KUALA LUMPUR: Polis kini menyiasat kes kehilangan Allal Kathan Muthuraja, 34, jutawan dari Chennai, India selepas tiba di negara ini atas urusan perniagaan, 18 Januari lalu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK) dan bukan lagi sebagai kes orang hilang.
Ketua Polis Selangor Datuk Khalid Abu Bakar berkata, ini kerana polis percaya lelaki itu turut menjadi mangsa pembunuhan yang kemungkinan dilakukan suspek utama kes pembunuhan Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga rakannya.“Berdasarkan pengakuan isteri mangsa (S Usharani, 24), saya mengesahkan mangsa dibunuh. Ia juga hasil daripada petunjuk dan keterangan yang dikumpul,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, semalam.
Sementara itu Harian Metro difahamkan kes hilang ketiga-tiga lelaki yang dilaporkan berurusan dengan suspek utama itu juga kini juga disiasat mengikut Seksyen 302 apabila dipercayai sudah dibunuh berdasarkan pengakuan suspek utama kes itu .
Allal antara tiga lelaki yang dilaporkan hilang selepas kali terakhir dipercayai berurusan dengan suspek utama kes pembunuhan Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga rakannya. Dua lagi lelaki yang dilaporkan hilang ialah, Shafik Abdullah, 37, kontraktor dari Sungai Petani, Kedah dan rakannya berusia 30-an dari Perak.
Allal pula mempunyai perniagaan hartanah, restoran, kewangan dan barang kemas dilaporkan hilang selepas dijemput suspek utama dan adik lelakinya, juga seorang peguam dan salah seorang suspek ditahan, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang seterusnya dibawa ke Banting.
Berdasarkan laporan dibuat isterinya di IPD Banting, 8 September lalu, Allal berkunjung ke Malaysia atas jemputan dua beradik peguam itu untuk mencari peluang pelaburan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan