2010/09/27
ALOR SETAR: “Apabila ramai yang menziarahi kami di rumah, saya seperti bermimpi dan tak percaya semua ini berlaku. Namun kenyataannya ia sudah berlaku dan saya perlu kuat untuk menerimanya,” kata Samsonnahar Mohd Dali, 35, isteri kepada seorang kontraktor, Mohd Shafik Abdullah, 37, yang dipercayai menjadi mangsa bunuh peguam yang kini suspek utama kes pembunuhan kejam Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain.
Samsonnahar berkata, peristiwa itu ujian paling besar dalam hidupnya dan dia perlu kuat menghadapinya terutama demi anak yang masih kecil.
Suri rumah sepenuh masa itu berkata, tiga anaknya berusia 13 hingga 5 tahun itu walaupun masih keliru dengan ‘kehilangan’ bapa mereka tetapi sudah boleh menerima kenyataan meskipun masih sukar mempercayainya.
“Cuma anak bongsu lelaki masih tidak faham. Dia bertanyakan kepada saya apa itu meninggal dunia dan saya katakan bahawa bapanya tidak akan pulang lagi.
“Hati saya meruntun apabila hampir setiap malam dia berdoa semoga bapanya pulang segera ke rumah dan kadang-kadang berdoa supaya bapanya ditempatkan di syurga,” katanya ketika dihubungi di Pulau Pinang, semalam.
Menurutnya, setakat ini dia belum dihubungi polis mengenai sebarang perkembangan terbaru mengenai kes membabitkan suaminya.
Sebelum ini, wanita terbabit dihubungi anggota dari Balai Polis Banting yang 95 peratus mengesahkan suaminya adalah seorang daripada mangsa suspek kes pembunuhan itu.
“Saya bersedia menerima sebarang keputusan dan reda dengan kejadian menimpa suami kerana semua itu ketentuan Allah.
“Sejak kehilangannya, saya banyak melakukan solat Tahajud dan hajat supaya diberi kesabaran menghadapi dugaan ini dan alhamdulillah selepas lima bulan kehilangannya, saya dapat menerimanya walaupun tidak tahu di mana kubur dan jasadnya,” katanya.
Katanya, minggu lalu dia mengadakan tahlil di rumahnya di Taman Bunga Raya, Sungai Petani, serta di rumah ibu saudaranya di Sungai Pinang, Pulau Pinang, semalam.
Mohd Shafiq dilaporkan keluar dari rumahnya di Sungai Petani pada 5 April lalu, kira-kira jam 5 pagi menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Honda Stream berwarna emas miliknya menuju ke Kuala Lumpur dipercayai berurusan dengan peguam terbabit.
Kali terakhir Samsonnahar bertemu suaminya pada 5 April lalu dan pada 7 April kira-kira jam 10.30 hingga 11 malam, suami ada menelefonnya memberitahu hanya akan pulang pada 9 April.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan