Datuk Sosilawati Lawiya yg juga ahli perniagaan dan pengasas produk kecantikan Nouvelle Vissage, bersama pemandu peribadinya, Kamaruddin Shansuddin, pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru, Kuala Lumpur, Noorhisham Mohammad, dan peguam peribadi, Ahmad Kamil Abd Karim, dilapor hilang pada 30 Ogos lalu. Mereka kemudiannya dilaporkan telah dipukul sampai mati sebelum dibakar dan abu dibuang ke dalam sungai berdekatan Ladang Gadong, Banting.
Khamis, 14 Oktober 2010
Biar ke tali gantung
Oleh Shahrul Nizam Mohamad, Mohd Jamilul Anbia Md Denin, Ibrahim Isa dan Suraya Roslan
2010/10/14
KUALA LUMPUR: “Seperti mana azab dilalui ibu saya yang dibunuh kejam, saya mahu semua penjenayah yang bertanggungjawab (melakukan pembunuhan) dibalas dengan hukuman mati di tali gantung,” kata Erni Dekritawati Yuliana Buhari, 25, anak jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya, selepas empat lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret Banting, Selangor, semalam, atas tuduhan membunuh ibunya dan tiga individu lain.
Ketika dihubungi semalam, dia yang mesra dengan panggilan Rita mengaku masih bersedih dengan kehilangan ibunya dan hatinya masih berat untuk percaya dengan apa yang berlaku.
“Ada kalanya saya takut untuk membaca akhbar atau mendengar cerita bagaimana kejamnya ibu dan tiga mangsa lain diperlakukan penjenayah. Mereka tidak berperikemanusiaan dan berhati syaitan.
“Saya cuma berharap polis dapat membuktikan jenayah terancang dilakukan semua suspek bagi membolehkan hukuman berat dan setimpal dijatuhkan kepada mereka,” kata anak sulung daripada enam beradik itu.
Rita berkata, sekuat mana sekali pun hatinya cuba menahan air mata daripada menitis, hakikatnya hanya Tuhan yang tahu penderitaan dan kesedihan dialami.
“Kehilangan ibu merentap kebahagiaan kami adik-beradik yang amat manja dan menjadikan ibu sebagai tempat menumpang kasih sejak kecil.
“Sukar dijelaskan apa yang kami rasa selepas kehilangan ibu, namun apa cara sekali pun cita-cita dan impian ibu perlu diteruskan. Hanya doa tidak henti dipohon supaya roh ibu ditempatkan di kalangan hamba yang dilindungi Allah,” katanya.
Ditanya berhubung aktiviti harian selain cabaran perlu dihadapi bagi meneruskan perniagaan kosmetik Nouvelles Visages (NV), Rita memberitahu masih banyak yang perlu dipelajarinya.
“Banyak perkara yang perlu diselesaikan terutama membabitkan perjalanan dan kewangan syarikat. Bagaimanapun, saya bernasib baik kerana masih ada pekerja lama yang setia di belakang untuk membantu dan membimbing terutama berkaitan urusan perniagaan syarikat,” katanya.
Menurutnya, kesibukannya untuk menyesuaikan diri dengan situasi terbabit menyebabkan dia belum berpeluang berjumpa stokis produk NV yang terus menyokong produk diasaskan ibunya itu.
“Mengikut perancangan, saya akan berjumpa semua stokis pada Januari depan selepas semua urusan berkaitan pengurusan syarikat diselesaikan.
“Tindakan membekukan sementara aset kewangan milik ibu sedikit sebanyak turut menyukarkan kami untuk menyelesaikan beberapa masalah membabitkan pinjaman dan urusan perniagaan lain,” kata Rita.
Selain Sosilawati, tiga lagi mangsa pembunuhan kejam itu ialah pemandu peribadinya, Kamaruddin Shansuddin, 44; perunding kewangan CIMB cawangan Kampung Baru, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguamnya, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32.
Mereka dipercayai dibunuh dan dibakar di sebuah ladang di Banting, sebelum abu mereka dibuang ke dalam Sungai Panchau, pada 30 Ogos lalu.
Sementara itu, Radin Pangat Ishak, 66, bapa mentua Noorhisham berharap apa yang dilakukan semua tertuduh ke atas menantunya bakal diadili seadil-adilnya di mahkamah dan dia yakin sistem perundangan negara ini tidak akan melepaskan orang yang bersalah begitu saja.
“Kami tunggu dan lihat apa keputusannya. Saya serahkan semuanya kepada pihak perundangan negara. Jika mereka didapati bersalah, saya berharap mereka dijatuhkan hukuman yang berat sesuai dengan kesalahan dilakukan,” katanya ketika ditemui, semalam.
Radin Pangat berkata, dia dan keluarga tidak berputus asa dan tetap melakukan solat hajat dan doa selamat memohon supaya keputusan asid deoksiribonukleik (DNA) dikeluarkan bukan milik menantunya itu.
“Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Melihatkan penderitaan anak dan cucu yang kehilangan tempat bergantung, sayu hati saya. Disebabkan itu kami sekeluarga memohon supaya Noorhisham hidup. Bagaimanapun, jika sah keputusan DNA itu berpadanan dengan menantu saya, kami sekeluarga reda,” katanya.
Katanya, mereka sekeluarga terutama isteri Noorhisham, Suzana, 38, dan tiga anaknya masih berharap keajaiban berlaku selagi ujian DNA tidak disahkan sepadan dengan pegawai bank berkenaan.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan