Jumaat, 15 Oktober 2010

Geram tetap bersarang

Oleh Ibrahim Isa 

2010/10/15



BATU PAHAT: “Anak orang kenapa dimatikan (dibunuh). Apa dia ingat dia Tuhan ke apa? Ada padi ada beras, ada budi ada balas, anak kita dibunuh, dia itu dibunuh (dihukum bunuh),” luah Yatmah Abdul Rahman, 80, ibu kepada jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya, yang dibunuh di Banting, Selangor, Ogos lalu.
Warga emas yang masih bersedih dengan kejadian berkenaan berkata, dia bersetuju dengan pandangan cucunya, Erni Dekritawati Yuliana Buhari, yang mahukan pembunuh berkenaan dihukum gantung sampai mati atas perbuatan mereka.
Bagaimanapun, warga emas itu yang ternyata masih tertekan dan sedih dengan kejadian itu enggan mengulas lanjut.

Sementara itu, adik Sosilawati, Rosnani, 45, berkata penduduk Kampung Sri Menanti, Sri Medan di sini, mengadakan solat kesyukuran selepas pihak berkuasa mendakwa empat lelaki yang dipercayai terbabit dalam pembunuhan itu di Mahkamah Majistret Teluk Datok, Banting, kelmarin.

Menurutnya, walaupun kes itu baru dihadapkan ke mahkamah, keluarganya lega dengan perkembangan berkenaan dan berharap pendakwaan berjalan lancar.

“Sebelum ini kami sentiasa mengadakan solat hajat dan hari ini, kami akan melakukan solat kesyukuran kerana kes pembunuhan ini memasuki babak baru iaitu proses mahkamah,” katanya ketika ditemui di rumah ibunya di Kampung Sri Menanti, Sri Medan di sini, semalam.

Katanya, perbuatan mereka bukan saja kejam terhadap kakaknya, pemandu, Kamaruddin Shansudin, 44, peguam, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, pegawai bank CIMB Noorhisham Mohammad, 38, malah hasil siasatan polis yang dilaporkan di akhbar, mungkin ramai orang lain menjadi mangsa mereka.

Ketua Kampung Sri Menanti, Omar Salleh berkata, sejak berita kehilangan Sosilawati penduduk kampung mengerjakan solat hajat setiap minggu bagi memudahkan pihak berkuasa menemuinya.

Apabila Sosilawati disahkan dibunuh, katanya, penduduk tetap mengerjakan solat hajat dengan tujuan memudahkan siasatan dan berharap mereka bertanggungjawab dibawa ke muka pengadilan.

“Sebenarnya, penduduk kampung mengerjakan solat hajat setiap minggu selepas kawasan ini dinaiki banjir besar pada hujung 2006 dan awal 2007,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan