Sabtu, 9 Oktober 2010

Bunuh Shafik: 3 ditahan semula

SHAFIK


KUALA LUMPUR – Polis menahan semula tiga individu termasuk dua beradik peguam yang sebelum ini ditahan untuk membantu siasatan kes pembunuhan Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga rakannya.
Penahanan kedua-dua lelaki itu termasuk peguam K. Patmanaban dibuat bagi membantu siasatan kes pembunuhan ahli perniagaan dari Kedah, Mohd. Shafik Abdullah dan seorang rakannya.
Timbalan Pengarah Risikan/Operasi Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Hadi Ho Abdullah berkata, pihaknya mengesahkan tangkapan semula tiga individu terbabit bagi membantu siasatan berhubung laporan kehilangan Shafik dan rakannya yang juga dipercayai telah dibunuh.
“Dua beradik peguam itu dan seorang lagi individu yang remannya dilanjutkan minggu lalu hari ini ditahan semula,” kata beliau di sini semalam.
Menurut beliau, buat masa ini permohonan reman terhadap tiga individu itu belum diketahui kerana ia bergantung kepada keperluan siasatan.
Hadi memberitahu, laporan mengenai kehilangan Shafik dan rakannya dibuat oleh keluarga ahli perniagaan itu di Balai Polis Petaling pada 13 April lalu.

Wanita dicari polis serah diri

Wanita dicari polis serah diri


2010/10/08



KAKITANGAN pejabat peguam suspek kes bunuh Sosilawati dan tiga individu lain  bersurai selepas mengeluarkan ratusan fail dari pejabat peguam berkenaan di Banting, semalam. Gambar kecil,   Jesyntha Clarene Isreal.
KAKITANGAN pejabat peguam suspek kes bunuh Sosilawati dan tiga individu lain bersurai selepas mengeluarkan ratusan fail dari pejabat peguam berkenaan di Banting, semalam. Gambar kecil, Jesyntha Clarene Isreal.
KUALA LUMPUR: Wanita yang dicari polis bagi membantu siasatan kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya serta tiga individu lain, ditahan selepas menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di sini, petang semalam. 

Jesyntha Clarene Isreal, 27, yang gambarnya disiarkan media untuk membantu siasatan polis hadir di IPD itu bersama peguamnya kira-kira jam 5 petang.
Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi kenyataan dalam laman sosial, Facebook berkata, Jesyntha hadir menyerah diri selepas gambarnya disiarkan oleh media cetak dan elektronik tiga hari lalu.
Sebelum ini, polis meminta bantuan orang ramai bagi mengesan wanita terbabit kerana dipercayai dapat membantu polis bagi merungkai kes bunuh dan bakar membabitkan jutawan kosmetik dan tiga individu lain. 

Sementara itu, sumber berkata, Jesyntha adalah teman wanita kepada salah seorang daripada suspek yang sedang ditahan berhubung kes bunuh jutawan kosmetik berkenaan bersama tiga individu lain. 

Beliau juga dipercayai mempunyai maklumat yang diperlukan pihak polis bagi melengkapkan siasatan kes bunuh sebelum kertas siasatan diserahkan kepada Peguam Negara untuk tindakan susulan. 

Katanya, sebelum ini polis sudah beberapa kali ke rumah Jesyntha di Jugra, Banting, tetapi wanita itu tiada di rumah. 
“Kita percaya wanita yang dikehendaki itu adalah teman wanita kepada seorang daripada suspek yang direman bersama dua lagi suspek utama iaitu peguam adik-beradik,” katanya. 

2 peguam, 3 individu ditangkap semula

2 peguam, 3 individu ditangkap semula
Oleh Suhana Roslan
suhanaroslan@bharian.com.my
2010/10/08

 PEKERJA memunggah ratusan fail    yang dikeluarkan dari pejabat peguam yang disiasat dalam kes pembunuhan Sosilawati,  di Jalan Alam Shah berhadapan IPD Kuala Langat, Banting, semalam.
PEKERJA memunggah ratusan fail yang dikeluarkan dari pejabat peguam yang disiasat dalam kes pembunuhan Sosilawati, di Jalan Alam Shah berhadapan IPD Kuala Langat, Banting, semalam.
Bantu siasatan kes kehilangan kontraktor dari Sungai Petani 

KUALA LUMPUR: Dua peguam adik beradik yang juga suspek utama dan seorang rakan mereka yang disiasat berhubung kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain ditangkap semula selepas dibebaskan apabila tempoh tahanan reman mereka selama tujuh hari tamat semalam.

Difahamkan, mereka ditangkap semula bagi membantu siasatan kes Shafik Abdullah, 37, seorang kontraktor dari Sungai Petani, Kedah bersama rakannya yang dilaporkan hilang oleh keluarga mereka sejak lima bulan lalu, selepas dipercayai menemui peguam berkenaan di satu lokasi di ibu negara atas urusan perniagaan.
Timbalan Pengarah Risikan/Operasi Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk Hadi Ho, berkata polis akan mendapatkan lanjutan perintah tahanan reman terhadap ketiga-tiga suspek bergantung kepada keperluan siasatan. 

Berdasarkan kenyataan media yang dikeluarkan Bukit Aman jam 11.45 pagi, semalam Hadi mengesahkan peguam terbabit, adiknya dan seorang lagi suspek ditangkap semula bersabit kes bunuh dua ahli perniagaan berkenaan. 

“Siasatan akan dilakukan secara terperinci berdasarkan laporan polis yang dibuat di Balai Polis Petaling, Kuala Lumpur pada 13 April lalu,” katanya. 

Sebelum ini ketiga-tiga suspek ditahan reman selama 14 hari bagi membantu siasatan kes pembunuhan Sosilawati bersama pemandunya, Kamaruddin Shansuddin, 44; peguam, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32 dan perunding kewangannya, Noorhisham Mohammad, 44. 
Sebaik tempoh reman terhadap mereka tamat pada 25 September lalu, mereka ditangkap semula di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat, Selangor bagi membantu siasatan kes bunuh ahli perniagaan India, Muthuraja Allal Kanthan yang dilaporkan hilang sejak Januari lalu dan dipercayai dibunuh. 

Shafik dan rakan baiknya itu dilaporkan hilang selepas menemui suspek utama kes pembunuhan Sosilawati, April lalu. 

Hadir serah diri bersama peguam

Oleh Shanty Nur Shaffizan Shafee dan Muhammad Apendy Issahak
am@hmetro.com.my
2010/10/08


KUALA LUMPUR: Selepas bersembunyi dan menjadi buruan polis sejak identitinya didedahkan Isnin lalu, wanita paling dikehendaki, Jesyntha Clarene Isreal yang dipercayai mampu menyelesaikan kes pembunuhan kejam Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain, ditahan polis sebaik menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, di sini, petang semalam.


ANGKAT...ratusan fail dari pejabat suspek utama diangkat masuk ke dalam lori, semalam.


Jesyntha, 27, yang alamat terakhirnya di Lot 55, Batu 1/2 Jalan Jugra, Banting, Selangor, sebelum ini gagal dikesan dan bersembunyi selepas menjadi buruan polis.

Difahamkan, dia yang juga isteri kedua kepada seorang daripada suspek kes pembunuhan kejam itu dikehendaki kerana dipercayai mempunyai maklumat mengenai perancangan dan kejadian pembunuhan berkenaan.

Jesyntha hadir menyerah diri bersama peguamnya kira-kira jam 5 petang dan polis menahannya bagi membantu siasatan berhubung kes pembunuhan jutawan kosmetik terbabit.

Pusat Media Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Bukit Aman, semalam, melalui laman web facebook rasmi PDRM memaparkan maklumat terkini mengenai penahanan terbabit, namun beberapa pegawai PDRM yang dihubungi untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenainya enggan memberi ulasan.

Difahamkan, polis akan mendapatkan perintah tahanan reman terhadap wanita terbabit hari ini.



Selasa lalu, wajah dan maklumat wanita itu tersebar kepada umum melalui media dan orang ramai diminta membantu polis untuk mengesannya.

Sementara itu, tiga suspek utama kes pembunuhan Sosilawati dan tiga rakannya ditahan semula semalam bagi membantu siasatan kes kehilangan dua ahli perniagaan yang dilaporkan hilang awal tahun ini.



Timbalan Pengarah Risikan/Operasi Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Hadi Ho Abdullah dalam kenyataan media yang dikeluarkan di sini berkata, tempoh tahanan reman peguam dan adiknya serta seorang lagi suspek bergantung keperluan siasatan.

Namun, dipercayai polis akan memohon lanjutan tempoh tahanan reman mereka bagi membantu kes kehilangan seorang kontraktor, Mohd Syafiq Abdullah, 37, yang dilapor hilang bersama rakan niaganya, April lalu.

Isteri Syafiq, Samson Nahar Mohamed Dali, 35 dilaporkan sudah membuat laporan mengenai kehilangan suaminya di IPD Kuala Muda, Sungai Petani.

Kes itu dipindahkan ke Balai Polis Petaling kerana suaminya dipercayai hilang di kawasan itu dan difahamkan, ketiga-tiga suspek kini ditahan di lokap balai polis berkenaan bagi membantu siasatan.

Sebelum ini, ketiga-tiga mereka direman hingga semalam berhubung kes kehilangan seorang ahli perniagaan warga India, A Muthuraja yang datang ke negara ini untuk membuka perniagaan.

Dalam perkembangan berkaitan, peguam suspek, Ravi Neeko berkata dia dihubungi seorang pegawai polis Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur bagi memaklumkan penahanan semula anak guamnya.

“Pagi tadi (semalam) saya dihubungi seorang pegawai polis dan memaklumkan anak guam saya akan ditahan semula dan mereka kini berada di dalam lokap di sebuah balai polis di Kuala Lumpur sehingga esok.

“Dijangka kedua-dua mereka (suspek utama dan adiknya) akan disambung reman esok atau lusa bersama enam yang lain,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Difahamkan, kedua-dua suspek kini di bawah siasatan IPK Kuala Lumpur dan bukan lagi IPK Selangor bagi membantu siasatan kes kehilangan Syafiq dan rakannya memandangkan soal siasat mengenai kes Sosilawati dan Muthuraja selesai.

Muthuraja, 34, dilapor hilang selepas dipercayai dijemput dua peguam rakyat tempatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebaik tiba di negara ini 18 Januari lalu.

Sebelum berita kehilangan Muthuraja dan Syafiq dilaporkan, negara digemparkan dengan pembunuhan kejam seorang jutawan kosmetik dan tiga yang lain dipercayai dilakukan tiga suspek berkenaan dan lima yang lain.

Sosilawati, 47, bersama pemandu peribadinya Kamaruddin Shamsuddin, 44, pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru, Kuala Lumpur, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam peribadi Ahmad Kamil Abd Karim, 32, dilaporkan hilang sejak 30 Ogos lalu selepas ke Banting untuk urusan pembelian tanah.

Khamis, 7 Oktober 2010

Jayanthy ragu status syarikat suami

Oleh MEGAT RAMLI MEGAT RAOF


JAYANTHY (kanan) bersama Manikavasagam berjalan masuk
ke pejabat JSJK Selangor untuk meminta nasihat semalam.


SHAH ALAM – S. Jayanthy, isteri ahli perniagaan S. Anpalagan yang dilaporkan hilang pada 4 Ogos 2009 hadir ke pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Selangor di sini semalam bagi meminta nasihat dan bantuan berkaitan dakwaan penyelewengan syarikat milik suaminya itu.
Jayanthy, 34, yang memakai baju berwarna merah jambu dan berseluar hitam hadir bersama Ahli Parlimen Kapar, S. Manikavasagam pada pukul 11.55 pagi sebelum keluar sejam kemudian.
Jayanthy berkata, dia diarahkan oleh polis Bukit Aman berbuat demikian selepas mendakwa terdapat pertukaran status syarikat milik Anpalagan, 43, iaitu Swiss Krishma Sdn. Bhd. kepada Beruntung Cattle Farm.
Menurutnya, beberapa penipuan juga dikesan termasuk jawatan pengarah syarikat terbabit yang didakwa telah ditukar tanpa sebarang notis pada Disember tahun lalu.
“Semakan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) juga mendapati beberapa perubahan berlaku dalam pegangan saham pada 24 Disember 2009,” kata beliau di sini semalam.

Kongsi maklumat mengenai hak milik syarikat suami

SHAH ALAM: S Jayanthi, 34, isteri kepada ahli perniagaan, S Anpalagan, 43, yang disyaki turut menjadi mangsa suspek utama pembunuhan Datuk Sosilawati Lawiya, 47, dan tiga yang lain hadir di pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK), di sini, semalam, bagi berkongsi maklumat dan berbincang lebih lanjut berhubung dakwaan penyelewengan syarikat milik suaminya yang hilang sejak Ogos tahun lalu.
Jayanthi, yang memakai baju berwarna merah jambu dan berseluar hitam dilihat memasuki pejabat JSJK pada jam 11.55 pagi sambil ditemani Ahli Parlimen Kapar, S Manikavasagam sebelum keluar 45 minit kemudian.

Manikavasagam ketika ditemui media, berkata tujuan Jayanthi datang ke pejabat JSJK itu untuk berkongsi maklumat dan berbincang mengenai penyelewengan yang dipercayai berlaku dalam syarikat milik suaminya.

Antara maklumat berkenaan adalah pertukaran hak milik syarikat dan jawatan pengarah urusan yang dilakukan oleh bekas pembantu peribadi suaminya tanpa makluman berasas.

Akibatnya, Jayanthi mendakwa tidak dibenarkan mencampuri urusan syarikat dan hilang kuasa sebagai pemilik selepas kehilangan suaminya.

“Hasil pemeriksaan keatas carian syarikat di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) kelmarin, kami mendapati Jayanthi masih mempunyai pegangan syer sebanyak 51 peratus seterusnya berhak ke atas syarikat milik suaminya itu sebagai pengarah syarikat.

“Pertukaran jawatan pengarah dan hak milik syarikat itu dipercayai dilakukan selepas empat bulan kehilangan Anpalagan iaitu pada bulan Disember tahun lalu oleh bekas pembantu peribadi suaminya,” katanya.

'Kami hanya mahu kepastian'

BATU PAHAT: “Kami tidak mahu mendesak polis menjalankan siasatan dan kami yakin dengan kebolehan polis, cuma kalau boleh bagilah kepastian secepat mungkin sama ada cebisan tulang dan abu yang ditemui di Banting itu, milik Kak Wati atau bukan.
“Kalau betul ia milik Kak Wati, tunjukkan bukti supaya keluarga tidak tertunggu-tunggu dan sekiranya bukan, di manakah dia sekarang kerana dia sudah hilang sejak 37 hari lalu,” kata Rosnani Lawiya, 45, adik kepada jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya, yang mati dibunuh bersama tiga mangsa Ramadan lalu.

Rosnani berkata, mereka sekeluarga masih ternanti-nanti ujian asid deoksiribonukleik (DNA) ke atas abu dan cebisan tulang yang ditemui polis di kawasan kejadian itu selepas dimaklumkan keputusan ujian itu boleh diperoleh dalam tempoh dua minggu saja.

“Sampel DNA ibu, Yatmah Abdul Rahman, 80, sudah diambil pada 15 September lalu dan kami dimaklumkan, keputusan dalam tempoh dua minggu selepas itu.

“Bagaimanapun, dua minggu menjadi kepada empat minggu dan tambah kepada dua minggu lagi,” katanya.

Ujian belum siap

Oleh Muhammad Apendy Issahak

2010/10/07



KUALA LUMPUR: Polis masih belum menerima sebarang laporan mengenai ujian asid deoksiribonukleik (DNA) daripada Jabatan Kimia bagi mengenal pasti identiti individu yang dibunuh kejam di Ladang Gadong, Tanjung Sepat, Banting.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Wira Muhammad Sabtu Osman, berkata sehingga kini laporan rasmi mengenai ujian berkenaan belum diterima.
Beliau sekali gus menafikan laporan media yang mengatakan Jabatan Kimia sudah dapat mengenal pasti identiti tiga mangsa pembunuhan kejam terbabit melalui ujian dijalankan terhadap beberapa sampel yang ditemui di lokasi kejadian termasuk serpihan tulang.

Menurutnya, laporan media terbabit yang memetik sumber daripada Jabatan Kimia itu tidak benar dan dia sudah membuat semakan dengan jabatan berkenaan, namun belum ada sebarang perkembangan seperti yang dinyatakan.

“Kami sudah periksa dengan jabatan terbabit, tapi tiada seperti yang dilaporkan,” katanya melalui khidmat pesanan ringkas (SMS), ketika diminta mengulas mengenai laporan itu, semalam.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Bakri Zinin, yang dihubungi pula enggan mengulas kerana sedang menghadiri urusan rasmi di luar negara (Singapura).

Kelmarin, sebuah akhbar tabloid berbahasa Inggeris melalui laman webnya melaporkan, sumber Jabatan Kimia mengesahkan dengan positif sudah dapat mengenal pasti identiti tiga mangsa pembunuhan melalui sampel yang diperoleh dari lokasi kejadian.

Difahamkan, sumber berkenaan mendakwa melalui analisis terperinci yang dilakukan terhadap beberapa serpihan tulang, jabatan terbabit mendapat keputusan positif untuk DNA tiga mangsa, namun tidak dapat mendedahkan ia milik siapa.

Pembunuhan kejam itu membabitkan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya 47, bersama tiga lelaki iaitu pemandu peribadinya, Kamaruddin Shansuddin, 44, pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru, Kuala Lumpur, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam peribadi, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32. Semua mereka dilaporkan hilang sejak 30 Ogos lalu selepas dikatakan ke Banting, untuk urusan pembelian tanah.

Selain itu, beberapa individu lain iaitu ahli perniagaan, S Anpalagan, 43, jutawan India, Allal Kanthan Muthuraja, 34, seorang ahli perniagaan dari Sungai Petani, Kedah, Mohd Shafik Abdullah, 37, dan rakannya, dikatakan turut menjadi mangsa kerana ghaib hingga kini selepas berurusan dengan suspek utama kes pembunuhan jutawan kosmetik berkenaan.

Rabu, 6 Oktober 2010

Polis dikacau hantu cuma cerita sensasi

2010/10/06

SHAH ALAM: "Mana ada hantu, saya pergi siang dan malam tak ada apapun, semua itu hanya untuk mensensasikan cerita sahaja," kata Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar. 

Beliau diminta mengulas dakwaan kononnya ada anggota polis yang menyiasat kes pembunuhan jutawan kosmetik, Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain diganggu makhluk halus.


Ketika ditanya pemberita di Majlis Rumah Terbuka Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini, semalam, Khalid lantas menafikan laporan itu.
Terdapat cakap-cakap kononnya ada anggota polis diganggu makhluk halus ketika bertugas di Ladang Gadong, Tanjung Sepat, Banting, milik suspek utama kes pembunuhan Sosilawati dan tiga yang lain. 

Ladang itu dipercayai lokasi pembunuhan itu. 

Mengulas lanjut, beliau berkata semua siasatan berkaitan kes pembunuhan masih dijalankan. – Bernama

Polis teliti keterangan Shamsul kes Sosilawati

2010/10/06

SHAH ALAM: Polis akan meneliti keterangan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor, Shamsul Iskandar Mohd Akin sebelum mengambil sebarang tindakan berikutan kenyataannya mengaitkan kepemimpinan tertinggi polis dengan kes bunuh jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain. 

Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar, mengesahkan Shamsul Iskandar memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam semalam selepas beberapa kali diminta berbuat demikian.


Beliau meminta orang ramai tidak membuat spekulasi mengenai beberapa kes berprofil tinggi yang disiasat polis bagi mengelak percanggahan fakta sehingga boleh mengganggu kelancaran proses siasatan.
“Apabila berlaku sesuatu kes, biarlah kita jalankan siasatan dulu dan keputusannya kita akan umumkan kemudian. Untuk sementara itu, bersabarlah dan jangan buat kenyataan yang boleh mengganggu siasatan. 

“Tidak kira sesiapa, kita sudah banyak kali cakap jangan buat spekulasi. Kenapa buat spekulasi sedangkan siasatan belum selesai. 

“Tidak ada apa yang hendak kita sorok. Sabarlah, apa hasil siasatan kita,” katanya ketika ditemui di Rumah Terbuka Aidilfitri Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini, semalam. 

Terdahulu Shamsul Iskandar yang tiba di IPD Shah Alam pada jam 11.15 pagi semalam sebelum keluar jam 1 tengah hari, turut ditemani peguamnya, Yusmadi Yussof dan seorang peguam daripada Majlis Peguam, Fadiah Najwa Fikri. 
Yusmadi yang ditemui di luar IPD Shah Alam, berkata keterangannya itu diambil polis berikutan laporan polis yang dibuat seorang pegawai polis, Asisten Superintendan Ahmad Fauzi, membabitkan temu bualnya dengan media, berhubung dakwaannya bahawa kepemimpinan tertinggi polis mempunyai kaitan dengan kes kematian Sosilawati. 

“Polis memaklumkan ini hanya siasatan biasa. Sama ada kes ini akan dibawa ke mahkamah, ia bergantung kepada hasil siasatan polis. 

“Saya menafikan dakwaan sebelum ini yang menyatakan anak guam saya enggan bekerjasama dengan polis, kerana anak guam saya bekerjasama dengan mereka sejak awal lagi,” katanya.

Suspek utama buat laporan

KUALA LUMPUR: Suspek utama dan adik lelakinya yang ditahan polis sejak 11 Sept berhubung dakwaan kaitan mereka dengan pembunuhan jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain, membuat laporan polis di balai polis Teluk Panglima Garang semalam.
Suspek berusia 41 tahun itu dan adiknya berusia 38 tahun membuat laporan pada kira-kira 5 petang berhubung dakwaan mereka dinafikan hak representasi yang sah dan lawatan oleh anggota keluarga. Adik beradik itu yang juga peguam kini ditahan polis Selangor sejak Sabtu lepas, mendakwa rayuan awal mereka untuk mendapatkan representasi sah dinafikan ketika dalam tahanan polis Kuala Lumpur.

Dalam laporan itu, mereka juga mendakwa ketika dalam tahunan polis di ibu pejabat kontinjen polis Kuala Lumpur selama hampir tiga minggu, mereka dipaksa menandatangani satu dokumen. Mereka juga mendakwa disoal siasat berterusan oleh pegawai polis menyebabkan mereka rasa “teruk tertekan dan diseksa”. Mereka menyatakan bahawa mereka ingin menemui peguam sebelum tarikh tamat perintah reman mereka pada Khamis (7 Oktober). Dalam pada itu, peguam Ravi Neeko menggesa polis mendakwa suspek termasuk anak guamnya jika mereka mempunyai ‘banyak’ bukti sebagaimana mereka dakwa.

Isteri kedua suspek

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin dan Mohd Firdaus Ibrahim

2010/10/06 





KUALA LUMPUR: Wanita dikehendaki, Jesyntha Clarene Isreal, 27, yang dipercayai mampu menyelesaikan kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosila wati dan tiga individu lain dikatakan sedang menyembunyikan diri daripada dikesan pihak berkuasa.
Dia yang juga isteri kedua kepada seorang suspek kes pembunuhan kejam itu dikatakan mengetahui perancangan dan kejadian pembunuhan berkenaan.

Sumber polis berkata, wanita terbabit adalah individu yang mengetahui mengenai perancangan dan kejadian pembunuhan kejam itu.

“Dia (Jesyntha) yang mengetahui dirinya sedang diburu pihak berkuasa meninggalkan rumahnya di Banting dan bersembunyi di lokasi yang masih belum diketahui,” katanya.

Semalam, Harian Metro melaporkan selepas 36 hari siasatan, kes kematian jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya, 47, memasuki episod baru apabila seorang wanita kini amat dikehendaki polis kerana mampu membantu memberi maklumat yang boleh menyelesaikan kes berprofil tinggi itu.

Melalui laman web facebook rasmi Polis Diraja Malaysia (PDRM), wajah dan maklumat wanita dikenali sebagai Jesyntha Clarene Isreal itu didedahkan kepada umum dan kerjasama orang ramai amat diperlukan untuk mengesannya.



Jesyntha berusia 27 tahun dan memegang MyKad bernombor 830630-10-6030. Alamat terakhirnya ialah di Lot 55, Batu 1/2 Jalan Jugra, Banting, Selangor.

Mengikut laman facebook PDRM, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai Jesyntha diminta menghubungi Deputi Superintendan Khoo Leng Huat melalui talian 010-4203791.

Selain itu, mereka yang inginkan keterangan lanjut mengenai wanita terbabit boleh melawat laman sosial rasmi PDRM di www.facebook.com/PolisDirajaMalaysia.

Selasa, 5 Oktober 2010

Buruan baru

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin, Abdullah Wahab, Raja Noraina Raja Rahim dan Muhammad Apendy Issahak
am@hmetro.com.my
2010/10/05 



KUALA LUMPUR: Selepas 36 hari siasatan, kes kematian jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya, 47, memasuki episod baru apabila seorang wanita kini amat dikehendaki polis dan disifatkan amat penting kerana mampu membantu memberi maklumat yang boleh menyelesaikan kes berprofil tinggi itu.
KAWAL...kenderaan yang membawa suspek keluar dari Ladang Gadong, semalam.

KAWAL...kenderaan yang membawa suspek keluar dari Ladang Gadong, semalam.

Melalui laman web facebook rasmi Polis Diraja Malaysia (PDRM), wajah dan maklumat wanita dikenali sebagai Jesyntha Clarene Isreal itu didedahkan kepada umum dan kerjasama orang ramai amat diperlukan untuk mengesannya.

Jesyntha berusia 27 tahun dan memegang MyKad bernombor 830630-10-6030. Alamat terakhirnya ialah di Lot 55, Batu 1/2 Jalan Jugra, Banting, Selangor.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Bakri Zinin yang dihubungi bagi mendapatkan maklumat lanjut berkaitan wanita itu terutama mengenai hubungannya dengan suspek yang ditahan, bagaimanapun enggan memberi ulasan lebih lanjut.

“Saya tidak boleh dedahkan apa-apa maklumat kerana bimbang ia boleh menjejaskan siasatan polis. Lebih penting, saya amat berharap orang ramai yang mengetahui di mana wanita itu berada supaya segera memaklumkan kepada polis,” katanya.

Mengikut laman facebook PDRM, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai Jesyntha diminta menghubungi Deputi Superintendan Khoo Leng Huat melalui talian 010-4203791.


Selain itu, mereka yang inginkan keterangan lanjut mengenai wanita terbabit boleh melawat laman sosial rasmi PDRM di www.facebook.com/PolisDirajaMalaysia.

Sementara itu, semalam polis membawa dua suspek yang terbabit kes pembunuhan Sosilawati ke Ladang Gadong, Tanjung Sepat di Banting.

Kertas siasatan hampir siap

Kertas siasatan hampir siap



KUALA LUMPUR - Kertas siasatan kes pembunuhan jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain dijangka siap tidak lama lagi, kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Bakri Mohd. Zinin (gambar).
Beliau berkata, polis masih lagi berbincang dengan unit khas yang mengendalikan kes itu bagi melengkapkan dan mengemaskini siasatan seperti yang diminta oleh Jabatan Peguam Negara.
"Ada lagi perkara yang perlu disiasat. Dijangka (kertas siasatan) siap dalam tempoh terdekat," katanya ketika dihubungi Bernama di sini semalam.
Mohd. Bakri berkata, kertas siasatan itu berkemungkinan dihantar bersama keputusan ujian asid deoksiribonukliek (DNA).
"Kami belum memperoleh sepenuhnya keputusan ujian dan masih menunggu laporan penuh dari Jabatan Kimia. Kita tidak mahu bagi tekanan kepada Jabatan Kimia, pakar patologi dan mereka yang terlibat, jadi kita akan tunggu perincian sepenuhnya daripada mereka dahulu," katanya.
Mohd. Bakri turut meminta orang ramai terutama media supaya bersabar menunggu siasatan polis dan tidak membuat spekulasi yang boleh mengganggu siasatan.
Polis telah menghantar kertas siasatan kes itu kepada Jabatan Peguam Negara pada 21 September lalu tetapi dikembalikan semula beberapa jam kemudian untuk dilengkapkan.

Jesyntha Clarene dicari bantu kes Sosilawati



KUALA LUMPUR 4 Okt. - Polis mencari seorang wanita berketurunan India bagi membantu siasatan berhubung kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya serta tiga yang lain.
Saksi yang dicari ialah Jesyntha Clarene Isreal (gambar) 27, pemegang kad pengenalan bernombor 830630-10-6030 dengan alamat terakhir di Lot 55, Batu 1/2, Jalan Jugra, Banting, Selangor.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Bakri Mohd. Zinin berkata, orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat tentang saksi berkenaan diminta menghubungi polis dengan segera.
"Setakat ini, kita tidak dapat beritahu lebih lanjut kenapa saksi itu diperlukan, tapi kita percaya dia dapat membantu kita dalam siasatan kes pembunuhan Sosilawati.
"Polis berharap orang ramai segera menghubungi Deputi Supritendan Khoo Leng Huat di talian 010-4203791 sekiranya mempunyai maklumat," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Gambar Jesyntha Clarene dan butiran mengenai pencariannya boleh didapati di laman sosial Facebook Polis Diraja Malaysia.
Sosilawati, 47, bersama pemandu peribadinya, Kamarudin Shamsudin, 44; pegawai Bank CIMB, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam peribadi, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dilaporkan hilang sejak 30 Ogos lalu selepas dikatakan ke Banting untuk urusan jual beli tanah.
Berikutan kehilangan keempat-empat individu itu, polis menahan lapan suspek untuk membantu siasatan kes berkenaan pada 9 dan 10 September lalu.

Wanita dicari bantu siasatan

2010/10/05

KUALA LUMPUR: Polis meminta bantuan orang ramai bagi mengesan seorang saksi wanita yang dipercayai dapat membantu polis bagi merungkai kes bunuh dan bakar membabitkan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga rakannya. 

Bukit Aman dalam satu kenyataan berkata, wanita berkenaan, Jesyntha Clarene, 27, beralamat di Lot 55, Batu 1/2 Jalan Jugra, Banting.


“Kita percaya wanita itu dapat membantu siasatan polis berhubung kes pembunuhan Sosilawati,” kata kenyataan itu semalam.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung saksi berkenaan diminta menghubungi Deputi Superintendan Khoo Leng Huat di talian 010-4203791 atau balai polis berhampiran.

Polis bawa dua suspek ke lokasi

2010/10/05

BANTING: Dua suspek yang disyaki terbabit dalam kes bunuh jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain dibawa sekali lagi ke lokasi kejadian di Ladang Gadong, Tanjung Sepat, semalam, dengan menaiki van polis. 

Ketika di lokasi kejadian, dua suspek berkenaan yang diiringi beberapa anggota polis berpakaian preman dilihat memasuki kawasan berkenaan sebelum beredar pada jam 5.17 petang.


Turut kelihatan memasuki kawasan ladang itu bersama van yang dinaiki suspek ialah sebuah kereta Volvo yang dipercayai membawa pegawai penyiasat polis bagi mendapatkan lebih banyak bukti dan maklumat berkaitan kes terbabit.
Kedua-dua suspek yang dibawa ke ladang berkenaan dipercayai mempunyai kaitan dengan kes terbaru yang disiasat iaitu misteri kehilangan ahli perniagaan dari Teluk Bunut, Banting, S Anpalagan yang dilihat ada persamaan dengan kes bunuh Sosilawati. 

Selain kes bunuh jutawan berkenaan, kes itu juga turut mempunyai persamaan dengan kes kehilangan jutawan permata dari Chennai, India, Allal Kathan Muthuraja pada Januari lalu.

Isteri ahli perniagaan serah memorandum

2010/10/05

KUALA LUMPUR: Isteri ahli perniagaan dari Teluk Bunut, Banting, S Jayanthy, 34, menghantar memorandum kepada Ketua Polis Negara semalam bagi meminta polis menjalankan siasatan segera berhubung kes kehilangan suaminya, S Anapalagan, 43, sejak Ogos tahun lalu. 

Memorandum setebal enam muka surat itu diserahkan kepada Pegawai Perhubungan Awam Bukit Aman, Cif Inspektor Mohd Zaki Abu Bakar di hadapan pintu masuk Bukit Aman kira-kira 11.30 pagi.


Beliau yang ditemani Ahli Parlimen Kapar, S Manikavasagam, yakin suaminya itu masih hidup dan mahu polis segera menjalankan siasatan kes itu.
“Sudah setahun lebih suami saya hilang dan dua laporan polis dibuat iaitu pada 4 Ogos tahun lalu dan 25 Februari lalu di Balai Polis Bukit Sentosa, Rawang,” katanya di sini, semalam. 

Beliau berkata, sehingga kini beliau masih belum menerima sebarang berita daripada pihak polis berhubung siasatan yang dijalankan. 

Katanya, beliau bertambah risau apabila membaca berita mengenai kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya serta tiga individu lain yang membabitkan suspek utama yang turut dikenali suaminya. 

“Suami saya kalau ke luar daerah mesti hubungi saya atau anak-anak, tetapi yang ini dia tidak menghubungi kami langsung, malah telefon bimbitnya juga tidak aktif,” katanya. 
Beliau yang sudah 20 tahun mendirikan rumah tangga dengan mangsa serta dikurniakan empat cahaya mata berusia 14, 13, sembilan dan enam tahun itu juga mendakwa sebelum kehilangan suaminya itu mereka tidak ada perselisihan faham atau bertengkar. 

Beliau yang juga Pengarah Urusan Syarikat Swiss Khrishma milik suaminya hanya menerima elaun RM10,000 sebulan selama tiga bulan saja sehingga Mac lalu dan mendakwa syarikat terbabit juga sudah bertukar kepada Beruntung Cattle Farm. 

Difahamkan mangsa adalah seorang jutawan dan memiliki harta lebih RM1 juta termasuk hartanah seluas 430 hektar di Bukit Beruntung dan beberapa rumah di Banting.

Media diminta adil siar laporan kes Sosilawati

Oleh Rafidah Mat Ruzki

2010/10/05

Tapis fakta, pastikan kesahihan sumber berita diperoleh

SHAH ALAM: Pengamal media tidak seharusnya melakukan perbicaraan melalui media terhadap suspek kes bunuh jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain kerana kerajaan berpegang kepada konsep ‘seseorang tidak bersalah sehingga dibuktikan kesalahannya’. 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz, berkata walaupun gembira mendapati pengamal media di negara ini kini semakin bebas, mereka perlu mengamalkan etika kewartawanan dan bersikap adil kepada mangsa dan suspek kes itu.


Mengenai tindakan sesetengah akhbar dan stesen televisyen mendedahkan muka suspek, katanya, adalah lebih baik jika pengamal media ada penapisan sendiri dan bukan sehingga kerajaan mengambil tindakan kerana jika kerajaan berbuat demikian, ia akan menghalang kebebasan media.
“Ini yang kita debatkan iaitu antara kebebasan akhbar untuk menulis dan kemungkinan ia akan menjejaskan penyiasatan polis. Sekarang kita sedang seimbangkan. 

“Pada masa sama, anda perlu berikan keadilan kepada semua, kepada Sosilawati, tiga yang lain dan kepada suspek kerana tidak boleh ada perbicaraan melalui media. 

“Kita harap, apa pun yang ditulis tidak akan mengganggu hak asasi mereka yang terbabit kerana di Malaysia, seseorang itu tidak bersalah sehingga dibuktikan kesalahannya,” katanya. 

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri program Bual Bicara Ilmiah Bersama Menteri: Kebebasan Bersuara, Di mana Hadnya, di Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini, semalam. 
Selain itu, Mohamed Nazri berkata penggunaan sumber dalam pelaporan kes berkenaan boleh dilakukan kerana ada sesetengah individu yang mahu berkongsi maklumat tetapi enggan dikenali. 

Bagaimanapun, katanya, apa yang dikhuatiri ialah apabila media mendapatkan maklumat daripada sumber yang tidak sah. 

Sementara itu, penulis blog Malaysia Today, Raja Petra Raja Kamaruddin, tidak perlu bimbangkan keselamatan dirinya untuk pulang ke negara ini kerana Malaysia bukan sebuah negara yang tidak stabil politiknya (Banana Republic) sehingga tidak mampu memberi jaminan keselamatan terhadap saksi kes. 

Mohamed Nazri berkata, Raja Petra perlu berkongsi maklumat terhadap mana-mana dakwaannya sebelum ini dan bukan melarikan diri. 

“Saya lebih suka kalau dia hadapi apa saja pendakwaan di mahkamah. Baru betul. Patuhilah undang-undang negara. 

“Tapi pada masa sama, saya fikir ada juga baiknya (tulisan Raja Petra dalam blognya). Sekurang-kurangnya SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) buatlah kerja sikit,” katanya. 

Beliau berkata, tindakan Raja Petra enggan pulang ke negara ini, seperti keengganan saksi inkues kematian Teoh Beng Hock, Dr Pornthip Rojanasunand, yang sebelum ini mendakwa nyawanya terancam jika beliau datang memberi keterangan di sini, adalah satu tindakan untuk tidak mahu bekerjasama.