Khamis, 7 Oktober 2010

Ujian belum siap

Oleh Muhammad Apendy Issahak

2010/10/07



KUALA LUMPUR: Polis masih belum menerima sebarang laporan mengenai ujian asid deoksiribonukleik (DNA) daripada Jabatan Kimia bagi mengenal pasti identiti individu yang dibunuh kejam di Ladang Gadong, Tanjung Sepat, Banting.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Wira Muhammad Sabtu Osman, berkata sehingga kini laporan rasmi mengenai ujian berkenaan belum diterima.
Beliau sekali gus menafikan laporan media yang mengatakan Jabatan Kimia sudah dapat mengenal pasti identiti tiga mangsa pembunuhan kejam terbabit melalui ujian dijalankan terhadap beberapa sampel yang ditemui di lokasi kejadian termasuk serpihan tulang.

Menurutnya, laporan media terbabit yang memetik sumber daripada Jabatan Kimia itu tidak benar dan dia sudah membuat semakan dengan jabatan berkenaan, namun belum ada sebarang perkembangan seperti yang dinyatakan.

“Kami sudah periksa dengan jabatan terbabit, tapi tiada seperti yang dilaporkan,” katanya melalui khidmat pesanan ringkas (SMS), ketika diminta mengulas mengenai laporan itu, semalam.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Bakri Zinin, yang dihubungi pula enggan mengulas kerana sedang menghadiri urusan rasmi di luar negara (Singapura).

Kelmarin, sebuah akhbar tabloid berbahasa Inggeris melalui laman webnya melaporkan, sumber Jabatan Kimia mengesahkan dengan positif sudah dapat mengenal pasti identiti tiga mangsa pembunuhan melalui sampel yang diperoleh dari lokasi kejadian.

Difahamkan, sumber berkenaan mendakwa melalui analisis terperinci yang dilakukan terhadap beberapa serpihan tulang, jabatan terbabit mendapat keputusan positif untuk DNA tiga mangsa, namun tidak dapat mendedahkan ia milik siapa.

Pembunuhan kejam itu membabitkan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya 47, bersama tiga lelaki iaitu pemandu peribadinya, Kamaruddin Shansuddin, 44, pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru, Kuala Lumpur, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam peribadi, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32. Semua mereka dilaporkan hilang sejak 30 Ogos lalu selepas dikatakan ke Banting, untuk urusan pembelian tanah.

Selain itu, beberapa individu lain iaitu ahli perniagaan, S Anpalagan, 43, jutawan India, Allal Kanthan Muthuraja, 34, seorang ahli perniagaan dari Sungai Petani, Kedah, Mohd Shafik Abdullah, 37, dan rakannya, dikatakan turut menjadi mangsa kerana ghaib hingga kini selepas berurusan dengan suspek utama kes pembunuhan jutawan kosmetik berkenaan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan