2010/10/05
KUALA LUMPUR: Isteri ahli perniagaan dari Teluk Bunut, Banting, S Jayanthy, 34, menghantar memorandum kepada Ketua Polis Negara semalam bagi meminta polis menjalankan siasatan segera berhubung kes kehilangan suaminya, S Anapalagan, 43, sejak Ogos tahun lalu.Memorandum setebal enam muka surat itu diserahkan kepada Pegawai Perhubungan Awam Bukit Aman, Cif Inspektor Mohd Zaki Abu Bakar di hadapan pintu masuk Bukit Aman kira-kira 11.30 pagi.
Beliau yang ditemani Ahli Parlimen Kapar, S Manikavasagam, yakin suaminya itu masih hidup dan mahu polis segera menjalankan siasatan kes itu.
“Sudah setahun lebih suami saya hilang dan dua laporan polis dibuat iaitu pada 4 Ogos tahun lalu dan 25 Februari lalu di Balai Polis Bukit Sentosa, Rawang,” katanya di sini, semalam.
Beliau berkata, sehingga kini beliau masih belum menerima sebarang berita daripada pihak polis berhubung siasatan yang dijalankan.
Katanya, beliau bertambah risau apabila membaca berita mengenai kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya serta tiga individu lain yang membabitkan suspek utama yang turut dikenali suaminya.
“Suami saya kalau ke luar daerah mesti hubungi saya atau anak-anak, tetapi yang ini dia tidak menghubungi kami langsung, malah telefon bimbitnya juga tidak aktif,” katanya.
Beliau yang sudah 20 tahun mendirikan rumah tangga dengan mangsa serta dikurniakan empat cahaya mata berusia 14, 13, sembilan dan enam tahun itu juga mendakwa sebelum kehilangan suaminya itu mereka tidak ada perselisihan faham atau bertengkar.
Beliau yang juga Pengarah Urusan Syarikat Swiss Khrishma milik suaminya hanya menerima elaun RM10,000 sebulan selama tiga bulan saja sehingga Mac lalu dan mendakwa syarikat terbabit juga sudah bertukar kepada Beruntung Cattle Farm.
Difahamkan mangsa adalah seorang jutawan dan memiliki harta lebih RM1 juta termasuk hartanah seluas 430 hektar di Bukit Beruntung dan beberapa rumah di Banting.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan