Oleh MOHD AZAM SHAH YAACOB
mohdazam@hmetro.com.my
2010/10/17
KUALA LUMPUR: “Ini hanya permulaan saja,” kata Pakar Kriminologi, Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia, Prof Madya Dr P Sundramoorthy, ketika mengulas hukuman tujuh tahun penjara membabitkan dua suspek kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga rakannya, selepas mengaku bersalah memusnahkan bahan bukti kes terbabit.
Sundramoorthy berkata, pengakuan kedua-dua tertuduh itu memang boleh digunakan dalam perbicaraan kes terbabit, namun ia belum cukup kuat membantu kes pendakwaan.
“Pengakuan itu hanya menjurus kepada pembabitan kedua-dua suspek yang bertindak memusnahkan bahan bukti saja, dan bukan bukti terhadap siapa yang terbabit dalam pembunuhan itu.
“Jadi, jangan kita terlalu teruja dengan perkembangan itu kerana secara dasarnya, fokus kes itu adalah bagi mengenal pasti siapa yang merancang, yang memberi arahan serta yang membunuh semua mangsa, bukan orang yang hanya mengikut arahan saja,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Dalam kes terbabit, menurutnya, terdapat dua situasi serta masa berbeza di mana satu membabitkan waktu pembunuhan dan satu lagi selepas pembunuhan dilakukan.
“Waktu pembunuhan merujuk pada pembabitan orang yang membunuh mangsa dan waktu selepas pembunuhan mungkin juga tidak berkaitan dengan orang yang membunuh itu,” katanya.
Katanya, pihak pendakwaan perlu bekerja lebih erat dengan polis supaya sebarang bukti atau petunjuk dapat membantu mereka memenangi kes pembunuhan jutawan kosmetik dan tiga rakannya itu.
“Siasatan terhadap kaitan antara kes ini dengan pihak lain, terutama yang masih bebas, sangat perlu. Ini memang perlu diberi perhatian serta siasatan lebih terperinci kerana tidak mustahil ada pihak lain yang mempunyai motif sama dengan niat untuk membunuh mangsa, turut mengambil kesempatan terhadap rancangan pembunuhan itu,” katanya.
Kelmarin, Mahkamah Majistret Teluk Datok, Banting, menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun terhadap dua lelaki, K. Sarawanan, 19, dan U. Suresh, 26, atas tuduhan melupuskan bahan bukti.
Sarawanan dituduh membakar mayat Sosilawati, 47, pegawai bank CIMB Cawangan Kampung Baru, Noorhisham Mohammad, 38, peguam, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dan pemandu Sosilawati, Kamaruddin Shamsuddin pada 30 Ogos lalu di Lot No 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat Banting antara 9.45 malam dan 12.00 tengah malam.
Sementara Suresh didakwa menghilangkan bahan bukti itu dengan membuang abu mayat Sosilawati, Noorhisham, Ahmad Kamil dan Kamaruddin di Sungai Panchau, Jalan Morib Banting pada 31 Ogos lalu antara 8 pagi hingga 10 pagi.
Rabu lalu, empat suspek utama membabitkan peguam, N. Patmanabhan, 41, pekerja ladang T. Thilaiyalagan, 19, R. Matan, 20, dan R. Khatavarayan, 30, didakwa di Mahkamah Majistret yang sama mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama atas tuduhan membunuh Sosilawati, Noorhisham, Ahmad Kamil dan Kamaruddin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan