Ahad, 10 Oktober 2010

Dua suspek dibawa semula ke ladang

Dua suspek dibawa semula ke ladang

DUA suspek pembunuhan Sosilawati dibawa ke lokasi kejadian di Ladang Gadong, Tanjung Sepat, Kuala Langat, semalam.


KUALA LANGAT 9 Okt. – Polis hari ini membawa semula dua suspek kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga lelaki ke lokasi kejadian di Ladang Gadong, Tanjung Sepat di sini dipercayai untuk mencari petunjuk berhubung kes kehilangan dua ahli perniagaan, Mohd. Shafik Abdullah dan S. Theravaraj.
Dua suspek lelaki tersebut yang merupakan pekerja di ladang milik suspek utama iaitu dua beradik peguam, dilihat tiba di lokasi pada pukul 2 petang menaiki sebuah jip diiringi sebuah kereta pegawai penyiasat polis.
Kedua-dua suspek merupakan dua daripada lima suspek yang direman di Pusat Tahanan Sementara Bukit Jalil pada sebelah pagi, berhubung kes kehilangan Mohd. Shafik dan seorang rakannya, yang dipercayai juga ada kaitan dengan suspek utama kes Sosilawati.
Pada pukul 3.50 petang, mereka dilihat dibawa keluar meninggalkan lokasi.
Sebuah kereta forensik yang dinaiki dua anggota polis dilihat keluar masuk di ladang tersebut, dipercayai menjalankan kerja-kerja mengumpul bukti baru.
Bagaimanapun, media tidak dimaklumkan sebarang hasil penemuan baru dalam operasi yang dijalankan petang ini.
Mohd. Shafik, 37, dari Sungai Petani dan S. Theravaraj, 28, dari Taiping, Perak, dilaporkan hilang oleh keluarga masing-masing sejak April lalu.
Mohd. Shafik seorang kontraktor dan Theravaraj hilang selepas dipercayai menemui suspek terbabit di satu lokasi di ibu negara atas urusan perniagaan.
Isteri Mohd. Shafik, Samson Nahar Mohd. Dali, 35, telah membuat laporan polis mengenai kehilangan suaminya pada 13 April lalu di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda, Sungai Petani.
Kes itu kemudian dipindahkan ke Balai Polis Petaling, Kuala Lumpur kerana suaminya dipercayai hilang di bandar raya ini.
Sementara itu, di Kuala Lumpur, lima suspek kes pembunuhan jutawan kosmetik dan tiga lelaki lain itu hari ini disambung tahanan reman sehingga 15 Oktober ini bagi membantu siasatan kes kehilangan seorang kontraktor dari Sungai Petani, Kedah sejak lima bulan lalu.
Majistret Noor Hayati Ahmad Mansor mengeluarkan perintah itu pada pukul 11.30 pagi di Pusat Tahanan Sementara Balai Polis Bukit Jalil, bagi membolehkan mereka membantu siasatan kes kehilangan Mohd. Syafik Abdullah, 37, dan rakannya, S. Theravaraj, 28 dari Taiping, Perak.
Mereka merupakan suspek dalam kes pembunuhan kejam Sosilawati dan tiga individu lain yang dilaporkan hilang sejak 30 Ogos lalu.
Kelima-lima suspek tiba di pusat tahanan sementara itu kira-kira pukul 10 pagi dengan menaiki sebuah kenderaan pacuan empat roda dan sebuah kereta Proton Waja milik polis.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan