Sabtu, 2 Oktober 2010

Usah jadikan kes bunuh Sosilawati bahan polemik

KUALA LUMPUR: Amaran keras diberikan kepada pihak tertentu supaya tidak menjadikan kes jenayah berprofil tinggi termasuk kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sopsilawati Lawiya sebagai bahan polemik bertujuan meraih sokongan politik termasuk mencetuskan rasa perkauman sempit.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, perbuatan itu akan menimbulkan masalah kepada polis apabila ia diambil peluang segelintir ahli politik untuk menonjolkan diri selain menuduh polis hanya memberi perhatian kepada kes jenayah berprofil tinggi semata-mata.

Beliau turut merujuk isu sama terhadap kes membabitkan penahanan kartunis Zulkiflee Anwar Ulhaque atau Zunar selain kes penggubah muzik, Namewee yang dikecam kerana mencetuskan isu perkauman melalui klip video yang turut disiasat polis.

“Kes ini menunjukkan pembabitan semua jenis kaum dan ia tidak seharusnya mencetuskan isu perkauman terhadap mana-mana, pihak tertentu semata-mata “Dalam kes ini, tiada bangsa atau agama tertentu yang memonopoli sesuatu jenayah. Semua bangsa turut terbabit dan disiasat polis...oleh itu beri kami masa dan ruang kepada polis untuk menyiasat semua kes berkenaan secara adil,” katanya selepas menghadiri majlis mesra rakyat sempena sambutan Aidilfitri anjuran kementerian itu di Pusat Latihan Polis (Pulapol), petang semalam.

“Dalam kes berprofil tinggi ini juga, kita cepat dalam tindakan, kita lakukannya secara profesional seperti yang rakyat mahu dan kita mahu ia disiasat tanpa rasa takut dan pilih kasih, secara efisien, profesional dana adil,” katanya. Beliau berkata, kadang kala siasatan kes berprofil tinggi membabitkan pelbagai agensi iaitu kesalahan berkaitan teknologi maklumat seperti paparan di You Tube adalah di bawah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan memerlukan nasihat teknikal.

Lima suspek ditahan reman hingga 8 Oktober

BANTING: Lima suspek kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya,47, dan tiga yang lain, ditahan reman hingga 8 Oktober ini bagi membantu siasatan kes kematian seorang jutawan India, Allal Kanthan Muthuraja, 34.
Majistret Hurman Hussin mengeluarkan perintah itu kira-kira jam 10.30 pagi semalam selepas membenarkan permohonan polis menahan reman kelima-lima lelaki itu.

Difahamkan, tangkapan baru terhadap lima suspek yang dibebaskan kelmarin selepas ditahan reman sebelum ini, membabitkan kes pembunuhan Sosilawati adalah berdasarkan kepada laporan polis dibuat dua adik lelaki jutawan India terbabit.

Kelima-lima mereka yang tiba di Mahkamah Majistret Telok Datok, di sini, kira-kira jam 9.30 pagi semalam, dikawal ketat anggota polis, sebelum dibawa ke Kuala Lumpur selepas perintah reman bermula semalam, diperolehi.

Pada 22 September lalu, media melaporkan kehilangan Allal Kanthan yang menjalankan perniagaan batu permata di Chennai, India selepas berurusan dengan suspek utama kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya serta tiga individu lain.


Tempoh reman suspek kes kehilangan hartawan India dilanjutkan

SEPANG: Polis hari ini mendapat perintah mahkamah untuk melanjutkan sehingga 7 Oktober tempoh reman tiga suspek berhubung kes kehilangan hartawan warga India A Muthuraja di Malaysia.
Perintah reman ke atas ketiga-tiga suspek, dua daripadanya peguam adik-beradik, dikeluarkan oleh Majistret Hurman Hussain di Balai Polis Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) di sini.

Seorang daripada suspek itu adalah suspek utama dalam kes pembunuhan jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu.

Ketiga-tiga suspek yang dibawa dengan kereta polis tiba di balai polis itu pada 9.30 pagi dan meninggalkan balai polis itu kira-kira sejam kemudian.

"Pihak polis telah meminta lanjutan selama tujuh hari tetapi pihak majistret hanya memberikan enam hari," kata peguam yang mewakili peguam dua beradik itu, Ravi Nekoo ketika ditemui di luar balai polis itu.

Semalam, Mahkamah Majistret Teluk Datok di Banting membenarkan tahanan reman terhadap lima lagi suspek dalam kes pembunuhan Sosilawati disambung sehingga 8 Oktober.

Ravi berkata, beliau turut membangkitkan isu kepada majistret bahawa beliau dan rakan peguam yang lain tidak dibenarkan berjumpa dengan anak guam mereka itu.

"Suspek utama juga memberitahu majistret yang dia tidak diberi peluang berjumpa dengan kami. Kami memandang isu ini dengan serius kerana akses untuk peguam adalah satu hak asasi yang telah dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan terutama di Artikel 5 Klausa 3," katanya.

Beliau berkata, walaupun barisan peguam pernah beberapa kali berkesempatan berjumpa dengan anak guamnya itu tetapi hanya dalam waktu yang amat singkat.

Katanya, beliau menulis surat kepada Ketua Polis Negara, timbalannya dan pegawai kanan lain berkaitan isu itu dan sehingga kini masih tidak mendapat sebarang balasan.

"Memandangkan mereka ditahan semenjak 11 September sehinggalah kini tanpa representasi undang-undang, kami rasa ia satu isu yang sungguh berat," katanya.

Menurut Ravi, seorang daripada suspek yang juga peguam turut memberitahu tentang perkara ini kepada majistret hari ini dan beliau dibenarkan untuk membuat satu laporan polis.

Ditanya mengapa reman hanya diberi selama enam hari, Ravi menyatakan majistret merasakan ia mencukupi berdasarkan dokumen yang diberikan oleh pihak polis.

Ini adalah kali kedua tempoh reman dilanjutkan bagi suspek utama dan adiknya dan kali keempat untuk suspek lain kes berkaitan kematian Sosilawati.

Muthuraja, 34, dilaporkan hilang selepas dipercayai dijemput dua peguam rakyat tempatan di KLIA, sejurus tiba di Malaysia pada 18 Januari lalu.


Isteri Muthuraja, S Usharani, 24, membuat laporan mengenai kehilangan suaminya di Balai Polis Banting pada 8 Sept lepas dan memberi keterangan berhubung perkara itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat sejak beberapa hari lalu.

Sosilawati, 47, pemandu peribadinya Kamarudin Shansuddin, 44, pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam peribadi Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dilapor hilang sejak 30 Ogos lalu selepas dikatakan ke Banting untuk urusan pembelian tanah.

Keempat-empat mangsa kemudian disahkan polis dipukul sampai mati sebelum mayat mereka dibakar dan abunya dibuang ke dalam sungai berdekatan Ladang Gadong, Tanjung Sepat.-Bernama

Jumaat, 1 Oktober 2010

Suara' minta tolong di Ladang Gadong

Oleh SHARILFUDDIN SAARI
pengarang@utusan.com.my


KUALA LUMPUR 30 Sept. - Ladang Gadong di Kuala Langat, Selangor yang menyimpan kisah tragis melibatkan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya bersama tiga individu lain, kini mula menerima gangguan suara misteri.

Beberapa anggota polis yang bertugas mengawal lokasi pembunuhan kejam itu mendakwa mendengar 'suara-suara' meminta tolong hampir setiap malam.

Ekoran itu, polis dikatakan terpaksa menambah bilangan anggota yang berkawal daripada dua kepada lima hingga enam orang mengikut syif setiap hari.

"Pada mulanya, hanya dua anggota bertugas namun bilangannya terpaksa ditambah kerana ada yang mengalami gangguan-gangguan ketika bertugas.

"Mereka diganggu 'suara-suara' itu yang sayup-sayup kedengaran meminta tolong," kata sumber sambil memberitahu salah seorang suspek kes itu juga mengakui 'didatangi' lembaga.

Menurutnya, 'suara-suara' itu biasanya muncul dari dalam ladang kelapa sawit terbabit di waktu tengah malam semasa anggota-anggota sedang berehat di pondok kecil yang dibina mereka tidak jauh dari tali air.

Katanya, anggota-anggota terbabit juga tidak dapat memastikan dari arah mana 'suara-suara' itu kerana keadaan ladang yang amat gelap selain ia hanya sayup-sayup kedengaran.

Katanya lagi, bagi langkah berjaga-jaga anggota tidak melakukan rondaan seorang diri sebaliknya dijalankan secara berkawan pada setiap jam.

Sementara itu, menurutnya, sebatang tali air di ladang tersebut dipercayai telah dijadikan oleh suspek-suspek sebagai tempat pembuangan tulang-tulang mangsa di dalam kes berkenaan.

Katanya, bagi mengumpul bahan-bahan bukti itu, sebuah jengkaut digunakan untuk membuat dua tambak di bahagian kiri dan kanan tali air tersebut.

"Sebuah jentera Bomba dan Penyelamat pula ditugaskan untuk menyedut air di dalam tali air itu. Setelah kering, barulah forensik menjalankan kerja-kerja mengumpul bukti seperti tulang.

"Ia bagaimanapun terpaksa mengambil masa kerana tulang-tulang yang bercampur dengan selut itu terpaksa dibersih satu persatu," ujarnya.

Kata sumber itu lagi, cabaran lain dihadapi anggota bertugas adalah kawasan tersebut mempunyai bilangan lalat yang luar biasa dipercayai ekoran kematian ternakan seperti kambing serta haiwan peliharaan, iaitu anjing.

"Kalau duduk sebentar sahaja, lalat akan memenuhi muka. Haiwan-haiwan itu mati kerana kini tidak lagi diberi makan sejak tuannya ditahan polis," ujarnya.

Sosilawati, 47, bersama pemandu peribadinya, Kamarudin Shamsudin, 44; pegawai Bank CIMB, Noorhisham Mohammad, 38 dan peguam peribadi, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dilaporkan hilang sejak 30 Ogos lalu selepas dikatakan ke Banting, di sini untuk urusan pembelian tanah.

Berikutan kehilangan keempat-empat individu itu, polis menahan lapan suspek untuk membantu siasatan kes berkenaan pada 9 dan 10 September lalu.

Usharani selesai beri keterangan

KUALA LANGAT 30 Sept. - Isteri ahli perniagaan warga India, Allal Kathan Muturaja, 34, yang dilaporkan hilang di Banting, awal tahun ini, selesai memberikan keterangan kepada polis berhubung kes itu, hari ini.
S. Usharani, 24, tiba di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di sini pukul 11.30 pagi sebelum dilihat keluar selepas satu setengah jam.
Wanita itu keluar sebaik sahaja selesai menandatangani dokumen dipercayai berkait rapat dengan pengakuan keterangan yang dibuatnya kepada pihak berkuasa itu sebelum ini.
Beliau yang ditemui di Hotel City, tempatnya menginap di sini, menyifatkan polis memberikan kerjasama baik kepadanya sepanjang proses siasatan.
"Polis Diraja Malaysia telah memberikan kerjasama yang baik sepanjang proses siasatan. Saya yakin polis dapat menyelesaikan kes itu secepat mungkin," katanya di sini hari ini.
Dalam pada itu, Usharani memberitahu, beliau akan pulang ke Chennai, India, pukul 9.30 pagi esok.
Usharani tiba di negara ini pada 22 September lalu dan mula memberi keterangan kepada polis mengenai kes kehilangan suaminya sejak 26 September lalu di IPD Kuala Langat bagi membantu siasatan.
Kali terakhir Usharani memberikan keterangan kira-kira pukul 9 pagi sehingga pukul 5.30 petang semalam, kepada pengawai penyiasat di IPD berkenaan.
Selain Usharani, turut dipanggil bagi membantu siasatan kes itu ialah adik Allal Kathan, Dr. Kasi Viswanathan yang memberikan keterangan kepada polis kira-kira pukul 12 tengah hari semalam.
Pada 22 September lalu, media melaporkan kehilangan Allal Kathan yang menjalankan perniagaan batu permata di Chennai, India selepas berurusan dengan suspek utama kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya serta tiga individu lain di Banting, di sini.
Siasatan kes kehilangan Allal Khatan itu dilakukan setelah satu laporan dibuat oleh Usharani ekoran kehilangan suaminya itu pada 8 September lalu.

Usharani dijangka pulang hari ini

2010/10/01



BANTING: Selepas beberapa hari memberi keterangan kepada pegawai penyiasat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat, S Usharani, 24, isteri kepada saudagar permata warga India selesai memberi keterangan dan dijangka pulang ke negaranya hari ini.
Usharani memberi keterangan berhubung kehilangan suaminya, Allal Kathan Muturaja, 34, yang dipercayai ada kaitan dengan suspek utama pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga rakannya.
Dia yang ditemui di sebuah hotel tempatnya menginap di sini berharap Polis Diraja Malaysia (PDRM) dapat menyelesaikan kes itu secepat mungkin.

“Saya dilayan dengan baik oleh polis di sini dan mereka juga beri kerjasama yang baik sepanjang proses siasatan dan saya amat berpuas hati.

“Saya percaya polis Malaysia dapat menyelesaikan kes ini secepat mungkin,” katanya di sini, semalam.

Usharani berkata, dia akan pulang ke Chennai, India kira-kira jam 9.30 pagi dan tiket penerbangan sudah dibeli. Terdahulu Usharani tiba di pekarangan IPD kira-kira jam 11.30 pagi dan keluar kira-kira dua jam kemudian dipercayai selepas selesai menandatangani beberapa dokumen berkait rapat dengan pengakuan keterangan dibuat kepada pihak berkuasa sebelum ini.

Usharani tiba ke negara ini pada 22 September lalu dan mula memberikan keterangan kepada polis mengenai kes kehilangan suaminya bermula pada 26 September lalu. Selain Usharani, turut dipanggil bagi membantu siasatan kes itu ialah adik kepada Allal Kathan, Dr Kasi Viswanathan yang memberikan keterangan kepada polis kira-kira jam 12 tengah hari kelmarin. Pada 22 September lalu, media melaporkan kehilangan Allal Kathan yang menjalankan perniagaan batu permata di Chennai, India selepas berurusan dengan suspek utama kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya serta tiga individu lain di Banting, di sini.

Siasatan kes kehilangan Allal Khatan itu dilakukan selepas satu laporan dibuat oleh Usharani ekoran kehilangan suaminya pada 8 September lalu.

Khamis, 30 September 2010

Dr. Kasi beri keterangan



SEORANG pekerja mengangkat kotak berisi fail yang diambil dari pejabat guaman Patmanaban di Jalan Sultan Alam Shah, Banting semalam.


BANTING – Dr. Kasi Viswanathan, adik hartawan India, Allal Kathan Muturaja yang dilaporkan hilang Januari lalu, semalam hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat di sini buat pertama kali untuk memberikan keterangan berhubung kes kehilangan abangnya itu.
Kasi dilihat memasuki IPD itu pada pukul 12 tengah hari dengan ditemani isterinya yang dikenali Maria, abangnya Vijaya Subramaniam dan peguam G. Saraswaty. Dia selesai memberi keterangan kira-kira enam jam kemudian.
Bagaimanapun, hanya Kasi yang diambil keterangan bagi membantu polis melengkapkan kertas siasatan berkaitan kes tersebut.
Sementara itu, Vijaya ketika ditemui pemberita di luar IPD itu berkata, sehingga kini dia dan ahli keluarga lain belum lagi memberi sampel kepada polis bagi menjalani ujian asid deosiribonukleik (DNA) untuk membantu siasatan.
“Kami menaruh harapan tinggi polis negara ini dapat menyelesaikan kes kehilangan itu dengan segera,” katanya.

Dokumen guaman terus diambil

Oleh Muhamad Fairoz Azizan 

2010/09/30

Isteri ahli perniagaan India dakwa terima ugutan daripada adik ipar sendiri

BANTING: Seorang lelaki dan wanita dipercayai pekerja firma guaman milik suspek utama kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati dan tiga individu lain, sekali lagi dilihat memasuki premis itu semalam, dengan ditemani dua anggota polis. 

Kedua-dua mereka memasuki premis di Jalan Kemboja Off Jalan Sultan Alam Shah, kira-kira jam 11.15 pagi dan dilihat keluar dari premis yang terletak berhadapan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat itu kira-kira 15 minit kemudian, dengan membawa satu kotak berisi fail berwarna coklat.


Mereka dilihat meninggalkan premis terbabit dengan menaiki dua kereta Proton Waja dan Proton Wira untuk ke lokasi yang tidak diketahui.

Sementara itu, isteri ahli perniagaan India, Muthuraja Allal Kanthan dan dua adik lelaki itu, dilihat memasuki IPD Kuala Langat pagi dan tengah hari semalam. 

S Usharani, 24, hadir di IPD Kuala Langat kira-kira jam 9 pagi semalam, untuk menyambung semula keterangannya bagi membantu siasatan pembunuhan suaminya, manakala Dr A Kasi Viswanathan, 32, dan Vijay Subramaniam, tiba di situ kira-kira jam 12 tengah hari. 

Usharani yang bertemu dengan pemberita yang menunggu di luar IPD Kuala Langat, selepas memberi keterangan semalam, berkata surat yang diberikan polis minggu lalu kepadanya untuk meminta ahli keluarga suaminya datang ke negara ini untuk menjalani ujian DNA, tidak diserahkan kepada keluarga mangsa. 

Katanya, ini kerana dia tidak berhubungan dengan keluarga suaminya sejak enam bulan lalu dan surat itu juga sudah dipulangkan semula kepada polis. 
"Saya yang membuat laporan polis berhubung kehilangan suami, kenapa saya perlu menyerahkan surat itu dan meminta mereka datang," katanya. 

Terdahulu, Usharani menyambung keterangannya kepada seorang pegawai tinggi polis dari Bukit Aman di IPD Kuala Langat di sini, selama kira-kira lapan jam sejak jam 9 pagi semalam. 

Beliau mendakwa ugutan diterimanya minggu lalu adalah daripada adik iparnya sendiri kerana wanita itu dikatakan memperbesarkan kes berkenaan. 

Usharani kemudian meninggalkan IPD Kuala Langat pada jam 5.15 petang dengan menaiki kereta Proton Waja. 

Beliau yang dijangka pulang ke India Jumaat ini, akan datang semula ke IPD Kuala Langat hari ini untuk menyambung keterangannya. 

Adik beri keterangan

SHAH ALAM: Adik kepada saudagar batu permata dari Chennai, India, Allal Kathan Muturaja, 34, yang dipercayai menjadi mangsa bunuh suspek utama kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat, semalam bagi memberi keterangan berhubung kehilangan abangnya itu.
Adik bongsu mangsa, Dr Kasi Viswanathan ditemani peguam, G Saraswaty dan isterinya, warga Russia dikenali Maria memasuki perkarangan IPD kira-kira jam 12 tengah hari untuk memberi keterangan kepada pegawai penyiasat berhubung kejadian itu.

Isteri Allal Kathan, S Usharani, 24, turut hadir bagi menyambung keterangan dan dia tiba kira-kira jam 9 pagi ditemani pengawal peribadi.

Bagaimanapun adik kedua mangsa, Vijaya Subramanian yang mempunyai perniagaan restoran di Banting tidak dipanggil memberi keterangan.

Vijaya ketika ditemui berkata, adik dan isteri mangsa dipanggil memberi keterangan berhubung kehilangan abangnya yang kali terakhir bersama suspek utama.

Tuduhan liar keterlaluan

2010/09/30



KUALA LUMPUR: Tuduhan liar mengatakan polis lembap mengambil tindakan berhubung kehilangan hartawan India, Allal Kanthan Muthuraja yang dikaitkan dengan suspek utama kes pembunuhan jutawan kosmetik, Sosilawati Lawiya dianggap keterlaluan berikutan polis melakukan sedaya sejak mangsa dilaporkan hilang awal tahun ini.
Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin dan Abdullah Wahab am@hmetro.com.my Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Hussin Ismail berkata, polis sudah mengambil tindakan wajar dengan melakukan siasatan berhubung laporan diterima sebelum ini, sekaligus menafikan dakwaan adik hartawan terbabit, Dr A Kasi Viswanathan, 32, yang datang ke Malaysia, Isnin lalu.
Menurutnya, polis mengesahkan ada menerima laporan dibuat saudara terdekat Allal di Balai Polis Klang, pada 29 Mac lalu.

“Bagaimanapun, keluarga mangsa yang membayar wang seperti diminta mula berasa sesuatu tidak kena apabila hartawan India terbabit masih tidak dibebaskan. Ahli keluarga mangsa kemudian membuat laporan polis selepas percaya ditipu individu tertentu,” katanya ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, di sini semalam.

Beliau berkata, polis mulanya menyiasat kes terbabit mengikut kes tipu. Tindakan itu diambil berdasarkan kandungan laporan polis yang dibuat pengadu.

“Selain menyiasat kes penipuan itu, polis menyiasat kes kehilangan mangsa.

“Apa yang jelas, pegawai penyiasat melakukan usaha bagi mengesan Allal, namun mangsa tidak dapat dikesan pada waktu itu,” katanya.

Bagaimanapun, keluarga mangsa sekali lagi membuat laporan polis pada 2 September lalu, selepas polis mendedahkan kes pembunuhan Sosilawati dan tiga individu lain di Ladang Gadong, Tanjung Sepat, Banting. “Hanya selepas itu barulah polis menyiasat kes terbabit dengan lebih mendalam dan mengaitkannya dengan kes Datuk Sosilawati yang hilang dan mati dibunuh.

“Saya harap, keluarga Allal membenarkan polis menjalankan siasatan berhubung kes terbabit. Mereka diharap tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh menjejaskan siasatan polis terutama kepada pihak yang tidak ada kaitan dengan kes ini,” katanya.

Hussin berkata, dia melantik pegawai perhubungan khas bagi dijadikan penghubung antara keluarga mangsa dengan polis, selain memberikan maklumat terkini berhubung perkembangan siasatan kes berkenaan “Setakat ini, seramai 10 suspek ditahan reman berhubung kes berkenaan dan tempoh tahanan reman ke atas semua suspek disambung mengikut keperluan,” katanya.

Ketika diminta mengulas tempoh tahanan reman lima suspek kes pembunuhan Sosilawati yang tamat esok, Hussin berkata, polis belum membuat sebarang keputusan sama ada menyambung reman atau tidak kelima-lima suspek terbabit.

“Saya minta kerjasama semua pihak menyerahkan siasatan kepada kami,” katanya. Isnin lalu, adik ahli perniagaan India terbabit, Kasi Viswanathan mengemukakan aduan rasmi kepada Kerajaan Malaysia terhadap cara kes terbabit dikendalikan dengan mendakwa keluarganya tidak pernah dimaklumkan secara rasmi mengenai perkembangan siasatan kes itu.

Rabu, 29 September 2010

Ladang suspek ada banyak bukti

Laporan Suhana Roslan, Muhamad Fairoz Azizan dan Badrul Kamal Zakaria
bhnews@bharian.com.my
2010/09/29

Foto
ANTARA lokasi dipercayai tempat pembunuhan Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain dekat Ladang Gadong, Tanjung Sepat.
Beberapa lokasi disyaki jadi tempat pembuangan barang peribadi mangsa

KUALA LUMPUR: Polis percaya beberapa lokasi sekitar ladang persendirian milik suspek utama kes bunuh Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain menjadi tempat pembuangan banyak bukti berkaitan pembunuhan itu dan kehilangan tiga ahli perniagaan lain, termasuk seorang dari India.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Bakri Zinin yang mendedahkan perkara itu, berkata polis percaya ladang berkenaan mempunyai banyak lagi bahan bukti untuk dikumpul.

“Ini petunjuk baru yang diperoleh daripada hasil siasatan. 

“Selain dua kubur yang digali, kelmarin, ada beberapa lagi lokasi yang dipercayai mempunyai bahan bukti untuk melengkapkan siasatan kes secara menyeluruh,” katanya di sini, semalam.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan tiga ahli perniagaan yang hilang itu akan disiasat sebagai kes bunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan berikutan modus operandi kehilangan mereka yang sama, selain dipercayai turut didalangi suspek sama.

Pada 22 September lalu, Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar, mengesahkan ahli perniagaan dari India, Muthuraja Allal Kanthan, 34, yang dilaporkan hilang sejak Januari lalu, turut dibunuh. 
Malah, dua lagi individu, Shafik Abdullah, 37, seorang kontraktor dari Sungai Petani, Kedah dan sahabat baiknya turut disahkan hilang selepas menemui suspek utama yang juga peguam yang terbabit dalam kes pembunuhan Sosilawati, April lalu.

Kes pembunuhan dan orang hilang itu terbongkar susulan penahanan peguam yang juga suspek utama kes pembunuhan Sosilawati bersama pemandunya, Kamaruddin Shansuddin, 44; peguam, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32 dan perunding kewangannya, Noorhisham Mohammad, 44.

“Bagaimanapun, semuanya bergantung kepada hasil siasatan. Malah, operasi penggalian kubur kelmarin turut dilakukan kerana kita percaya ia adalah kawasan berkemungkinan mereka (suspek) menggunakan tempat itu bagi membuang bahan bukti, termasuk berkaitan kes kehilangan tiga ahli perniagaan,” katanya pada majlis sambutan hari raya anjuran Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini, semalam.

Ditanya sama ada bukti baru seperti tulang ditemui di ladang itu, Mohd Bakri enggan mengulas lanjut dan memaklumkan pihaknya akan melakukan siasatan berhubung kes berprofil tinggi itu secara menyeluruh.

“Kita (polis) tidak boleh terlalu memperincikan berhubung penemuan bahan bukti ini, kerana ia masih dalam siasatan,” katanya yang mengakui polis tidak berdepan dengan sebarang kesukaran dalam menjalankan siasatan. 

Siasat ke akar umbi

Pejabat suspek utama kes bunuh Sosilawati, 3 rakan digeledah semula


POLIS meneruskan usaha mencari bukti kes pembunuhan Sosilawati  dan tiga rakannya dengan terus menggeledah pejabat suspek utama di Banting,  selain di   lokasi    Ladang Gadong tempat disyaki berlaku pembunuhan lain.
POLIS meneruskan usaha mencari bukti kes pembunuhan Sosilawati dan tiga rakannya dengan terus menggeledah pejabat suspek utama di Banting, selain di lokasi Ladang Gadong tempat disyaki berlaku pembunuhan lain.


KUALA LUMPUR: Polis memperhebatkan siasatan kes pembunuhan Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga rakannya serta kehilangan tiga ahli perniagaan lain bagi memastikan pembunuh terbabit tidak terlepas daripada hukuman.


Semalam, pasukan polis sekali lagi menggeledah pejabat peguam yang juga suspek utama kes di Banting dan membawa keluar lapan ikatan fail dipercayai boleh membantu siasatan.


Empat wanita dan seorang lelaki dipercayai pekerja firma guaman itu turut dilihat mengiringi empat anggota polis pada jam 11.15 pagi dan mereka dilihat keluar bersama pada jam 12.35 tengah hari.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Bakri Zinin, memberi jaminan, pasukannya berada pada landasan yang betul dan sentiasa bekerja kuat untuk mendapatkan hasil siasatan terbaik bagi memastikan pembunuh tidak terlepas.

“Kita akan menyiasat sehingga ke akar umbi,” katanya selepas menghadiri Majlis Sambutan Aidilfitri Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPKKL) di sini, semalam.

Beliau berkata, satu pertemuan akan diadakan antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Peguam Negara sebelum akhir minggu ini bagi menilai dan meneliti semua bukti yang dikumpul polis setakat ini. 
Dalam pertemuan itu, kertas siasatan akan dikemaskini bagi memastikan kelancaran proses pendakwaan di mahkamah.

Mohd Bakri berkata, pertemuan itu juga bagi mengenal pasti kelemahan dan kekurangan dalam proses siasatan dan bahan bukti.

“Dalam pertemuan itu, kita juga boleh menerima arahan baru daripada mereka (Jabatan Peguam Negara) jika ada yang masih belum mencukupi, terutama dalam memperkukuhkan bukti pendakwaan,” katanya.

Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail pula ketika ditanya jika beliau boleh meyakinkan orang ramai bahawa akan ada satu keputusan pada akhir siasatan kes itu berkata: “Setahu saya, dalam semua siasatan, sesuatu akan berlaku, iaitu sama ada kami dakwa atau tidak. Itu adalah sesuatu yang pasti.” 

Mengulas kertas siasatan awal yang dikembalikan kepada polis, beliau berkata, tidak ada tarikh akhir untuk penghantaran semula.

“Saya perlu menunggu mereka menghantarnya (kertas siasatan). Biar mereka siasat secara terperinci kerana ia membabitkan kepentingan awam. Banyak perkara yang perlu disiasat. Saya tidak boleh memberikan tarikh akhir kepada mereka, tetapi saya tahu mereka sedang bertungkus-lumus,” katanya.

Mengenai apa yang perlu disiasat semula, beliau berkata: “Banyak, tetapi saya tidak boleh memberitahu anda mengenai kelemahannya,” katanya.

Sementara itu, di Banting polis masih meneruskan siasatan, termasuk mengumpul bukti walaupun sudah lebih dua minggu kematian Sosilawati dan tiga rakannya disahkan.

Bagaimanapun, tinjauan di lokasi Sosilawati dan individu lain dibunuh di Ladang Gadong dekat sini, mendapati tiada kawalan polis seperti kebiasaannya.

Malah, orang awam juga dilihat keluar masuk ke ladang itu untuk melihat dengan lebih dekat ladang milik suspek utama kes berkenaan.

Di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat, isteri ahli perniagaan dari India, S Usharani, 24, dilihat memasuki IPD itu bagi menyambung keterangannya.

Beliau tiba 9 pagi dengan ditemani pengawal peribadi menyambung keterangannya, iaitu hari keempat berturut-turut bagi membantu siasatan kes kehilangan suaminya, Muthuraja Allal Kathan, 34, yang hilang sejak Januari lalu. Dia keluar jam 6.45 petang. 

Lokasi baru diperiksa

Oleh Gaddafi Musli, Shanty Nur Shaffizan Shafee dan Hamizah Badiran

2010/09/29 

KUALA LUMPUR: Kertas siasatan kes pembunuhan kejam jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain akan dibincangkan dengan Peguam Negara dalam tempoh dua hingga tiga hari lagi.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Mohd Bakri Zinin berkata, polis kini dalam proses menyiapkan siasatan berdasarkan arahan terbaru Jabatan Peguam Negara untuk memantapkan kertas siasatan kes berkenaan.

“Kami akan berbincang dengan pihak Peguam Negara sekiranya ada perkara lain yang perlu disiasat lagi bagi memastikan kertas siasatan berkenaan benar-benar lengkap sepenuhnya,” katanya semalam.

Sambil menyifatkan perkembangan siasatan kes berkenaan sebagai ‘positif’, Mohd Bakri menjelaskan beberapa lokasi baru di sekitar Banting turut diperiksa kerana dipercayai menjadi lokasi suspek membuang mayat mangsa lain.

Bagaimanapun, beliau tidak memaklumkan lokasi baru berkenaan dan meminta media memberi ruang dan masa kepada polis menjalankan siasatan menyeluruh.

Katanya, polis masih menunggu keputusan ujian DNA yang akan disertakan dalam kertas siasatan berkenaan sebelum diserahkan kepada Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya.

“Keputusan lengkap ujian DNA diketahui sebaik semua spesimen dan bukti di lokasi kejadian dianalisis makmal forensik,” katanya ketika ditemui di Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Polis Kontinjen Kuala Lumpur di Ibu Pejabat Kontinjen, di sini, semalam.

Sosilawati, 47, bersama pemandu peribadinya, Kamaruddin Shamsuddin, 44, pegawai Bank CIMB, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam, Ahmad Kamil Abd. Karim, 32, dilaporkan hilang sejak 30 Ogos lalu selepas ke Banting untuk urusan pembelian tanah.

Polis pada 13 September lalu mengesahkan empat daripada lapan suspek ditahan mengaku memukul keempat-empat mangsa sehingga mati, membakar mayat mereka sebelum abunya dibuang ke dalam sungai berdekatan Ladang Gadong di Banting, Selangor.

Dokumen penting diambil dari pejabat guaman suspek

BANTING: Empat pegawai penyiasat polis dan lima kakitangan suspek utama pembunuhan Datuk Sosilawati Lawiya, 47, dan tiga individu lain dilihat sekali lagi memasuki pejabat suspek yang terletak berhadapan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat, di sini, semalam.
Pegawai penyiasat dan yang lain tiba di pejabat suspek yang juga seorang peguam itu pada kira-kira jam 11.15 pagi dan keluar sejam kemudian sebelum beredar meninggalkan kawasan pejabat pada jam 12.50 tengah hari.


SIASAT LANJUT...dokumen penting dibawa keluar dari pejabat suspek utama, semalam.

Mereka dilihat keluar sambil membawa beberapa keping fail dipercayai dokumen penting bagi membantu siasatan pembunuhan itu.

Bagaimanapun, tiada kelibat suspek utama mahupun yang lain dilihat bersama mereka.

Sementara itu, isteri mendiang ahli perniagaan dari India yang dilaporkan turut menjadi mangsa pembunuhan suspek utama sekali lagi ke IPD Kuala Langat.

S Usharani, 24, masuk ke IPD kira-kira pada jam 9 pagi dan keluar pada sebelah malam.

Difahamkan, beliau diminta menyambung keterangannya dan mendengar kembali rakaman telefon antara mendiang suaminya, Allal Kanthan Muthuraja, 34, dengan suspek utama sebelum pulang ke Ramapuram, India, hari ini.

Kelmarin, beliau turut ke IPD bersama Ahli Parlimen Kapar, S Manikavasagam untuk memberi keterangan berhubung kes kehilangan suaminya kepada pasukan risikan.

Selain itu, tiada pasukan forensik dilihat masuk ke lokasi pembunuhan di Ladang Gadong, Tanjung Sepat, di sini kecuali anggota polis bertugas saja yang mengawal laluan keluar masuk ladang.

Bagaimanapun, buat pertama kalinya media dapat melihat dengan jelas lokasi dan lubang yang menjadi kubur bagi beberapa mangsa pembunuhan suspek utama.

Di dalam kawasan ladang yang bertembok batu itu jelas kelihatan dua khemah besar yang digunakan pasukan forensik untuk menjalankan siasatan bagi mencari bukti berhubung beberapa kes pembunuhan yang dilaporkan berlaku di kawasan itu termasuk pembunuhan Sosilawati dan tiga individu lain.

Peguam tak tahu bila pelanggan didakwa

KUALA LUMPUR: Peguam Ravi Nekoo (gambar) yang mewakili peguam adik-beradik yang ditahan berhubung pembunuhan kejam jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain mendakwa tidak tahu bila anak guamnya itu serta enam lagi suspek didakwa.
“Perintah tahanan reman mereka berakhir Sabtu ini. Jadi saya rasa mereka mungkin didakwa Jumaat atau polis mungkin memutuskan memohon tempoh tahanan dilanjutkan kepada majistret,” katanya.

Menurutnya, dia akan menulis kepada pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Asisten Komisioner Omar Mammah bagi membolehkan pihaknya mempunyai akses kepada anak guamnya berusia 41 dan 38 tahun itu.

“Setakat ini, hanya sekali polis memberikan akses kepada kami dan isteri suspek bertemu mereka. Bagaimanapun, kami mahu bertemu dengan mereka tanpa kehadiran pegawai polis,” katanya.

Beliau berkata, berdasarkan undang-undang, peruntukan Seksyen 28A(5) Kanun Prosedur Jenayah membenarkan peguam mempunyai akses kepada pelanggannya dalam penglihatan pegawai polis, tapi bukan pendengaran.

“Dalam kata lain, mereka (polis) boleh menyaksikan perbualan kami, namun mereka tidak boleh mengikutinya. Kami perlukan privasi sepenuhnya dalam perkara ini dinafikan sejak kunjungan pertama lagi,” katanya.

Beliau berkata, polis mengguna pakai Seksyen 28A(8) Kanun Prosedur Jenayah yang menyatakan peguam mungkin mengganggu bukti atau mereka bimbang suspek melarikan diri.

“Mereka mempunyai lebih daripada 14 hari mengumpul bukti daripada suspek, maka kini berikan akses untuk kami bertemu dengan pelanggan kami,” katanya yang meminta polis membenarkan enam lagi suspek dalam kes itu diberikan peluang bertemu peguam mereka.

Ravi berkata, pada masa ini, hanya beliau dan isterinya, Pushpa Ratnam berada dalam pasukan pembelaan bagi kes itu, manakala seorang lagi peguam, D P Vijandran belum memutuskan sama ada menyertai mereka atau tidak.

Sebelum ini, peguam terbabit membuat laporan polis mendakwa anak guamnya didera mental dan fizikal oleh anggota polis.


'Biarlah kami buat kerja kami'

PUTRAJAYA: Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail melahirkan kebimbangan berhubung kemungkinan siasatan kes pembunuhan jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain, akan diperbesar-besarkan.
Beliau berkata, terdapat banyak kenyataan dibuat pelbagai pihak dalam kes itu dan media sepatutnya melaporkan hanya fakta tanpa sebarang penambahan kerana ia mungkin menjejaskan kes berkenaan.

“Saya fikir ikut sahaja nasihat KPN (Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar). Bertenanglah dan biarkan kami lakukan tugas kami.

“Saya rasa pada masa yang betul dan apabila siasatan selesai, mereka akan memberi satu kenyataan yang wajar serta mendedahkan segalanya. Ketika itu, tiada sebarang masalah,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis sambutan hari raya anjuran Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini, semalam.

Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz dan Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Abu Kassim Mohamed. Abdul Gani ditanya sama ada beliau melihat campur tangan pelbagai pihak yang tampil membuat kenyataan berhubung kes itu, termasuk keluarga ahli perniagaan India, akan menjejaskan siasatan kes pembunuhan itu.

Ahad lalu, Ismail mengingatkan media agar tidak menulis cerita berunsur spekulasi berhubung kes itu, sebaliknya menunggu pengesahan daripada polis.

Peringatan itu dibuat berikutan laporan media bahawa dua kubur ditemui di ladang tempat Sosilawati dan tiga yang lain didakwa dibunuh.

Ditanya jika Jabatan Peguam Negara boleh meyakinkan orang ramai akan ada satu keputusan di akhir siasatan kes berkenaan, Abdul Gani berkata: “Setahu saya, dalam semua siasatan, sesuatu akan berlaku iaitu sama ada kami dakwa atau tidak. Itu adalah sesuatu yang pasti,” katanya.

Mengulas mengenai kertas siasatan kes berkenaan yang dikembalikan kepada polis, beliau berkata tidak ada tarikh akhir untuk penghantarannya.

“Saya perlu menunggu mereka menghantarnya (kertas siasatan). Biar mereka siasat kes berkenaan secara terperinci kerana ia membabitkan kepentingan awam.

“Terdapat banyak perkara yang perlu disiasat. Saya tidak boleh memberikan tarikh akhir kepada mereka, tetapi saya tahu mereka sedang bertungkus-lumus.

“Dan mereka akan memberikannya kepada saya secepat mungkin. Malah, saya bertemu dengan mereka hampir setiap hari,” katanya.

Mengenai kawasan yang perlu disiasat semula, beliau berkata: “Banyak, tetapi saya tidak boleh memberitahu anda mengenai kelemahannya,” katanya. - Bernama

Selasa, 28 September 2010

Kes penjualan tanah mangsa masih disiasat

KUALA LUMPUR: Siasatan polis berhubung kes penjualan sebidang tanah di Bukit Jambul, Pulau Pinang oleh jutawan kosmetik, Sosilawati Lawiya, 47, masih lagi dilakukan bagi mengumpul bukti lengkap berhubung motif sebenar pembunuhan mangsa bersama tiga rakan yang lain.
Timbalan Pengarah I (Risikan/Siasatan) Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman, Datuk Nooryah Md Anvar berkata, kes membabitkan jutawan dan suspek utama iaitu peguam berasal dari Banting, Selangor, terbabit masih dijalankan bersama 290 kes penipuan membabitkan 35 peguam lain.

“Polis masih meneliti kes penipuan oleh peguam (suspek utama) berkenaan dan saya tidak boleh ulas banyak berhubung kes terbabit. Saya akan maklum perkembangan berhubung siasatan itu kelak,” katanya.

Difahamkan, pembunuhan Sosilawati dan tiga yang lain berkait rapat dengan wang hasil jualan sebidang tanah bernilai RM29 juta di Bukit Jambul, Pulau Pinang yang cuba dijual Sosilawati bersama dua lagi rakan kongsi.

Pembelian dan penjualan tanah itu dikendalikan sepenuhnya suspek utama, selaku peguam dan bertindak sebagai broker, berikutan pengalaman luasnya sebagai pengamal undang-undang terutama dalam urusan berkaitan jual beli tanah.

'Jangan buat andaian'

ALOR SETAR: “Selagi pihak polis tidak mengesahkan tulang itu milik suami, saya tidak mahu mana-mana pihak membuat andaian sendiri sehingga mengganggu emosi kami terutama anak-anak,” kata Samsonnahar Mohd Dali, 35, isteri kepada ejen kontraktor, Shafik Abdullah, 37, yang dipercayai menjadi mangsa bunuh, suspek utama dalam kes pembunuhan kejam Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain.
Beliau berkata, dia kesal dengan laporan sebuah akhbar tempatan kelmarin (bukan terbitan kumpulan NSTP) yang membuat andaian sendiri dengan mengatakan tulang yang ditemui di ladang Gandong, Tanjung Sepat, Banting disyaki milik Shafik.

“Mereka lebih tahu daripada pihak berkuasa...apa-apa pun kita kena tunggu keputusan DNA. Selagi pihak polis tidak mengesahkan tulang itu milik suami saya, saya tidak mahu mana-mana pihak membuat andaian sendiri.

“Kami sekeluarga masih terkejut dengan kejadian ini, terutama anak-anak saya yang masih kecil. Mereka sering bertanya kepada saya ke mana ayah pergi dan sampai sekarang tidak pulang ke rumah,” katanya.

Samsonnahar berkata, setakat ini dia belum dihubungi polis mengenai sebarang perkembangan terbaru mengenai Shafik.

“Setiap hari pelbagai pihak terutama wartawan menghubungi saya untuk mendapatkan berita terkini mengenai suami. Saya sendiri pun masih ternanti-nanti panggilan daripada polis untuk mengetahui perkembangan suami,” katanya.

Akhbar sebelum ini melaporkan wanita terbabit dihubungi polis dari Balai Polis Banting yang 95 peratus mengesahkan suaminya menjadi antara mangsa suspek kes pembunuhan itu.

“Saya bersedia menerima sebarang keputusan dan reda dengan apa yang berlaku terhadap suami kerana semuanya itu ketentuan Ilahi.

“Sejak kehilangannya, saya banyak melakukan solat tahajud dan hajat supaya diberi kesabaran menghadapi dugaan ini. Alhamdulillah selepas lima bulan kehilangannya, saya dapat menerimanya walaupun tidak tahu di mana kubur dan jasadnya,” katanya.


4 suspek kes bunuh dibawa semula ke lokasi



Kenderaan membawa suspek kes pembunuhan Datuk Sosilawati keluar dari tempat pembunuhan di Ladang Gadong, Kuala Langat, semalam. - utusan/Saharuddin Abdullah
KUALA LANGAT 27 Sept. - Polis hari ini membawa semula empat suspek kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain ke Ladang Gadong di sini, untuk mencari bukti-bukti lanjut berhubung penemuan sejumlah tulang manusia, semalam.
Mereka yang menaiki sebuah van polis, dilihat memasuki ladang tersebut bersama empat kenderaan polis forensik dan sebuah kereta pegawai penyiasat, pukul 11 pagi.
Rombongan berkenaan hanya dilihat keluar dan beredar dari situ pada pukul 3.30 petang.
Keempat-empat suspek lelaki terbabit yang berpakaian baju lokap berwarna jingga, menutup muka mereka ketika jurukamera dan jurugambar merakam ketibaan mereka.
Kelibat jentolak yang semalam ditugaskan untuk menggali tempat disyaki dua lagi mangsa didakwa ditanam termasuk ahli perniagaan, Mohd. Shafik Abdullah, 37, bagaimanapun tidak kelihatan hari ini.
Sementara itu, isteri kepada hartawan India, Allal Kathan Muthuraja, yang dipercayai turut menjadi mangsa bunuh suspek kes jutawan kosmetik, Sosilawati Lawiya dan tiga lagi, hari ini hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat di sini bagi membantu siasatan kes suaminya itu.
Wanita tersebut, S.Usharani,24, yang dipanggil polis untuk memberi keterangan dilihat tiba ke IPD itu pada pukul 1.45 petang ditemani Ahli Parlimen Kapar, S. Manikavasagam dan dua lelaki.
Keterangan itu sepatutnya diambil semalam namun ditangguh ke hari ini untuk memberi laluan kepada pegawai penyiasat mendapatkan perintahan tahanan reman terhadap tiga suspek.
Pada Jumaat lalu, dia menyerahkan telefon bimbit menyimpan rakaman perbualan antara dia dan suspek utama pembunuhan yang diyakini boleh menjadi bukti penting, di IPD yang sama.
Semalam, polis dipercayai menemui petunjuk baru dalam kes kehilangan ahli perniagaan dari Sungai Petani, Kedah, April lalu, apabila menemui sejumlah tulang manusia di ladang milik suspek utama.
Kerja-kerja menggali dijalankan selama lapan jam dengan dibantu jentera Bomba dan Penyelamat.
Menurut sumber, polis menemui tulang-tulang berkenaan di kedua-dua lokasi dikenal pasti iaitu berhampiran kuarters pekerja di belakang kawasan ladang manakala satu lagi dipercayai ditemui beberapa meter di luar ladang tersebut.
Sosilawati, 47, bersama pemandu peribadinya, Kamarudin Shamsudin, 44; pegawai Bank CIMB, Noorhisham Mohammad, 38 dan peguam peribadi, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dilaporkan hilang sejak 30 Ogos lalu selepas dikatakan ke Banting, di sini untuk urusan pembelian tanah.
Berikutan kehilangan keempat-empat individu itu, polis menahan lapan suspek untuk membantu siasatan kes berkenaan pada 9 dan 10 September lalu.