BANTING: Lima suspek kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya,47, dan tiga yang lain, ditahan reman hingga 8 Oktober ini bagi membantu siasatan kes kematian seorang jutawan India, Allal Kanthan Muthuraja, 34.
Majistret Hurman Hussin mengeluarkan perintah itu kira-kira jam 10.30 pagi semalam selepas membenarkan permohonan polis menahan reman kelima-lima lelaki itu.Difahamkan, tangkapan baru terhadap lima suspek yang dibebaskan kelmarin selepas ditahan reman sebelum ini, membabitkan kes pembunuhan Sosilawati adalah berdasarkan kepada laporan polis dibuat dua adik lelaki jutawan India terbabit.
Kelima-lima mereka yang tiba di Mahkamah Majistret Telok Datok, di sini, kira-kira jam 9.30 pagi semalam, dikawal ketat anggota polis, sebelum dibawa ke Kuala Lumpur selepas perintah reman bermula semalam, diperolehi.
Pada 22 September lalu, media melaporkan kehilangan Allal Kanthan yang menjalankan perniagaan batu permata di Chennai, India selepas berurusan dengan suspek utama kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya serta tiga individu lain.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan