KUALA LUMPUR: Peguam adik-beradik dan seorang lagi suspek yang ditahan berhubung pembunuhan kejam jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya serta tiga individu lain, memfailkan permohonan semakan di Mahkamah Tinggi di sini, semalam, terhadap perintah penahanan reman mereka.
Permohonan itu difailkan peguam Ravi Nekoo di pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi Jenayah melalui Tetuan Arabi & Associates.Ravi memfailkan permohonan itu selepas mendapat arahan daripada anak guam serta isteri kepada salah seorang mereka berhubung lanjutan tahanan reman yang dikeluarkan Pendaftar mahkamah Majistret, Ahmad Shakib Ismail dan memohon semakan dibuat mengikut Seksyen 323 Kanun Acara Jenayah.
Dalam permohonan itu, ketiga-tiga suspek mendakwa mereka ditahan pada 11 September 2010 di Nombor 109 Jalan Cempaka, Taman Seri Teluk Datuk, Banting dan ditahan reman selama 14 hari bagi membantu siasatan polis.
Mereka dilepas dan ditahan semula pada 25 September lalu serta mendapat perintah reman dikeluarkan sehingga 2 Oktober 2010 bagi membantu siasatan terhadap laporan berhubung kehilangan seorang warga India, Allal Kanthan Muthuraja.
Selepas itu, mereka ditahan reman sehingga 7 Oktober 2010 selama 12 hari sebelum dibebaskan serta ditangkap semula pada tarikh itu bagi menyiasat kes kehilangan Mohd Shafiq Abdullah dan Thevaraj Shanmugam.
Pada 8 Oktober lalu, mereka dibawa ke Pusat Tahanan di Bukit Jalil untuk permohonan reman di hadapan Ahmad Shakib.
Dalam permohonan itu, Ravi mendakwa Pegawai Penyiasat, Asisten Superintendan (ASP) Tonny Anak Lunggan ada mengemukakan beberapa alasan kepada Ahmad Shakib untuk membolehkan penahanan itu dibuat.
Selain Ravi, ketiga-tiga suspek diwakili oleh Pushpa Ratnam dan Ng See Teong membantah permohonan Tonny dengan mengatakan ia tidak boleh diguna pakai untuk menahan suspek berikutan ia boleh dilakukan tanpa menahan mereka, lagipun mereka sudah berada di dalam tahanan sejak 11 September 2010.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan