Selasa, 5 Oktober 2010

Kertas siasatan hampir siap

Kertas siasatan hampir siap



KUALA LUMPUR - Kertas siasatan kes pembunuhan jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain dijangka siap tidak lama lagi, kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Bakri Mohd. Zinin (gambar).
Beliau berkata, polis masih lagi berbincang dengan unit khas yang mengendalikan kes itu bagi melengkapkan dan mengemaskini siasatan seperti yang diminta oleh Jabatan Peguam Negara.
"Ada lagi perkara yang perlu disiasat. Dijangka (kertas siasatan) siap dalam tempoh terdekat," katanya ketika dihubungi Bernama di sini semalam.
Mohd. Bakri berkata, kertas siasatan itu berkemungkinan dihantar bersama keputusan ujian asid deoksiribonukliek (DNA).
"Kami belum memperoleh sepenuhnya keputusan ujian dan masih menunggu laporan penuh dari Jabatan Kimia. Kita tidak mahu bagi tekanan kepada Jabatan Kimia, pakar patologi dan mereka yang terlibat, jadi kita akan tunggu perincian sepenuhnya daripada mereka dahulu," katanya.
Mohd. Bakri turut meminta orang ramai terutama media supaya bersabar menunggu siasatan polis dan tidak membuat spekulasi yang boleh mengganggu siasatan.
Polis telah menghantar kertas siasatan kes itu kepada Jabatan Peguam Negara pada 21 September lalu tetapi dikembalikan semula beberapa jam kemudian untuk dilengkapkan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan