Oleh Azman Zakaria, Nazura Ngah dan Sukhairi Abd Thani
bhnews@bharian.com.my
2010/10/12
Aduan dibuat sejak 2005 babitkan kes penipuan KUALA LUMPUR: Enam laporan polis dibuat di Balai Polis Banting terhadap suspek utama kes pembunuhan Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga rakannya sejak 2005, semuanya membabitkan penipuan, dengan dua daripadanya sudah selesai disiasat, satu ditutup dan tiga lagi masih dalam siasatan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata laporan itu masing-masing dibuat pada 19 Ogos 2005, 20 Oktober 2005, 20 Februari 2009, 18 Mac 2010, 13 September 2010 dan 14 September 2010.
Katanya, siasatan terhadap laporan polis bertarikh 19 Ogos 2005 dibuat M Rajeanteran sudah diselesai dan kertas siasatan dikemukakan kepada Timbalan Pendakwa Raya pada 9 September 2010.
Laporan bertarikh 20 Oktober 2005 oleh Chin Loong Chng kini dalam perbicaraan di mahkamah, manakala laporan bertarikh 20 Februari 2010 yang dibuat A Naginderan sudah ditutup berikutan pengadu menarik balik laporannya.
“Tiga lagi laporan polis bertarikh 18 Mac 2010, 13 September 2010 dan 14 September 2010 masih dalam siasatan polis,” katanya menjawab soalan asal Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur) ketika sesi soal jawab di Parlimen, semalam.
Berikutan itu, beliau menegaskan tidak timbul soal polis tidak menjalankan siasatan terhadap semua laporan yang dibuat terhadap suspek.
“Tidak ada laporan orang hilang yang mengaitkan suspek sebelum ini. Cuma satu laporan saja yang dibuat oleh Allal Kathan Kasi pada 29 Mac 2010 di Balai Polis Klang mengenai kehilangan abangnya, Muthuraja.
“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana fakta kes menjurus kepada penipuan. Orang yang disyaki dalam kes ini bukan suspek utama kes Datuk Sosilawati dan tiga yang lain,” katanya.
Beliau berkata, laporan kehilangan Muthuraja yang dikaitkan dengan suspek utama cuma dibuat pada 8 September 2010 oleh isterinya, Usharani Sethuraman, iaitu selepas kes Sosilawati dan tiga yang lain dibongkar.
Menjawab soalan tambahan Lim, Hishammuddin berkata, tidak timbul isu keyakinan orang ramai terhadap Polis Diraja Malaysia (PDRM) terjejas berikutan kes itu.
Katanya, ia hanya akan terjejas sekiranya pihak tertentu memilih kes tertentu untuk menidakkan apa yang dilakukan polis.
Beliau berkata, dari 2000 hingga Ogos lalu, seramai 35,473 orang dilaporkan hilang di seluruh negara, dan daripada jumlah itu PDRM berjaya menjumpai semula 21,344 orang.
Ketika beliau menjawab soalan Datuk Mohamad Aziz (BN-Sri Gading), berlaku pertikaman lidah dan kekecohan apabila Khalid Abd Samad (PAS-Shah Alam) dan Datuk Mahfuz Omar (PAS-Pokok Sena) mendakwa jumlah kes orang hilang yang diselesaikan tidak dibanggakan, tetapi berjaya diredakan oleh Speaker, Tan Sri Pandikar Amin Mulia dengan mengarahkan mereka duduk sambil menyatakan menteri ada cara menjawab.
Menjawab soalan tambahan Salahuddin Ayub (PAS-Kubang Kerian), Hishammuddin berkata, PDRM dan Pejabat Peguam Negara bekerja 24 jam menjalankan siasatan kes itu, bukan saja kes Sosilawati, tetapi juga semua kes berkaitan mangsa lain.
Pada sidang medianya di lobi Parlimen, Hishammuddin berkata, kerjasama antara PDRM dan Peguam Negara perlu diperkukuhkan bagi mengelakkan sebarang spekulasi terutama membabitkan kes berprofil tinggi dan kepentingan rakyat, sehingga boleh menjejaskan siasatan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan