Waris pertikai cara kendali kes
2010/09/28
DR A KASI (kanan) bersama adiknya datang ke Kedutaan Besar India di Jalan Duta untuk membuat aduan rasmi.
Adiknya, Dr A Kasi Viswanathan, 32, yang tiba di ibu negara empat hari lalu mendakwa keluarganya tidak pernah dimaklumkan secara rasmi mengenai perkembangan kes abangnya itu, malah tidak pernah dipanggil untuk membantu siasatan, termasuk memberikan sampel DNA seperti dilaporkan media.
“Tujuan sebenar kami ke sini (Kedutaan India) untuk memfailkan aduan rasmi kepada Kerajaan Malaysia. Ini dibuat selepas mengambil kira pandangan banyak pihak, termasuk peguam berikutan banyak perkara dalam kes ini menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan anggota keluarga kami, terutama cara ia dikendalikan.
“Yang pasti, kami akan berada lebih lama di sini untuk mengikuti perkembangan kes dan mahu ia disiasat secara terperinci. Malah, kami sedia untuk be-kerjasama, termasuk menyalurkan maklumat berkaitan bagi membantu siasatan jika diperlukan,” katanya yang juga seorang ahli perniagaan di Russia.
Dr A Kasi turut ditemani isterinya, yang juga warga Russia; adik lelakinya, Vijay Subramaniam dan bekas Ahli Jawatankuasa Pusat (CWC) MIC, KP Samy ketika membuat aduan itu di Pejabat Kedutaan India di sini.
A Muthuraja, 34, yang memiliki perniagaan barang kemas, syarikat kewangan, restoran dan hartanah di Chennai, India dilaporkan hilang selepas tiba di Malaysia, 18 Januari lalu.
Mangsa kali terakhir menghubungi isterinya, S Usharani sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang memaklumkan dijemput dua beradik peguam dan dalam perjalanan ke Banting sebelum gagal dikesan sehingga kini.
Namun, laporan kehilangan ahli perniagaan itu hanya dibuat pada 8 September lalu selepas kes pembunuhan Sosilawati dan tiga individu terbongkar, menyebabkan polis mengklasifikasikan semula kes berkenaan sebagai bunuh, selepas mendapati ia ada kaitan dengan dua suspek terbabit.
Dr Kasi turut memaklumkan ibu bapa mereka sedia datang ke Malaysia untuk ujian DNA sekiranya diperlukan pihak berkuasa bagi membantu merungkai misteri kehilangan abangnya sejak lapan bulan lalu.
“Sampel DNA hanya boleh diambil daripada ibu bapa saya. Jika itu diperlukan, mereka akan ke negara ini segera. Apapun, kami kami sekeluarga berharap siasatan kes ini dibuat secara terperinci dan mereka yang bertanggungjawab dibawa ke muka pengadilan,” katanya.
Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar ketika dihubungi berkata, pihaknya tidak menerima sebarang maklumat daripada keluarga ahli perniagaan terbabit yang hilang itu.
“Saya tidak tahu menahu jika ada ahli keluarganya, iaitu dua adik lelakinya yang dikatakan sudah berada di negara ini. Jika betul, baguslah tetapi kita minta mereka berhubung dengan polis untuk membantu siasatan,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan