KUALA LUMPUR: Amaran keras diberikan kepada pihak tertentu supaya tidak menjadikan kes jenayah berprofil tinggi termasuk kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sopsilawati Lawiya sebagai bahan polemik bertujuan meraih sokongan politik termasuk mencetuskan rasa perkauman sempit.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, perbuatan itu akan menimbulkan masalah kepada polis apabila ia diambil peluang segelintir ahli politik untuk menonjolkan diri selain menuduh polis hanya memberi perhatian kepada kes jenayah berprofil tinggi semata-mata.Beliau turut merujuk isu sama terhadap kes membabitkan penahanan kartunis Zulkiflee Anwar Ulhaque atau Zunar selain kes penggubah muzik, Namewee yang dikecam kerana mencetuskan isu perkauman melalui klip video yang turut disiasat polis.
“Kes ini menunjukkan pembabitan semua jenis kaum dan ia tidak seharusnya mencetuskan isu perkauman terhadap mana-mana, pihak tertentu semata-mata “Dalam kes ini, tiada bangsa atau agama tertentu yang memonopoli sesuatu jenayah. Semua bangsa turut terbabit dan disiasat polis...oleh itu beri kami masa dan ruang kepada polis untuk menyiasat semua kes berkenaan secara adil,” katanya selepas menghadiri majlis mesra rakyat sempena sambutan Aidilfitri anjuran kementerian itu di Pusat Latihan Polis (Pulapol), petang semalam.
“Dalam kes berprofil tinggi ini juga, kita cepat dalam tindakan, kita lakukannya secara profesional seperti yang rakyat mahu dan kita mahu ia disiasat tanpa rasa takut dan pilih kasih, secara efisien, profesional dana adil,” katanya. Beliau berkata, kadang kala siasatan kes berprofil tinggi membabitkan pelbagai agensi iaitu kesalahan berkaitan teknologi maklumat seperti paparan di You Tube adalah di bawah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan memerlukan nasihat teknikal.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan