Ahad, 10 Oktober 2010

Reman 5 lelaki disambung lagi

Pembunuhan kejam Sosilawati: Reman 5 lelaki disambung lagi
Oleh Rafidah Mat Ruzki dan Suhana Roslan 
bhnews@bharian.com.my
2010/10/10


Suspek dibenar jalani rawatan 

KUALA LUMPUR: Lima suspek lelaki disambung reman tujuh hari lagi bagi membantu siasatan berhubung kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga rakannya.

Majistret Noor Hayati Ahmad Mansor membenarkan ketiga-tiga suspek ditahan reman hingga 15 Oktober ini bagi membantu siasatan kes Mohd Shafik Abdullah, 37, dan rakannya yang dilaporkan hilang sejak lima bulan lalu, dipercayai selepas menemui peguam yang juga suspek utama kes pembunuhan itu di ibu negara atas urusan perniagaan.
Kelima-lima suspek itu ditemani peguam yang mewakili mereka dalam kes itu, Avtar Singh Dhaliwa. 

Mereka tiba di Pusat Tahanan Sementara, Balai Polis Bukit Jalil di sini, semalam jam 10 pagi dengan menaiki sebuah kereta pacuan empat roda dan sebuah kereta Proton Waja dengan kawalan ketat polis. 

Noor Hayati turut membenarkan semua suspek menjalani pemeriksaan kesihatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) semalam apabila suspek mengadu tidak sihat sejak ditahan sebulan lalu. 

Avtar ketika ditemui pemberita di luar mahkamah, berkata anak guamnya mengadu sakit badan dan demam selain tidak pernah dibawa menjalani pemeriksaan kesihatan sejak ditahan. 
Kelmarin, kelima-lima suspek ditangkap semula selepas dibebaskan apabila tempoh reman tujuh hari berakhir bagi membantu siasatan kes dua ahli perniagaan dari Sungai Petani, Kedah, Mohd Shafik dan rakannya yang dilaporkan hilang pada 13 April lalu. 

Mahkamah sama turut mengeluarkan perintah tahanan reman terhadap dua peguam beradik berhubung kes sama sehingga 13 Oktober ini. 

Mereka semua ditahan bagi membantu siasatan membabitkan kes Sosilawati, 47, yang juga pengasas produk kecantikan, Nouvelle Visages, dibunuh kejam bersama pemandunya, Kamaruddin Shansuddin, 44; peguamnya, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dan perunding kewangannya, Noorhisham Mohammad, 38. 

Sementara itu di Klang, dua lelaki berusia 31 dan 36 tahun yang ditahan untuk siasatan kerana disyaki memeras ugut isteri seorang ahli perniagaan India, Muthuraja Allal Kanthan, yang hilang sejak awal tahun ini sebelum disahkan mati dibunuh, semalam dibebaskan dengan jaminan polis. 

Mereka yang bekerja sendiri dibebaskan selepas dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan, jam 4 petang. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan