Selasa, 28 September 2010

Usharani hadir semula beri keterangan

BANTING: Isteri mendiang ahli perniagaan dari India yang dilaporkan menjadi mangsa pembunuhan suspek utama kes Datuk Sosilawati Lawiya, 47, hadir semula di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat untuk memberi keterangan berhubung kes kehilangan suaminya, Allal Kanthan Muthuraja, 34, kepada pasukan risikan, semalam.
S Usharani, 24, dilihat memasuki pekarangan IPD jam 1.45 petang, ditemani Ahli Parlimen Kapar, S Manikavasagam sebelum keluar tiga jam kemudian.

Bagaimanapun, tiada kelibat ahli keluarga Usharani yang didakwa sesetengah pihak dilihat berada bersama mereka.

Manikavasagam yang ditemui berkata, Usharani diminta hadir semula bagi memberi keterangan lanjut kepada polis dari unit risikan berikutan tidak dapat berbuat demikian kelmarin.

“Hari ini dia memberi keterangan penuh dan lengkap sebelum berangkat pulang ke Ramapuram, India, esok.

“Dia juga ke kuil di Jalan Pudu, Kuala Lumpur pada hari ini untuk sembahyang hajat mendoakan kesejahteraan suaminya dan tak putus berharap bahawa suaminya masih lagi hidup,” katanya.

Menurutnya, Usharani mahukan keadilan dan suspek yang melakukan pembunuhan itu menerima hukuman paling setimpal.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan