KUALA LANGAT 3 Okt. - Polis masih melakukan kawalan rutin di Ladang Gadong, Tanjung Sepat di sini, milik suspek utama kes pembunuhan jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Supritendan Nordin Manan berkata, kawalan di ladang itu adalah prosedur biasa kerana siasatan masih dijalankan dan lokasi berkenaan masih di bawah kawalan polis.
"Polis masih ditempatkan untuk mengawal kawasan ladang itu kerana siasatan masih dijalankan," katanya.
Tinjauan di ladang berkenaan mendapati suasana di kawasan itu kini sunyi tanpa sebarang kenderaan di bahu jalan serta laluan sepanjang 600 meter menuju ke ladang itu.
Sebuah kenderaan MPV polis kelihatan di dalam kawasan ladang berkenaan.
Bagaimanapun kini, tiada lagi sekatan di laluan utama berhadapan dengan kuil seperti yang dilakukan sebelum ini.
Sementara itu, kenderaan forensik dilihat memasuki Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat kira-kira pukul 1.30 petang ini sebelum keluar semula sejam kemudian.
Ladang Gadong yang majoriti kawasannya ditanam dengan kelapa sawit selain beberapa perusahaan buah-buahan seperti longan dan tanaman sayuran mula menjadi tumpuan selepas satu daripada lot ladang di kawasan itu disyaki sebagai lokasi pembunuhan Sosilawati dan tiga yang lain.
Sosilawati, 47, pemandu peribadinya Kamarudin Shamsuddin, 44, pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam peribadi Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dilapor hilang sejak 30 Ogos lalu selepas dikatakan ke Banting untuk urusan pembelian tanah.
Keempat-empat mereka kemudian disahkan polis dipukul sampai mati sebelum mayat mereka dibakar dan abunya dibuang ke dalam sungai berdekatan ladang berkenaan. - BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan