian tanah 

    Bagaimanpun pada 13 September 2010, polis mengesahkan semua mereka dipukul sehingga mati, mayat mereka dibakar dan abunya dibuang ke dalam sungai berhampiran Ladang Gadong, Banting, Selangor.