Khamis, 14 Oktober 2010

Polis teruskan siasatan kes orang hilang

KUALA LUMPUR: Polis meneruskan siasatan ke atas beberapa lagi kes orang hilang yang dikaitkan dengan suspek pembunuhan jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain, walaupun empat daripada suspek didakwa di Mahkamah Majistret Telok Datok, Banting, Selangor semalam.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Bakri Zinin berkata, polis percaya suspek dapat membantu siasatan kes berkenaan.

“Kita sambung siasatan kes orang hilang... kami percaya mereka terbabit dalam kes orang hilang. Penyiasatan kita sekarang berdasarkan kepada laporan orang hilang seperti sedia ada,” katanya kepada pemberita di Bukit Aman semalam.

Peguam N. Patmanabhan, 41, bersama-sama pekerja ladang T Thilaiyalagan, 19, R. Matan, 20, dan R. Khatavarayan, 30, didakwa di Mahkamah Majistret Teluk Datok atas tuduhan membunuh Sosilawati, 47, pemandunya Kamaruddin Shansudin, 44, pegawai CIMB Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam peribadi Ahmad Kamil Abdul Karim, 32.

Majistret Hurman Hussain menetapkan 16 Disember ini untuk sebutan semula kes berkenaan.

Mohd Bakri berkata, polis perlu mengemaskini kes orang hilang serta yang berkaitan dengan keputusan DNA mereka termasuk kes Sosilawati dan tiga individu lain.

Ketika ditanya bila keputusan DNA diperoleh, beliau berkata: “Itu saya tidak mahu komen. Kita tunggu Jabatan Kimia siapkan laporan. Berilah ruang dan peluang untuk siasat dengan lebih lanjut.” Selain kes pembunuhan Sosilawati dan tiga individu lain, suspek berkenaan turut dikaitkan dengan kehilangan ahli perniagaan batu permata dari Chennai, India, Allal Kanthan Muthuraja yang tiba di negara ini pada 18 Januari lalu.

Laporan kehilangan Muthuraja dibuat isterinya S Usharani, 24, pada 8 September lalu.

Mereka turut disiasat bagi kes kehilangan kontraktor dari Sungai Petani, Kedah iaitu Shafiq Abdullah, 37, dan seorang rakannya yang dilapor hilang April lalu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan