Dua penjenayah dijel tujuh tahun
BANTING – Dua lelaki dijatuhkan hukuma:n penjara tujuh tahun tiap seorang selepas mengaku bersalah bagi empat pertuduhan menghilangkan bukti berkaitan pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain.
Pengakuan bersalah K Sarawanan, 19, dan U Suresh, 26, itu direkodkan di hadapan Majistret Hurman Hussain sebaik pertuduhan dibacakan ke pada mereka dalam bahasa Tamil.
Hukuman penjara mengikut Seksyen 201 Kanun Keseksaan itu berjalan serentak pada tarikh mereka ditangkap 9 September lalu.
Sarawanan didakwa melakukan kesalahan itu dengan cara membakar mayat Sosilawati, 47; Pegawai CIMB Cawangan Kampung Baru, Noorhisham Mohamad, 38; peguam peribadi Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dan pemandu, Kamaruddin Shamsuddin, 44, manakala Suresh didakwa membuang abu mayat mangsa di Sungai Panchau, Jalan Morib antara jam 8 pagi dan 10 pagi pada 31 Ogos lalu.
Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu dengan niat untuk mengelakkan empat individu termasuk seorang peguam berhadapan dengan tindakan undang-undang bagi pertuduhan membunuh mangsa.
Empat individu itu ialah N Pathmanabhan, 41; T Thilaiyalagan, 19; R Matan, 20, dan R Kathavarayan, 30. Semua mereka didakwa di mahkamah sama Rabu lalu.
Berdasarkan fakta kes, Sarawanan mengambil petrol dan diesel, mengangkat dan meletakkan mayat mangsa di atas longgokan kayu yang disusun sebelum dicurahkan minyak serta dibakar.
Suresh yang berada di ladang milik Pathmanabhan pula, pada keesokan harinya melihat Thilaiyalagan dan Matan memasukkan abu mayat dalam sebuah tong biru dan membawanya ke Sungai Panchau dengan kereta jenis Isuzu D-Max.
Dia juga diarah membersihkan tempat pembakaran dan membuang sisa kayu di tempat pembuangan sampah Sungai Arak, Kampung Kelanang dan kepingan zink ke dalam sungai di situ.:
Sementara itu, peguam Roslie Sulle yang mewakili Sarawanan memohon mahkamah menjatuhkan hukuman yang rendah memandangkan tertuduh, anak bongsu daripada empat beradik adalah penanggung tunggal keluarga.
Suresh pula menerusi peguam Muhammad Naguib Abdul Malik merayu hukumannya diringankan kerana anak sulung daripada dua beradik itu membantu ibu yang bekerja sebagai tukang cuci.
Timbalan Pendakwa Raya, Ishak Mohd Yusoff bagaimanapun memohon mahkamah tidak memberi diskaun, sebaliknya menjatuhkan hukuman maksimum terhadap tertuduh.
“Hukuman maksimum untuk situasi kes paling teruk dan boleh dikategori begitu kerana cuba melupuskan bukti jenayah bunuh,” katanya.
Seorang lagi Timbalan Pendakwa Raya, Shaiful Edris Zainudin meminta mahkamah mempertimbangkan fakta kejadian berlaku membabitkan ramai mangsa termasuk seorang dikenali.
Hurman bagaimanapun berkata, hukuman tidak boleh dijatuhkan berdasarkan status mangsa.
“Ia adalah satu jenayah dan hukuman tidak kira sama ada mangsa seorang ketua eksekutif atau pengemis. Hukuman adalah kerana sifat kesalahan yang dilakukan,” katanya.
Tertuduh yang kelihatan tenang sepanjang prosiding, secara peribadi memohon maaf di atas perbuatan mereka.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan