Selasa, 28 September 2010

4 suspek kes bunuh dibawa semula ke lokasi



Kenderaan membawa suspek kes pembunuhan Datuk Sosilawati keluar dari tempat pembunuhan di Ladang Gadong, Kuala Langat, semalam. - utusan/Saharuddin Abdullah
KUALA LANGAT 27 Sept. - Polis hari ini membawa semula empat suspek kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain ke Ladang Gadong di sini, untuk mencari bukti-bukti lanjut berhubung penemuan sejumlah tulang manusia, semalam.
Mereka yang menaiki sebuah van polis, dilihat memasuki ladang tersebut bersama empat kenderaan polis forensik dan sebuah kereta pegawai penyiasat, pukul 11 pagi.
Rombongan berkenaan hanya dilihat keluar dan beredar dari situ pada pukul 3.30 petang.
Keempat-empat suspek lelaki terbabit yang berpakaian baju lokap berwarna jingga, menutup muka mereka ketika jurukamera dan jurugambar merakam ketibaan mereka.
Kelibat jentolak yang semalam ditugaskan untuk menggali tempat disyaki dua lagi mangsa didakwa ditanam termasuk ahli perniagaan, Mohd. Shafik Abdullah, 37, bagaimanapun tidak kelihatan hari ini.
Sementara itu, isteri kepada hartawan India, Allal Kathan Muthuraja, yang dipercayai turut menjadi mangsa bunuh suspek kes jutawan kosmetik, Sosilawati Lawiya dan tiga lagi, hari ini hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat di sini bagi membantu siasatan kes suaminya itu.
Wanita tersebut, S.Usharani,24, yang dipanggil polis untuk memberi keterangan dilihat tiba ke IPD itu pada pukul 1.45 petang ditemani Ahli Parlimen Kapar, S. Manikavasagam dan dua lelaki.
Keterangan itu sepatutnya diambil semalam namun ditangguh ke hari ini untuk memberi laluan kepada pegawai penyiasat mendapatkan perintahan tahanan reman terhadap tiga suspek.
Pada Jumaat lalu, dia menyerahkan telefon bimbit menyimpan rakaman perbualan antara dia dan suspek utama pembunuhan yang diyakini boleh menjadi bukti penting, di IPD yang sama.
Semalam, polis dipercayai menemui petunjuk baru dalam kes kehilangan ahli perniagaan dari Sungai Petani, Kedah, April lalu, apabila menemui sejumlah tulang manusia di ladang milik suspek utama.
Kerja-kerja menggali dijalankan selama lapan jam dengan dibantu jentera Bomba dan Penyelamat.
Menurut sumber, polis menemui tulang-tulang berkenaan di kedua-dua lokasi dikenal pasti iaitu berhampiran kuarters pekerja di belakang kawasan ladang manakala satu lagi dipercayai ditemui beberapa meter di luar ladang tersebut.
Sosilawati, 47, bersama pemandu peribadinya, Kamarudin Shamsudin, 44; pegawai Bank CIMB, Noorhisham Mohammad, 38 dan peguam peribadi, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dilaporkan hilang sejak 30 Ogos lalu selepas dikatakan ke Banting, di sini untuk urusan pembelian tanah.
Berikutan kehilangan keempat-empat individu itu, polis menahan lapan suspek untuk membantu siasatan kes berkenaan pada 9 dan 10 September lalu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan