BANTING: Selepas beberapa hari memberi keterangan kepada pegawai penyiasat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat, S Usharani, 24, isteri kepada saudagar permata warga India selesai memberi keterangan dan dijangka pulang ke negaranya hari ini.
Usharani memberi keterangan berhubung kehilangan suaminya, Allal Kathan Muturaja, 34, yang dipercayai ada kaitan dengan suspek utama pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga rakannya.
Dia yang ditemui di sebuah hotel tempatnya menginap di sini berharap Polis Diraja Malaysia (PDRM) dapat menyelesaikan kes itu secepat mungkin.
“Saya dilayan dengan baik oleh polis di sini dan mereka juga beri kerjasama yang baik sepanjang proses siasatan dan saya amat berpuas hati.
“Saya percaya polis Malaysia dapat menyelesaikan kes ini secepat mungkin,” katanya di sini, semalam.
Usharani berkata, dia akan pulang ke Chennai, India kira-kira jam 9.30 pagi dan tiket penerbangan sudah dibeli. Terdahulu Usharani tiba di pekarangan IPD kira-kira jam 11.30 pagi dan keluar kira-kira dua jam kemudian dipercayai selepas selesai menandatangani beberapa dokumen berkait rapat dengan pengakuan keterangan dibuat kepada pihak berkuasa sebelum ini.
Usharani tiba ke negara ini pada 22 September lalu dan mula memberikan keterangan kepada polis mengenai kes kehilangan suaminya bermula pada 26 September lalu. Selain Usharani, turut dipanggil bagi membantu siasatan kes itu ialah adik kepada Allal Kathan, Dr Kasi Viswanathan yang memberikan keterangan kepada polis kira-kira jam 12 tengah hari kelmarin. Pada 22 September lalu, media melaporkan kehilangan Allal Kathan yang menjalankan perniagaan batu permata di Chennai, India selepas berurusan dengan suspek utama kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya serta tiga individu lain di Banting, di sini.
Siasatan kes kehilangan Allal Khatan itu dilakukan selepas satu laporan dibuat oleh Usharani ekoran kehilangan suaminya pada 8 September lalu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan