25/09/2010 3:27pm
KUALA LUMPUR - Raja Pop tanah air, Jamal Abdillah berkata, jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya yang mati dibunuh dengan kejam merupakan sahabat baik yang banyak membantu dalam kerjaya seninya selama ini.
Malahan, sebelum ini ada perancangan di antara mereka untuk memasarkan satu produk kesihatan Jamal yang terbaru di stokis-stokis beliau dan mengikut perancangan, produk itu akan mula dipasarkan mulai Mei depan.
"Untuk menghasilkan produk ini bukan mudah, beliau banyak memberi idea dan bantuan pelaburan semasa penghasilan produk saya ini," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Aidilfitri Rumah Pengasih, Bukit Tunku di sini, hari ini.
Jamal berkata, kali terakhir beliau menemui Sosilawati ialah pada majlis hari lahir ke-25 anak jutawan itu Erni Dekritawati Yuliana Bukhairi di Klang Julai lepas.
Walaupun dilihat hasrat ini seperti tidak kesampaian, Jamal masih berharap agar ideanya bersama Sosilawati dapat diteruskan dan beliau akan menemui anak Sosilawati itu untuk berbincang.
Sebelum ini, Sosilawati yang terkenal dengan sikap pemurahnya pernah menaja Konsert 'Jamal Kembara Seniman' melalui sumbangan RM25,000 pada 8 Sept tahun lepas di Istana Budaya.
Jamal, atau nama sebenar Jamal Ubaidillah Ali, yang sedih dengan kehilangan sahabat baiknya itu berkata, Sosilawati adalah seorang yang senang didekati dan tidak sombong. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan