Sabtu, 25 September 2010

Pasukan forensik polis dan suspek dibawa ke ladang milik suspek

BANTING: Pasukan forensik polis hari ini melawat lagi ladang ternakan milik salah seorang suspek utama kes pembunuhan jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain.
Ladang yang terletak di Ladang Gadong Tanjung Sepat, Banting, Selangor adalah tempat dipercayai Sosilawati, 47, pemandunya Kamarudin Shansuddin, 44, peguam peribadinya Ahmad Kamil Abd Karim, 32 ,dan pegawai Bank CIMB cawangan Kampung Baru, Kuala Lumpur Noorhisham Mohammad,38, dibunuh dan dibakar selepas dilaporkan hilang pada 30 Ogos lalu.

Pada 13 September lalu, polis mengesahkan keempat-empat mereka dipukul sampai mati sebelum mayat mereka dibakar dan abunya dibuang ke dalam sungai berdekatan Ladang Gadong.

Tinjauan mendapati sebuah van dan kenderaan pacuan empat roda dari unit forensik, sebuah Mitsubishi Pajero berwarna biru dan sebuah van yang dipercayai membawa suspek tiba di Ladang Gadong petang tadi dengan diiringi oleh kereta peronda polis.

Enam kereta dengan dua daripadanya mempunyai logo Jabatan Forensik kelihatan memasuki Ladang Gadong, lokasi penyiasatan kes pembunuhan empat individu itu.

Sementara itu, suspek utama kes pembunuhan berkenaan dilihat dibawa ke hadapan sebuah firma guaman di Jalan Kemboja, Off Jalan Sultan Alam Shah Banting.

Bagaimanapun, dia tidak masuk ke firma guaman tetapi hanya menunjukkan petak meletak kenderaan di hadapan firma berkenaan dan anggota forensik mengambil gambar di kawasan itu.

Kemudian dia dilihat menaiki sebuah daripada enam buah kereta yang beredar dari kawasan firma itu.

Sepanjang unit forensik dan suspek berada di ladang ternakan milik salah seorang suspek itu, polis mengawal ketat tempat berkenaan dan berada kira-kira 600 meter dari kawasan ladang berkenaan.

Pihak media tidak dibenarkan melepasi tempat polis berkawal di hadapan sebuah kuil Hindu di Ladang Gadong itu.

Pasukan forensik dan anggota polis yang berada di ladang ternakan itu kemudiannya beredar ke arah Banting.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan