Isnin, 27 September 2010

Suspek utama dakwa didera mental, fizikal dalam tahanan

2010/09/27



PETALING JAYA: Suspek utama kes pembunuhan Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain mendakwa dia diseksa mental dan fizikal ketika dalam tahanan reman sejak hari pertama ditahan pada 11 September lalu.
Dalam laporan polis dibuat kira-kira jam 5 petang semalam di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, peguam suspek, Ravi Nekoo dan Pushpa Ratnam berkata, anak guamnya itu mendakwa didera anggota polis yang mengendalikan soal siasat kes berkenaan dengan pelbagai bentuk penderaan. Menurutnya, anak guamannya yang hadir sendiri membuat laporan itu mendakwa dipukul menggunakan getah paip, digari di jeriji lokap dengan tangan melepasi kepala dan belakang badan menyandar di pintu besi berkenaan serta lebih teruk kemaluannya turut dihentak dengan batang kayu memaksa dia mengaku terbabit dalam pembunuhan jutawan kosmetik itu.
“Selain itu, dia mengadu diludah di mata oleh seorang anggota polis yang tiada kaitan langsung dengan kes berkenaan dan selepas itu diarah membuat ketuk ketampi kira-kira 60 kali sebelum dia jatuh pengsan.

“Beberapa anggota polis dari Bukit Aman turut bertindak menampar dan menumbuknya ketika soal siasat hingga menyebabkan satu daripada gigi depannya longgar selain bahagian belakang badannya mengalami kesakitan. “Anak guam saya juga mengadu diugut polis bahawa isterinya akan ditahan dan menerima ‘layanan’ yang sama jika dia enggan membuat pengakuan seperti apa yang dikehendaki polis,” katanya ketika ditemui selepas menemani anak guamnya membuat laporan.

Katanya, laporan itu dibuat selepas dinasihatkan pihak Mahkamah Majistret Sepang supaya membuat laporan berhubung dakwaan berkenaan sebelum membuat sebarang kenyataan mengenainya.

“Laporan dibuat di IPD ini kerana anak guam ditempatkan dalam lokap di sini untuk seketika hari ini (semalam), tiada sebarang keterangan diambil dan polis maklumkan dia akan dibawa ke hospital untuk menjalani pemeriksaan kesihatan, namun bila dan di mana tidak diberitahu,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan