Jumaat, 1 Oktober 2010

Suara' minta tolong di Ladang Gadong

Oleh SHARILFUDDIN SAARI
pengarang@utusan.com.my


KUALA LUMPUR 30 Sept. - Ladang Gadong di Kuala Langat, Selangor yang menyimpan kisah tragis melibatkan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya bersama tiga individu lain, kini mula menerima gangguan suara misteri.

Beberapa anggota polis yang bertugas mengawal lokasi pembunuhan kejam itu mendakwa mendengar 'suara-suara' meminta tolong hampir setiap malam.

Ekoran itu, polis dikatakan terpaksa menambah bilangan anggota yang berkawal daripada dua kepada lima hingga enam orang mengikut syif setiap hari.

"Pada mulanya, hanya dua anggota bertugas namun bilangannya terpaksa ditambah kerana ada yang mengalami gangguan-gangguan ketika bertugas.

"Mereka diganggu 'suara-suara' itu yang sayup-sayup kedengaran meminta tolong," kata sumber sambil memberitahu salah seorang suspek kes itu juga mengakui 'didatangi' lembaga.

Menurutnya, 'suara-suara' itu biasanya muncul dari dalam ladang kelapa sawit terbabit di waktu tengah malam semasa anggota-anggota sedang berehat di pondok kecil yang dibina mereka tidak jauh dari tali air.

Katanya, anggota-anggota terbabit juga tidak dapat memastikan dari arah mana 'suara-suara' itu kerana keadaan ladang yang amat gelap selain ia hanya sayup-sayup kedengaran.

Katanya lagi, bagi langkah berjaga-jaga anggota tidak melakukan rondaan seorang diri sebaliknya dijalankan secara berkawan pada setiap jam.

Sementara itu, menurutnya, sebatang tali air di ladang tersebut dipercayai telah dijadikan oleh suspek-suspek sebagai tempat pembuangan tulang-tulang mangsa di dalam kes berkenaan.

Katanya, bagi mengumpul bahan-bahan bukti itu, sebuah jengkaut digunakan untuk membuat dua tambak di bahagian kiri dan kanan tali air tersebut.

"Sebuah jentera Bomba dan Penyelamat pula ditugaskan untuk menyedut air di dalam tali air itu. Setelah kering, barulah forensik menjalankan kerja-kerja mengumpul bukti seperti tulang.

"Ia bagaimanapun terpaksa mengambil masa kerana tulang-tulang yang bercampur dengan selut itu terpaksa dibersih satu persatu," ujarnya.

Kata sumber itu lagi, cabaran lain dihadapi anggota bertugas adalah kawasan tersebut mempunyai bilangan lalat yang luar biasa dipercayai ekoran kematian ternakan seperti kambing serta haiwan peliharaan, iaitu anjing.

"Kalau duduk sebentar sahaja, lalat akan memenuhi muka. Haiwan-haiwan itu mati kerana kini tidak lagi diberi makan sejak tuannya ditahan polis," ujarnya.

Sosilawati, 47, bersama pemandu peribadinya, Kamarudin Shamsudin, 44; pegawai Bank CIMB, Noorhisham Mohammad, 38 dan peguam peribadi, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dilaporkan hilang sejak 30 Ogos lalu selepas dikatakan ke Banting, di sini untuk urusan pembelian tanah.

Berikutan kehilangan keempat-empat individu itu, polis menahan lapan suspek untuk membantu siasatan kes berkenaan pada 9 dan 10 September lalu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan