Ahad, 3 Oktober 2010

Lagi ahli perniagaan hilang

Oleh NOR SEDEK ISMAIL

S. ANPALAGAN


KLANG 2 Okt. - Selepas dua ahli perniagaan dilaporkan hilang selepas berurusan di Banting, di sini baru-baru ini, yang dikaitkan dengan suspek kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya, seorang isteri hari ini tampil untuk mendedahkan kehilangan suaminya.
Mangsa, S. Anpalagan, 43, dilaporkan hilang pada 4 Ogos tahun lalu selepas menemui seorang pegawai polis bernama Maniam di Bukit Sentosa, Rawang, dekat sini sebelum berjumpa dengan seorang lagi rakannya di Banting, dekat sini.
Difahamkan, Anpalagan yang berasal dari Telok Bunut, Banting, dekat sini adalah rakan rapat suspek utama yang kini ditahan untuk membantu siasatan kes bunuh Sosilawati dan tiga lelaki.
Isteri Anpalagan, S. Jayanthy, 33, memberitahu, pada hari kejadian, beliau cuba menghubungi Anpalagan tetapi gagal kerana telefon bimbit suaminya itu dimatikan.
"Saya menghubungi Maniam tetapi dia memberitahu yang suami saya sudah pulang pada pukul 2.30 pagi (4 Ogos 2009).
"Saya lalu mengambil keputusan membuat laporan di Balai Polis Bukit Sentosa pada hari itu," katanya ketika ditemui di Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Parlimen Kapar, S. Manikavasagam di pekan Kapar, di sini hari ini.
Menurut Jayanthy, dia cuba mengesan lokasi kedudukan kereta Mercedes-Benz milik suaminya dengan menggunakan GPS yang dipasang pada kenderaan tersebut.
Tambahnya usaha itu berhasil apabila kenderaan itu ditemui di sebuah resort di Nur Lembah Pangsun, Hulu Langat beberapa hari selepas suami hilang tetapi pihak resort memaklumkan Anpalagan tidak mendaftar masuk di situ.
Jayanthy mendakwa, syarikat milik suaminya iaitu Swiss Karishma Sdn. Bhd. di Bukit Sentosa juga telah ditukar milik kepada seorang lelaki yang sebelum ini merupakan setiausaha kepada suaminya.
"Dalam masa sebulan selepas suami hilang, saya diminta menandatangani beberapa dokumen dan saya berbuat demikian walaupun tidak mengetahui isi kandungannya.
"Saya diberitahu dokumen itu dibekalkan oleh seorang peguam bagi menguruskan perniagaan ketika ketiadaan suami," ujarnya.
Namun, dakwanya, selepas menandatangani dokumen tersebut, beliau tidak lagi dibenarkan masuk ke pejabat selain syarikat milik suaminya itu sudah ditukar nama kepada orang lain.
"Harta suami seperti 10 ekar (empat hektar) ladang kelapa sawit di Banting dan 430 ekar (174 hektar) tanah di Hulu Selangor serta beberapa buah rumah juga tidak tahu ke mana.
"Wang simpanan suami sekurang-kurangnya RM150,000 di Public Bank juga telah lesap," katanya sambil memberitahu dia yang tidak bekerja kini menyara keluarga dengan wang simpanan.
Jelasnya, lelaki yang menipu dirinya itu kini mengambil alih syarikat berkenaan dan melarangnya memasuki pejabat.
"Saya ada tanya dia di mana suami saya, dia enggan beritahu dan hanya jawab suami saya ada dan masih hidup," katanya.
Difahamkan, Swiss Karisma menjalankan pelbagai perniagaan termasuk kedai gunting rambut dan besi buruk.
Tambahnya, beliau bersama Manikavasagam akan menghantar satu memorandum kepada Ketua Polis Negara di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman Isnin ini, supaya polis dapat membuka kembali kertas siasatan mengenai kehilangan suaminya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan