2010/10/03
Isteri lapor suami lesap 2009, hanya kereta ditemuiKLANG: Polis sudah membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan berhubung kes kehilangan ahli perniagaan, S Anpalagan, dari Teluk Bunut, Banting, dekat sini lebih setahun lalu kerana mempunyai persamaan pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya.
Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar, ketika mengesahkannya di laman sosial Facebook beliau malam tadi, berkata polis menerima laporan kehilangan itu pada 4 Ogos 2009.
“Berdasarkan fakta dan laporan, polis membuka kertas siasatan membabitkan kes melarikan orang. Kenderaan Anpalagan ditemui di Nur Lembah Pangsun, Eco Resort, Hulu Langat dan pasukan Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak menemui apa-apa petunjuk. Siasatan awal mendapati tiada saksi siapa meletakkan kereta itu di situ.
Khalid berkata, pihaknya akan memanggil isteri Anpalagan untuk diambil keterangan.
Sebelum ini, isteri Anpalagan, S Jayanthy, 34, menggesa polis membuka semula fail kes kehilangan suaminya.
Anpalagan, 43, dikatakan memiliki tanah di Selangor, Kedah dan Perak.
Beliau melaporkan kehilangan suaminya, 4 Ogos tahun lalu, selepas tidak pulang ke rumah.
Sementara itu di SEPANG, tempoh reman dua peguam adik beradik dan seorang lagi individu semalam disambung enam hari lagi sehingga 7 Oktober ini bagi membantu siasatan kes kehilangan peniaga India, Muthuraja Allal Kathan, manakala abangnya, Dr Kasi Visvanathan, hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah Klang, semalam bagi melakukan kawad cam beberapa suspek kes itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan