2010/10/06
SHAH ALAM: Polis akan meneliti keterangan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor, Shamsul Iskandar Mohd Akin sebelum mengambil sebarang tindakan berikutan kenyataannya mengaitkan kepemimpinan tertinggi polis dengan kes bunuh jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain.Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar, mengesahkan Shamsul Iskandar memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam semalam selepas beberapa kali diminta berbuat demikian.
Beliau meminta orang ramai tidak membuat spekulasi mengenai beberapa kes berprofil tinggi yang disiasat polis bagi mengelak percanggahan fakta sehingga boleh mengganggu kelancaran proses siasatan.
“Apabila berlaku sesuatu kes, biarlah kita jalankan siasatan dulu dan keputusannya kita akan umumkan kemudian. Untuk sementara itu, bersabarlah dan jangan buat kenyataan yang boleh mengganggu siasatan.
“Tidak kira sesiapa, kita sudah banyak kali cakap jangan buat spekulasi. Kenapa buat spekulasi sedangkan siasatan belum selesai.
“Tidak ada apa yang hendak kita sorok. Sabarlah, apa hasil siasatan kita,” katanya ketika ditemui di Rumah Terbuka Aidilfitri Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini, semalam.
Terdahulu Shamsul Iskandar yang tiba di IPD Shah Alam pada jam 11.15 pagi semalam sebelum keluar jam 1 tengah hari, turut ditemani peguamnya, Yusmadi Yussof dan seorang peguam daripada Majlis Peguam, Fadiah Najwa Fikri.
Yusmadi yang ditemui di luar IPD Shah Alam, berkata keterangannya itu diambil polis berikutan laporan polis yang dibuat seorang pegawai polis, Asisten Superintendan Ahmad Fauzi, membabitkan temu bualnya dengan media, berhubung dakwaannya bahawa kepemimpinan tertinggi polis mempunyai kaitan dengan kes kematian Sosilawati.
“Polis memaklumkan ini hanya siasatan biasa. Sama ada kes ini akan dibawa ke mahkamah, ia bergantung kepada hasil siasatan polis.
“Saya menafikan dakwaan sebelum ini yang menyatakan anak guam saya enggan bekerjasama dengan polis, kerana anak guam saya bekerjasama dengan mereka sejak awal lagi,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan