Pathmanabhan bukan peguam lagi
KUALA LUMPUR - Tertuduh pertama dalam kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya kini tidak dibenarkan bertindak sebagai peguam cara dan peguam bela.
Ia berikutan keputusan Mahkamah Tinggi di sini yang menolak dengan kos permohonan N. Pathmanabhan (gambar) dan juga adiknya, N. Surendran supaya mahkamah mengetepikan perintah Lembaga Tatatertib Peguam-peguam yang membatalkan nama mereka sebagai peguam berdaftar.
Hakim Datuk Mohd. Zawawi Salleh yang membuat keputusan itu di dalam kamar juga menolak permohonan kedua-dua beradik itu supaya perintah Lembaga Tatatertib tersebut digantung, sementara menunggu perbicaraan dan keputusan terhadap permohonan tersebut.
Peguam T. Rajasekaran yang mewakili responden M. Rajeanteran memberitahu pemberita, dengan keputusan tersebut Pathmanabhan dan adiknya yang pernah ditahan berhubung kes pembunuhan Sosilawati tidak lagi boleh bertindak dalam mana-mana urusan sebagai peguam termasuk dalam pembelian hartanah.
Rajeanteran merupakan anak guam dua beradik itu dalam pembelian satu hartanah pada 1999 dan beliau yang menyedari ditipu membuat aduan polis pada 2003.
Pihak lembaga mula menyiasat aduan Rajeanteran pada 8 Februari 2007 hingga 5 November 2009.
Pada 24 November tahun lalu, dua beradik itu memfailkan notis usul pemula memohon agar perintah Lembaga Tatatertib bertarikh 5 November 2009 diketepikan dan perintah lembaga itu digantung sementara menunggu perbicaraan dan keputusan notis usul pemula.
Di dalam notis itu, Pathmanabhan dan Surendran menyatakan perintah Lembaga Tatatertib itu tidak sah di sisi undang-undang dan terbatal kerana pihak lembaga tidak mematuhi Seksyen 103, D(1) Akta Profesyen Undang-undang 1976 apabila ia tidak menyatakan sama ada pihak lembaga menerima atau menolak keputusan atau pengesyoran Jawatankuasa Tatatertib.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan