Isnin, 27 September 2010

3 suspek direman enam hari lagi


2010/09/27

USHARANI bersama pengawal peribadi keluar dari Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat, semalam, selepas memberi keterangan dalam siasatan kehilangan suaminya.
USHARANI bersama pengawal peribadi keluar dari Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat, semalam, selepas memberi keterangan dalam siasatan kehilangan suaminya.
Penahanan bantu siasatan kes jutawan India hilang 

SEPANG: Dua peguam adik beradik dan seorang rakan mereka yang menjadi suspek kes bunuh Datuk Sosilawati Lawiya, ditahan reman enam hari lagi bagi membantu siasatan kes kehilangan seorang jutawan India, Muthuraja Allal Kathan.

Majistret Hurman Hussain membenarkan ketiga-tiga suspek ditahan reman sehingga 1 Oktober ini.

Kedua-dua beradik itu ditemani empat peguam iaitu Ravi Nekoo, Datuk Ng See Teong, Pushpa Ratnam dan Amer Hamzah Arshad, manakala seorang lagi suspek tidak diwakili peguam. 

Ketiga-tiga suspek tiba di Mahkamah Majistret Sepang jam 9.30 pagi dengan menaiki tiga kereta Proton Waja dengan kawalan rapi polis. 

Dua beradik, memakai baju lokap berwarna ungu dan seorang lagi berbaju lokap warna jingga serta digari, dilihat meninggalkan mahkamah jam 11.30 pagi. 

Muthuraja, 34, dilaporkan hilang sejurus tiba di Malaysia untuk bertemu dua beradik itu pada 18 Januari lalu. Sebelum ini, mereka ditahan reman bagi membantu siasatan kes bunuh Sosilawati dan tiga rakannya. 
Sosilawati, 47, dipercayai dibunuh bersama pemandu peribadinya, Kamaruddin Shamsuddin, 44; perunding kewangan, Noorhisham Mohammad, 38 dan peguam, Ahmad Kamil Abd Karim, 32, di sebuah ladang persendirian di Banting pada 30 Ogos lalu. 

Khamis lalu, polis mengesahkan ahli perniagaan dari India itu turut dibunuh dan kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. 

Sementara itu, Ravi ketika ditemui pemberita, mengesahkan kedua-dua anak guamnya ditahan reman selama enam hari berkuat kuasa semalam. 

Beliau berkata, Hurman juga mengarahkan seorang anak guamnya membuat laporan polis berhubung dakwaan dia didera ketika berada dalam tahanan di sebuah lokap polis di Kuala Lumpur. 

“Majistret juga mengarahkan polis supaya anak guam saya itu dibenar mendapat rawatan perubatan bagi mengubati kecederaannya,” katanya. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan