Ahad, 3 Oktober 2010

Sambung reman

Oleh HAYATI IBRAHIM
ya_t@hmetro.com.my
2010/10/02



SEPANG: Tempoh tahanan reman terhadap dua peguam adik beradik dan seorang lagi rakan mereka yang menjadi suspek kes kehilangan jutawan India, Muthuraja Allal Kathan, disambung selama enam hari lagi bagi membolehkan polis melakukan siasatan dengan lebih terperinci.
Ia tahanan reman kedua terhadap tiga suspek berkenaan bagi membantu polis meneruskan siasatan kehilangan Muthuraja, 34, sejak Januari lalu.

Difahamkan pada asalnya, polis membuat permohonan untuk melanjutkan tahanan reman selama tujuh hari, tetapi ditolak majistret atas alasan tempoh enam hari sudah mencukupi.

Dua beradik terbabit disertai empat peguam, Datuk Ng See Teong, Amer Hamzah, Ravi Nekoo dan Pushpa Ratnam, manakala seorang lagi suspek tidak diwakili peguam.

Suspek yang dibawa menaiki Proton Waja dan dikawal ketat anggota polis sambil diiringi lima kereta polis dan dua polis trafik tiba di balai terbabit kira-kira jam 9.30 pagi.

Mereka kemudian dibawa masuk melalui pintu belakang balai terbabit untuk mendapatkan perintah tahanan reman.

Peguam dua beradik yang memakai baju lokap berwarna ungu dan seorang lagi suspek berbaju lokap warna jingga dan bergari kemudian dilihat meninggalkan mahkamah, kira-kira jam 10.30 pagi.

Muthuraja, 34 dilaporkan hilang sebaik tiba di Malaysia pada 18 Januari lalu untuk bertemu dua beradik peguam terbabit.

Khamis lalu, polis mengesahkan ahli perniagaan dari India itu turut dibunuh dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 302, Kanun Keseksaan.

Sementara itu, peguam suspek, Ravi Nekoo berkata, anak guamnya turut memohon kebenaran daripada majistret untuk membuat laporan polis mendakwa dia tidak dibenarkan berjumpa dengan peguam yang mewakilinya.

Katanya, beliau menulis surat kepada Ketua Polis Negara dan Timbalannya, serta Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Bukit Aman) untuk memaklumkan perkara itu, namun pihaknya tidak menerima sebarang maklum balas daripada mereka.

“Jadi, anak guam kami yang juga suspek utama memberitahu majistret, dia tidak diberi peluang untuk berjumpa kami. Kami memandang serius isu ini kerana akses untuk peguam adalah hak asasi yang termaktub Artikel Lima Klausa Satu, Perlembagaan Perlembagaan.

“Memandangkan mereka ditahan sejak 11 September lalu tanpa sebarang khidmat guaman, suspek utama memberitahu majistret mengenai perkara ini dan majistret membenarkan dia membuat laporan polis,” katanya.

Bagaimanapun, beliau belum tahu bila dan di mana laporan berkenaan akan dibuat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan