KUALA LUMPUR: “Saya sudah dihubungi polis untuk beri keterangan berhubung kes kehilangan suami, namun perlu bincang dulu dengan peguam,” kata S Jayanthi, 41, isteri kepada ahli perniagaan, S Anpalagan, 43, yang hilang sejak Ogos tahun lalu dan dikhuatiri menjadi mangsa suspek utama kes pembunuhan Datuk Sosilawati Lawiya dan beberapa individu lain.
Menurutnya, dia sedang berbincang lebih lanjut dengan peguam sebelum menentukan bila dan di balai mana akan menghadirkan diri memberi keterangan.“Sekarang saya di Kapar untuk bertemu dengan peguam, tindakan lanjut akan kami maklumkan nanti,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Jayanthi, 34, kelmarin membuat kenyataan media di Kapar, Klang, Selangor, berhubung kehilangan suaminya, S Anpalagan, 43, seorang ahli perniagaan yang hilang sejak awal Ogos tahun lalu.
Menurutnya, dia membuat laporan polis di Balai Polis Bukit Sentosa, Rawang pada 4 Ogos 2009 dan dakwaan segelintir kenalan mengaitkan kehilangan suaminya dengan suspek utama pembunuhan kejam itu menyebabkan dirinya semakin khuatir hingga mendorong membuat kenyataan media itu.
Sementara itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar berkata, memang pihaknya memanggil wanita terbabit untuk dirakam percakapan lanjutannya, berkenaan maklumat terbaru didedahkan kepada media petang kelmarin.
“Kami sudah panggil dia (Jayanthi) untuk keterangan, tapi dia belum lagi tampil ke mana-mana balai bagi tujuan itu.
“Tujuan dia dipanggil adalah bagi membolehkan polis mendapatkan maklumat baru berhubung kes berkenaan selain membantu merungkai kehilangan ahli perniagaan berkenaan sejak lebih setahun lalu,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan