SHAH ALAM: S Jayanthi, 34, isteri kepada ahli perniagaan, S Anpalagan, 43, yang disyaki turut menjadi mangsa suspek utama pembunuhan Datuk Sosilawati Lawiya, 47, dan tiga yang lain hadir di pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK), di sini, semalam, bagi berkongsi maklumat dan berbincang lebih lanjut berhubung dakwaan penyelewengan syarikat milik suaminya yang hilang sejak Ogos tahun lalu.
Jayanthi, yang memakai baju berwarna merah jambu dan berseluar hitam dilihat memasuki pejabat JSJK pada jam 11.55 pagi sambil ditemani Ahli Parlimen Kapar, S Manikavasagam sebelum keluar 45 minit kemudian.Manikavasagam ketika ditemui media, berkata tujuan Jayanthi datang ke pejabat JSJK itu untuk berkongsi maklumat dan berbincang mengenai penyelewengan yang dipercayai berlaku dalam syarikat milik suaminya.
Antara maklumat berkenaan adalah pertukaran hak milik syarikat dan jawatan pengarah urusan yang dilakukan oleh bekas pembantu peribadi suaminya tanpa makluman berasas.
Akibatnya, Jayanthi mendakwa tidak dibenarkan mencampuri urusan syarikat dan hilang kuasa sebagai pemilik selepas kehilangan suaminya.
“Hasil pemeriksaan keatas carian syarikat di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) kelmarin, kami mendapati Jayanthi masih mempunyai pegangan syer sebanyak 51 peratus seterusnya berhak ke atas syarikat milik suaminya itu sebagai pengarah syarikat.
“Pertukaran jawatan pengarah dan hak milik syarikat itu dipercayai dilakukan selepas empat bulan kehilangan Anpalagan iaitu pada bulan Disember tahun lalu oleh bekas pembantu peribadi suaminya,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan