Khamis, 14 Oktober 2010

Keluarga berdoa keadilan ditegakkan

BATU PAHAT: “Alhamdulillah, penantian keluarga terjawab apabila dimaklumkan empat individu yang dipercayai terbabit pembunuhan Kak Wati (Datuk Sosilawati Lawiya) dihadapkan ke mahkamah,” kata adik jutawan berkenaan, Rosnani Lawiya, 45, semalam.
Rosnani berkata demikian ketika mengulas tindakan polis mendakwa empat individu termasuk seorang peguam di Mahkamah Majistret Teluk Datok di Banting, Selangor, berhubung kes pembunuhan Datuk Sosilawati Lawiya, 47, pemandunya, Kamaruddin Shamsudin, 44, peguam, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dan pegawai bank CIMB Noorhisham Mohammad, 38.

Menurutnya, mereka sekeluarga percaya sepenuhnya siasatan dilakukan polis dan menyerahkan segala-galanya kepada pihak berkuasa untuk mendapatkan pembelaan.

“Kami sekeluarga sentiasa berdoa supaya keadilan dapat ditegakkan dan walaupun kes ini mula dihadapkan ke mahkamah, kami akan tetap melakukan perkara sama.

“Selepas lebih 40 hari keluarga diberitahu Kak Wati meninggal dunia, akhirnya mereka terbabit mula dihadapkan ke mahkamah dan saya yakin kebenaran akan terbukti,” katanya.

Menurutnya, sejak berita kehilangan kakaknya itu bertukar kes pembunuhan, setiap hari mereka sekeluarga berharap ada perkembangan positif kerana tidak tahan tekanan.

Namun, katanya, semuanya hampir terjawab apabila empat suspek dihadapkan ke mahkamah dan segala tekanan itu berkurangan.

“Kami faham, kes ini baru di peringkat permulaan, tetapi ia sudah dibawa ke mahkamah (didakwa) dan kebenaran akan terbongkar.

“Kami berharap ia akan mengungkap lebih banyak misteri dan teka-teki selama ini bagi menyelesaikan kes pembunuhan itu,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan