2010/09/27
BANTING: Polis menemui petunjuk baru semalam dipercayai ada kaitan dengan kes kehilangan ahli perniagaan dari Sungai Petani, Kedah, Mohd Shafik Abdullah di ladang milik suspek utama kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya di Ladang Gadong, Tanjung Sepat, dekat sini.Sumber berkata, petunjuk itu bukan mayat manusia sebaliknya suatu ‘benda’ yang dapat membantu siasatan kes kehilangan ahli perniagaan itu.
Katanya, pihak polis berpuas hati dengan penemuan terbabit yang dapat membantu siasatan dalam operasi dijalankan selama lapan jam itu.
Beliau berkata, tiada mayat ditemui dalam operasi itu dan enggan mendedahkan ‘benda’ yang ditemui itu sama ada tulang manusia atau barangan peribadi milik mangsa.
“Saya tidak dapat mendedahkan apa yang ditemui tetapi polis berpuas hati dengan penemuan itu,” katanya ketika dihubungi semalam.
Difahamkan, ‘benda’ itu ditemui di lokasi yang dipercayai kubur mangsa dalam ladang terbabit.
Sumber berkata, jentera Jabatan Bomba dan Penyelamat yang memasuki ladang itu pagi semalam adalah untuk membekalkan air bagi operasi itu, manakala Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) yang turut memasuki ladang terbabit adalah untuk membaiki paip air bocor.
Dua kubur dipercayai ditemui di ladang berkenaan iaitu satu yang terletak kira-kira satu meter dari kawasan belakang ladang manakala satu lagi terletak berhampiran rumah pekerja dalam ladang itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan