Rabu, 22 September 2010

Keahlian dilucut tahun lalu

KUALA LUMPUR: Lesen amalan guaman dua peguam yang menjadi suspek kes bunuh Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain sudah digantung dan dilucutkan keahlian bermula 5 November tahun lalu.
Presiden Majlis Peguam, Ragunath Kesavan berkata, pembatalan itu dibuat selepas Majlis Peguam membuat siasatan berhubung salah laku kedua-dua mereka yang juga adik-beradik, tetapi mereka mengemukakan rayuan di Mahkamah Tinggi di sini untuk membuat penangguhan ke atas pembatalan itu.

“Berikutan kebenaran permohonan pembatalan itu mereka masih meneruskan amalan sebagai peguam,” katanya pada sidang akhbar di sini, semalam.

Beliau berkata, setiap peguam yang didapati terbabit dalam penyelewengan akaun anak guam, rasuah dan lain-lain kesalahan berat dibatalkan lesen amalan mereka serta-merta setelah siasatan.

“Sejak lima tahun lalu, 30 peguam dibatalkan keahliannya. Bagaimanapun, jumlah itu terlalu kecil kerana membabitkan 0.02 peratus peguam yang menjadi ahli. Namun, sebagai pertubuhan profesional, kami tetap mengambil berat setiap salah laku ahli kami,” katanya.

Pada masa sama, Ragunath turut merakamkan ucapan takziah kepada semua keluarga mangsa termasuk keluarga Ahmad Kamil Abdul Karim yang juga ahli Majlis Peguam Malaysia dan berharap semua suspek dihadapkan ke mahkamah secepat mungkin.

“Kami merayu pihak media dan pihak lain supaya tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kes ini kerana ia hanya menjejaskan siasatan polis atau perbicaraan di mahkamah nanti.

“Bagaimanapun, orang ramai diingatkan tidak terlalu cepat menjatuhkan hukuman kerana semua suspek berhak mendapat pembelaan sewajarnya dan walau sekeji manapun perbuatan mereka biarlah mahkamah menentukan mereka bersalah atau sebaliknya,” katanya.

Ragunath turut menasihati orang ramai menyelidik terlebih dulu kelayakan peguam menerusi laman web atau menghubungi mereka sebelum berurusan dengan mana-mana peguam selain bersedia menerima sebarang laporan sekiranya terdapat salah laku dibuat ahlinya.

Mengenai bidang kuasa Majlis Peguam, Ragunath berkata: “Bidang tugas kami terhad sebagaimana badan profesional lain dan kami hanya berkuasa untuk selia amalan guaman. Kami tidak boleh kawal akaun bank peribadi mereka. Jika mereka terbabit dalam perniagaan persendirian, kami tiada kuasa untuk menyelia.”

Tiada ulasan:

Catat Ulasan