SEPANG: Polis hari ini mendapat perintah mahkamah untuk melanjutkan sehingga 7 Oktober tempoh reman tiga suspek berhubung kes kehilangan hartawan warga India A Muthuraja di Malaysia.
Perintah reman ke atas ketiga-tiga suspek, dua daripadanya peguam adik-beradik, dikeluarkan oleh Majistret Hurman Hussain di Balai Polis Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) di sini.Seorang daripada suspek itu adalah suspek utama dalam kes pembunuhan jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu.
Ketiga-tiga suspek yang dibawa dengan kereta polis tiba di balai polis itu pada 9.30 pagi dan meninggalkan balai polis itu kira-kira sejam kemudian.
"Pihak polis telah meminta lanjutan selama tujuh hari tetapi pihak majistret hanya memberikan enam hari," kata peguam yang mewakili peguam dua beradik itu, Ravi Nekoo ketika ditemui di luar balai polis itu.
Semalam, Mahkamah Majistret Teluk Datok di Banting membenarkan tahanan reman terhadap lima lagi suspek dalam kes pembunuhan Sosilawati disambung sehingga 8 Oktober.
Ravi berkata, beliau turut membangkitkan isu kepada majistret bahawa beliau dan rakan peguam yang lain tidak dibenarkan berjumpa dengan anak guam mereka itu.
"Suspek utama juga memberitahu majistret yang dia tidak diberi peluang berjumpa dengan kami. Kami memandang isu ini dengan serius kerana akses untuk peguam adalah satu hak asasi yang telah dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan terutama di Artikel 5 Klausa 3," katanya.
Beliau berkata, walaupun barisan peguam pernah beberapa kali berkesempatan berjumpa dengan anak guamnya itu tetapi hanya dalam waktu yang amat singkat.
Katanya, beliau menulis surat kepada Ketua Polis Negara, timbalannya dan pegawai kanan lain berkaitan isu itu dan sehingga kini masih tidak mendapat sebarang balasan.
"Memandangkan mereka ditahan semenjak 11 September sehinggalah kini tanpa representasi undang-undang, kami rasa ia satu isu yang sungguh berat," katanya.
Ditanya mengapa reman hanya diberi selama enam hari, Ravi menyatakan majistret merasakan ia mencukupi berdasarkan dokumen yang diberikan oleh pihak polis.
Ini adalah kali kedua tempoh reman dilanjutkan bagi suspek utama dan adiknya dan kali keempat untuk suspek lain kes berkaitan kematian Sosilawati.
Muthuraja, 34, dilaporkan hilang selepas dipercayai dijemput dua peguam rakyat tempatan di KLIA, sejurus tiba di Malaysia pada 18 Januari lalu.
Isteri Muthuraja, S Usharani, 24, membuat laporan mengenai kehilangan suaminya di Balai Polis Banting pada 8 Sept lepas dan memberi keterangan berhubung perkara itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat sejak beberapa hari lalu.
Sosilawati, 47, pemandu peribadinya Kamarudin Shansuddin, 44, pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam peribadi Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dilapor hilang sejak 30 Ogos lalu selepas dikatakan ke Banting untuk urusan pembelian tanah.
Keempat-empat mangsa kemudian disahkan polis dipukul sampai mati sebelum mayat mereka dibakar dan abunya dibuang ke dalam sungai berdekatan Ladang Gadong, Tanjung Sepat.-Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan