BANTING: Teka teki berhubung suspek kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya serta tiga yang lain berakhir apabila seorang peguam, N Pathmanabhan serta tiga pekerja ladang dihadapkan ke muka pengadilan di Mahkamah Majistret Teluk Datok, di sini, pagi semalam.
Pathmanabhan, 41, didakwa bersama-sama T Thilaiyalagan, 19; R Matan, 20 dan R Kathavarayan, 30, membunuh Sosilawati, 47.Selain itu, keempat-empat mereka didakwa membunuh pemandu wanita itu, Kamaruddin Shansudin, 44; peguam, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dan pegawai bank CIMB Noorhisham Mohammad, 38.
Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di Lot 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, di sini, pada jam 8.30 malam dan 9.45 malam, 30 Ogos lalu.
Bagi perbuatan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.
Pathamanabhan tiba di mahkamah pada jam 8.45 pagi dengan menaiki kereta Waja manakala tertuduh lain di bawa menaiki van dengan dikawal polis.
Ketika pertuduhan dibacakan, keempat-empat mereka yang berdiri di dalam kandang tertuduh kelihatan tenang.
Pertuduhan terhadap Pathmanabhan dibacakan dalam bahasa Melayu manakala pertuduhan terhadap tiga yang lain dibacakan dalam bahasa Tamil di hadapan Majistret Hurman Hussain Mereka menangguk tanda faham selepas pertuduhan dibacakan, bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan.
Timbalan Pendakwa Raya Ishak Mohd Yusoff memohon kepada mahkamah untuk menetapkan tarikh sebutan semula bagi mengemukakan dokumen serta memerlukan masa kerana masih menunggu laporan kimia.
Selain Ishak, pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Saiful Edris Zainudin dan Idham Abdul Ghani.
Mahkamah menetapkan 16 Disember ini untuk sebutan semula.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan