Selasa, 5 Oktober 2010

Media diminta adil siar laporan kes Sosilawati

Oleh Rafidah Mat Ruzki

2010/10/05

Tapis fakta, pastikan kesahihan sumber berita diperoleh

SHAH ALAM: Pengamal media tidak seharusnya melakukan perbicaraan melalui media terhadap suspek kes bunuh jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain kerana kerajaan berpegang kepada konsep ‘seseorang tidak bersalah sehingga dibuktikan kesalahannya’. 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz, berkata walaupun gembira mendapati pengamal media di negara ini kini semakin bebas, mereka perlu mengamalkan etika kewartawanan dan bersikap adil kepada mangsa dan suspek kes itu.


Mengenai tindakan sesetengah akhbar dan stesen televisyen mendedahkan muka suspek, katanya, adalah lebih baik jika pengamal media ada penapisan sendiri dan bukan sehingga kerajaan mengambil tindakan kerana jika kerajaan berbuat demikian, ia akan menghalang kebebasan media.
“Ini yang kita debatkan iaitu antara kebebasan akhbar untuk menulis dan kemungkinan ia akan menjejaskan penyiasatan polis. Sekarang kita sedang seimbangkan. 

“Pada masa sama, anda perlu berikan keadilan kepada semua, kepada Sosilawati, tiga yang lain dan kepada suspek kerana tidak boleh ada perbicaraan melalui media. 

“Kita harap, apa pun yang ditulis tidak akan mengganggu hak asasi mereka yang terbabit kerana di Malaysia, seseorang itu tidak bersalah sehingga dibuktikan kesalahannya,” katanya. 

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri program Bual Bicara Ilmiah Bersama Menteri: Kebebasan Bersuara, Di mana Hadnya, di Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini, semalam. 
Selain itu, Mohamed Nazri berkata penggunaan sumber dalam pelaporan kes berkenaan boleh dilakukan kerana ada sesetengah individu yang mahu berkongsi maklumat tetapi enggan dikenali. 

Bagaimanapun, katanya, apa yang dikhuatiri ialah apabila media mendapatkan maklumat daripada sumber yang tidak sah. 

Sementara itu, penulis blog Malaysia Today, Raja Petra Raja Kamaruddin, tidak perlu bimbangkan keselamatan dirinya untuk pulang ke negara ini kerana Malaysia bukan sebuah negara yang tidak stabil politiknya (Banana Republic) sehingga tidak mampu memberi jaminan keselamatan terhadap saksi kes. 

Mohamed Nazri berkata, Raja Petra perlu berkongsi maklumat terhadap mana-mana dakwaannya sebelum ini dan bukan melarikan diri. 

“Saya lebih suka kalau dia hadapi apa saja pendakwaan di mahkamah. Baru betul. Patuhilah undang-undang negara. 

“Tapi pada masa sama, saya fikir ada juga baiknya (tulisan Raja Petra dalam blognya). Sekurang-kurangnya SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) buatlah kerja sikit,” katanya. 

Beliau berkata, tindakan Raja Petra enggan pulang ke negara ini, seperti keengganan saksi inkues kematian Teoh Beng Hock, Dr Pornthip Rojanasunand, yang sebelum ini mendakwa nyawanya terancam jika beliau datang memberi keterangan di sini, adalah satu tindakan untuk tidak mahu bekerjasama.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan