KUANTAN: “Saya berharap kes pembunuhan ini dapat diadili secara teliti dan telus,” kata Ismail Ibrahim, 56, abang ipar kepada Kamarudin Samsudin, 44, pemandu peribadi jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya yang dibunuh dengan kejam sebelum dibakar.
Menurutnya, keluarganya berpuas hati dengan tindakan pantas polis mengesan dan menahan suspek utama bersama beberapa pengikut sebelum menunjukkan lokasi sebenar pembuangan mayat mangsa.Ismail berkata, selagi suspek bersama pengikutnya tidak mengaku atas kesalahan dilakukan itu, keluarganya terutama ibu arwah, Zainab Ahmad, 73, tidak senang duduk kerana asyik memikirkan kejadian malang itu.
“Mengenai ujian Deoxyribonucleic Acid (DNA) yang masih belum diperoleh, keluarga saya tabah menunggu keputusan itu.
“Saya percaya dan yakin bukan keluarga kami saja mahu suspek bersama pengikutnya dijatuhi hukuman setimpal, malah jutaan rakyat yang mengikut perkembangan kes terbabit mahukan hukuman lebih berat,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Indera Mahkota.
Ismail berkata, dua minggu lalu dua anggota polis ada datang ke rumahnya dengan membawa gambar jam tangan milik arwah untuk dicam sebelum dia mengesahkannya walaupun gambar berkenaan kelihatan sedikit kurang jelas.
Dia berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung pendakwaan N Patmanabhan dan tiga orang lagi yang didakwa di Mahkamah Majistret Teluk Datok, Banting atas tuduhan membunuh jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, pagi semalam.
Peguam berusia 41 tahun itu didakwa bersama-sama pekerja ladang, T Thilaiyalagan, 19, R Matan, 20, dan R Khatavarayan, 30.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan