Selasa, 19 Oktober 2010

Profesion peguam suspek kes bunuh, adik terbatal

Oleh Norhashimah Mohd Radzali
norhashimah@bharian.com.my
2010/10/19


Hakim kekal keputusan lembaga tatatertib terhadap tertuduh 

KUALA LUMPUR: Tertuduh pertama dalam kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya, N Pathmanabhan dan adiknya, Suren-dran tidak boleh mengamalkan profesion sebagai peguam cara dan peguam bela selepas rayuan mereka ditolak Mahkamah Tinggi semalam.

Berikutan itu, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohd Zawawi Salleh mengekalkan keputusan Lembaga Tatatertib Peguam membatalkan nama mereka daripada daftar peguam bela dan peguam cara Mahkamah Tinggi Malaya pada 5 November 2009.

Mahkamah turut menolak permohonan penangguhan terhadap pelaksanaan keputusan Lembaga Tatatertib itu yang diperoleh mereka pada 24 Disember 2009. 

Mohd Zawawi membuat keputusan itu dalam kamar memerintahkan Pathmanabhan dan Surendran membayar kos RM5,000 kepada pengadu, M Rajeanteran dan Majlis Peguam Malaysia. 

Peguam T Rajasekaran, yang mewakili Rajeanteran, berkata penangguhan pelaksanaan hukuman itu sebelum ini, membolehkan Pathmanabhan dan Surendran hadir di mahkamah tetapi tidak boleh menandatangani cek, berurusan dalam urusan jual beli tanah bagi mewakili firma guaman mereka, Pathma Nall Nalli & Partners. 

Bagaimanapun katanya, keputusan yang diperoleh semalam itu, menyebabkan keahlian mereka sebagai peguam cara dan pengamal undang-undang dibatalkan. 
Pada 23 November 2009, Pathmanabhan dan Surendran memfailkan notis usul pemula untuk mengetepikan perintah Lembaga Tatatertib itu dan penggantungan terhadap perintah berkenaan sementara menunggu perbicaraan dan keputusan terhadap notis itu. 

Mereka menamakan Rajeanteran sebagai responden, mendakwa perintah Lembaga Tatatertib itu tidak sah di sisi undang-undang dan terbatal kerana tidak mematuhi Seksyen 103 D(1) Akta Profesyen Undang-Undang 1976. 

Lembaga Tatatertib Peguam-peguam dalam afidavit balasannya, berkata kes itu wujud daripada aduan Rajeanteran pada 26 Ogos 2003, apabila Pathmanabhan dan Surendran memperkenalkan diri sebagai peguam cara yang beroperasi di sebuah firma guaman lain yang mempunyai alamat sama dengan firma mereka di Banting. 

Pada 5 November 2009, Lembaga Tatatertib selepas menimbangkan laporan daripada Tribunal Penyiasatan pada 18 September 2009, mendapati Pathmanabhan dan Surendran bertindak tidak jujur dan membatalkan nama mereka dari daftar peguam bela dan peguam cara Mahkamah Tinggi Malaya. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan